Ahli PERKIM Terima Anugerah Utama Raja Kemboja
Oleh: FLT
KEMBOJA (27 MAC): Raja Kemboja Samdech Preah Bâromneath Norodom Sihamoni berkenan menganugerahkan Pingat Munisaraphoin, anugerah tertinggi Negara Kemboja kepada tiga orang ahli PERKIM, Y.B Dato’ Seri Shahidan Kassim (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM), Tuan Haji Abdul Hanif Harun (Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara, Naib Pengerusi PERKIM Wilayah Persekutuan, merangkap Timbalan Pengarah Dakwah dan Inovasi PERKIM Kebangsaan) dan Puan Hajah Puteh Kalsom Shamsudin (Naib Pengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara merangkap Sukarelawan PERKIM Kebangsaan).
Y.B Dato’ Seri Shahidan sering berkunjung ke Negara Kemboja bagi menyampaikan sumbangan untuk pembangunan Islam di sana. Beliau banyak membantu dari segi kewangan mahupun bantuan pendidikan kepada penduduk Islam Kemboja dan juga Negara serantau bagi meningkatkan syiar Islam. Beliau tidak pernah ‘lokek’ dalam menyampaikan sumbangan samada bantuan tersebut disampaikan sebagai wakil kerajaan, melalui Yayasan yang ditubuhkan oleh beliau (Yayasan Pokdan Kassim), Wakil NGO seperti PERKIM dan juga daripada duit poket beliau sendiri.
Turut menerima anugerah sama pada majlis tersebut Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta beberapa orang deligasi daripada Malaysia yang telah disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, bersempena perasmian Masjid Al-Serkal Grand Mosque di Phnom Penh.
Kerajaan Kemboja telah membina Masjid Negara Kemboja yang diberi nama Masjid Al-Serkal, Phnom Penh. Masjid ini mula dibina pada tahun 2012 dan siap sepenuhnya pada Januari 2015 yang berkeluasan 1,800 meter persegi yang mampu menampung 2,000 jemaah pada satu-satu masa. Masjid ini dibina hasil sumbangan masyarakat Islam antarabangsa yang menjadi tanda kerjasama masyarakat antarabangsa dalam membantu saudara Islam di Kemboja. Upacara yang julung-julung kali diadakan di Phnom Penh ini adalah untuk mengiktiraf pencapaian masyarakat Islam di dalam dan luar Kemboja.
Pingat Munisaraphoin ini diperkenalkan pada tahun 1905 oleh Raja Sisowath, Raja Kemboja pada ketika itu. Pingat yang dianugerah atas perkenan Raja Kemboja ini adalah kepada tokoh yang telah berbakti dalam bidang sastera dan seni, pendidikan, kehakiman, pentadbiran, dan sains.
Pingat Royal Order of Monisaraphon ini terbahagi kepada lima kelas di mana kelas tertinggi ialah Mohasereivoith atau Grand Cross, diikuti dengan Mohasena atau Grand Officer, Adipati atau Commander, Sena atau Officer and Askararidha atau Knight.
Abdul Hanif, 77, sebelum ini telah menerima anugerah sama pada tahun 2012 pada peringkat Sena kini mendapat anugerah lebih tinggi, peringkat Mohasereivoith.
Kerjasama dan sumbangan yang diberikan oleh Tuan Haji Hanif dan Isteri Puan Hajah Puteh Kalsom kepada Negara Kemboja amat besar sehingga melayakkan beliau untuk menerima anugerah tersebut.
Selama hampir sepuluh tahun, beliau dan isteri telah 43 kali berulang-alik ke Kemboja dengan membawa nama PERKIM membantu membangunkan perkembangan Islam di Kemboja.
Pada setiap tahun, beliau membawa amanah rakyat Malaysia yang menyumbang untuk pembangunan Islam seperti pembinaan masjid-masjid, sekolah-sekolah, ibadah korban dan aqiqah, sumbangan Al-Quran, buku-buku agama, bantuan pembinaan sekolah dan elaun guru-guru agama, membina telaga air, memberi tajaan pelajaran di peringkat Universiti, bantuan perniagaan, membantu majlis tertinggi Hal Ehwal Agama Islam Kemboja (HCIRAC) serta pelbagai lagi bentuk bantuan kepada rakyat Islam Kemboja.
Pengiktirafan ini juga adalah satu tanda penghormatan bagi masyarakat Islam dan kerajaan Malaysia yang telah banyak membantu masyarakat Islam Kemboja melalui usaha kerajaan, agensi-agensi dan NGO-NGO seperti PERKIM.
Rakyat Kemboja telah lama hidup di dalam peperangan dan kemusnahan sejak pengambil alihan kuasa 1970, melalui perang saudara, keganasan rejim Khmer Rouge (1975–1979), pemerintah komunis sehinggalah campurtangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui UNTAC dalam mengembalikan negara tersebut kepada keadaan asal selepas ia merdeka. Iaitu berjaya mengembalikan kuasa Raja Perpelembagaan dan proses demokrasi.
Dalam kemusnahan dan kedaifan ini, masyarakat Islam Kemboja (majoriti dari mereka adalah berasal dari etnik Melayu Cham atau Champa) juga menerima nasib yang sama seperti rakyat Kemboja lain. Penderitaan ini menyebabkan kesinambungan dan pembangunan pendidikan Islam terputus. PERKIM adalah NGO yang telah membantu ketika pelarian Islam Kemboja ketika menyelamatkan diri daripada kekejaman tentera Pol Pot dan memberikan perlindungan pada sekitar 1970-an.
Y.B Dato’ Seri Shahidan menerima Pingat Royal Order of Monisaraphon, anugerah peringkat Mohasereivoith, anugerah tertinggi kerajaan Kemboja yang telah disampaikan Perdana Menterinya, Hun sen.
Tiga Ahli PERKIM yang telah menerima anugerah Utama Raja Kemboja, dari kiri: Puteh Kalsom, Shahidan Kassim dan Abdul Hanif.
Shahidan (kanan) menerima Pingat Royal Order of Monisaraphon, anugerah peringkat Mohasereivoith, anugerah tertinggi kerajaan Kemboja yang telah disampaikan Perdana Menterinya, Hun sen (kiri).
Sekolah / Madrasah Umar Al – Khattab Kampung Seraiweal, Kampong Cham, Kemboja pusat pendidikan Islam yang telah didirikan dan dirasmikan pada 2007 antara usaha yang dijalankan PERKIM melalui Cawangan Bukit Damansara.
Hajah Puteh Kalsom (kanan) menerima Pingat Royal Order of Monisaraphon yang disampaikan oleh Perdana Menteri Kemboja, Hun sen (kiri).
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen (kiri) menyampaikan Pingat Royal Order of Monisaraphon kepada Menteri di Kementerian Dalam Negeri, Y.B Dato’ Seri Dr. Zahid Hamidi (kanan).
Tuan Haji Abdul Hanif Harun (kanan) menerima Pingat Royal Order of Monisaraphon, disampaikan Perdana Menteri Kemboja, Hun sen (kiri).