Aktiviti Kebajikan

Majlis Amal Pendidikan Anak-Anak Saudara Baharu PERKIM dan Kebajikan Warga Emas

Oleh: SITI NADHIRAH SHALEH

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Itulah kata-kata yang menggambarkan hakikat sebenar kehidupan orang yang kurang mampu dari aspek kewangan khususnya. Seperti yang diketahui umum, saudara baru yang memeluk Islam sering dipinggirkan oleh keluarga dan saudara mereka. Penghijrahan mereka ke agama Islam mempunyai cabaran yang berliku dan memerlukan ketabahan yang teguh.

Lantaran itu, Persatuan Kebajikan Bekas Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (PKBKKKM) menganjurkan Majlis Amal Pendidikan Anak-Anak Saudara Baru Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Kebajikan Warga Emas bertempat di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur pada 28 September 2017 lalu.

Program tersebut dihadiri seramai 45 orang terdiri daripada saudara Muslim berketurunan Cina, India, Iban dan Kadazan serta Melayu terdiri daripada ahli persatuan PKBKKKM dan PERKIM.

Majlis tersebut bertujuan memberikan sumbangan kepada 10 asnaf saudara baharu dan 10 kanak-kanak saudara baharu yang berada di dalam kesempitan hidup. Ini adalah bagi meringankan sedikit sebanyak beban yang dihadapi oleh ibu bapa dalam menyara kehidupan sekeluarga.

Dalam majlis itu, satu ceramah khas telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Khadijah Alwi dari Pusat Penyelidikan Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam usaha untuk memberikan motivasi dan keyakinan diri saudara baru dalam menempuhi kesukaran hidup yang dihadapi.

Dr. Khadijah dalam ceramahnya menekankan tentang pentingnya pendidikan untuk anak-anak bagi mengeluarkan mereka dari lingkaran kemiskinan. Mengajar mereka dengan menjadi contoh yang terbaik buat anak-anak. Tambahnya lagi, kemiskinan dan kefakiran bukan penghalang untuk terus menyebarkan kebaikan. Berbuat baik dengan kemampuan yang ada, jika bukan dari segi kewangan, mungkin dari segi tenaga dan sebagainya,

“Jika kita baik dengan Allah, maka Allah juga akan baik dengan kita,” kata beliau yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang oleh ibu bapanya dan 23 orang adik beradik termasuk anak yatim.

Beliau begitu yakin dengan pertolongan Allah yang mencukupkan rezeki mereka sekeluarga. Penting juga untuk mencari rezeki yang halal dan barakah kerana ia disanjung tinggi oleh Allah S.W.T.

Pengerusi PKBKKKM, Haji Bahardin Mohd Sohor berkata, program seperti ini adalah inisisatif untuk mereka menyumbang bakti dalam dakwah Islam. Kesedaran semasa berkhidmat di KKM membuka hati mereka untuk menubuhkan sebuah persatuan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dalam ucapan khasnya mengucapkan ribuan terima kasih di atas keprihatinan pihak PKBKKKM yang sudi memberi sumbangan kepada saudara baru PERKIM. Nilai yang disumbangan itu bukanlah ukuran terhadap keikhlasan pemberian tapi kesungguhan dan usaha dalam membantu golongan penerima.

Tambahnya lagi, majlis yang diadakan pada awal Muharam ini menjadi simbolik penghijrahan sempena hijrah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke Kota Madinah suatu masa dahulu.

Semoga pengajaran dan iktibar dari penghijrahan ini menjadi salah satu motivasi buat saudara baru dalam menempuh kehidupan yang tidak akan pernah berhenti dari diuji untuk meningkatkan keimanan terhadapNya.

Yang turut hadir ialah, Bendahari Kehormat PERKIM, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pegawai Perhubungan Awam PERKIM. Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penyelaras Unit Aset dan Bangunan, Dato’ Ahmad Mustafa; Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Dato’ Haji Idris Mamat; Penyelaras Unit Penerbitan, Haji Mohd. Zuber Zain dan Pegawai Kewangan, Abu Bakar Zakaria.

001
Antara hadirin di kalangan saudara baharu yang hadir di majlis tersebut.

002
Majlis yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Bekas Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia bertempat di Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur.

003
Prof. Madya Dr. Khadijah menyampaikan ceramah motivasi khususnya kepada saudara baharu.

006
Bahardin dalam ucapannya memperkenalkan fungsi dan matlamat Persatuan Kebajikan Bekas Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia.

005
Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor berterima kasih kepada PKBKKKM kerana memberikan sumbangan kepada mualaf PERKIM.

007
Dr. Yusof Noor (tengah) menyampaikan sumbangan kepada anak mualaf.

008
Salah seorang mualaf berketurunan Iban menerima sumbangan daripada Dr. Yusof Noor (tengah) sambil disaksikan oleh Bahardin (kanan).

010
Bahardin (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr. Yusof Noor (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Dr. Muhammad Rais (kanan).

009
Penerima sumbangan bersama tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button