Aktiviti Kebajikan

PERKIM Bukit Damansara Prihatin Tragedi Kebakaran Tahfiz Ittifaqiyah

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Perasaan pilu dan sedih seluruh rakyat Malaysia tatkala mendengar jeritan suara tangisan anak-anak kecil meraung kesakitan serta kepedihan dalam kejadian kebakaran pusat tahfiz menerusi video berdurasi 1.01 minit yang tular di media sosial seawal pagi 14 September lalu.

 Berikutan itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Bukit Damansara bersama tujuh ahlinya bergegas ke Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terletak di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur bagi memberi sokongan dan bantuan.

ABDUL HANIF HARUNsPengerusi PERKIM Cawangan Bukit Damansara, Datuk Abdul Hanif Harun berkata, atas konteks kebajikan, PERKIM sentiasa di hadapan bila mendapat kesahihan berita tersebut dan menghulurkan bantuan dan keperluan. Walaupun kecil kadar nilainya sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa dan pusat tersebut.

“Bayangkan jika kita berada ditempat anak kecil tersebut, pastinya penderitaan yang dialami tidak dapat digambarkan betapa sakitnya mereka meraung kepedihan menahan panasnya api yang membakar seluruh tubuh badan,” katanya yang turut mempunyai empat orang cucu.

Beliau mengingatkan bahawa kejadian kebakaran melibatkan pelajar dan guru tahfiz tersebut adalah bukti masalah jenayah dadah perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Abdul Hanif yang juga Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan berkata, ini adalah kerana jenayah seperti itu haram dilakukan menurut pandangan Islam, tidak boleh diterima dari segi kemanusiaan dan perundangan serta ia ternyata meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Malaysia.

Kami prihatin kerana bukan hanya tahfiz tersebut terletak di Wilayah Persekutuan malah ia merupakan badan Islam yang sama matlamatnya seperti Perkim iaitu dakwah dan pendidikan Islam, katanya bagi mengulas tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa kesemuanya.

Kebanyakan pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun sedang tidur ketika api mula marak di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu kira-kira pukul 5.30 pagi.

Pusat tahfiz tersebut terus menjadi tumpuan pelbagai pihak termasuk persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) serta orang awam yang datang sendiri untuk menghulurkan sokongan serta sumbangan.

Beliau turut memuji ketangkasan pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Premis itu menempatkan 42 pelajar, enam guru dan dua warden dari seluruh negara manakala segala kemudahan adalah percuma menerusi tajaan MAIWP, persendirian dan orang ramai.

Abdul Hanif menyokong usaha kerajaan dalam membantu menaiktarafkan pendidikan Islam dengan membuat penyelarasan pembangunan pusat-pusat tahfiz, pondok dan sekolah agama rakyat (SAR) bersama kerajaan-kerajaan negeri.

Ujarnya, beliau menyarankan supaya pihak berwajib memeriksa dan memastikan semua pusat pembelajaran memenuhi serta mematuhi syarat-syarat keselamatan seawal dari perancangan pembangunan.

“Perkim akan mengadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk anak-anak yang meninggal dunia dalam tragedi tersebut dalam masa terdekat,” kata beliau dalam nada yang sebak.

Abdul Hanif turut menyampaikan ucapan takziah serta sumbangan daripada PERKIM Bukit Damansara dan PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan kepada Pengetua Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Muhammad Zahid Mahmod.

Dalam keadaan terharu, Zahid mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kerajaan yang tidak putus-putus menghulurkan pelbagai bentuk bantuan kepada pusat tersebut.

Jelas Zahid, insiden tersebut memperlihatkan keprihatinan daripada pelbagai pihak samaada persendirian, syarikat swasta, kumpulan individu dan orang ramai termasuk dari luar Kuala Lumpur yang tidak berhenti mengunjungi tahfiz berkenaan bagi menzahirkan sokongan sekaligus menyampaikan sumbangan.

Katanya, sumbangan tersebut akan digunakan untuk pengurusan tahfiz itu dan kepada waris keluarga terbabit.

Tambah Zahid, mereka ini insya-Allah mati syahid kerana mereka yang masih kecil ini sanggup tinggalkan ibu bapa, tinggalkan masakan ibu dan tinggalkan masa bermain bersama adik-beradik untuk semata-mata tinggal di sini untuk belajar al-Quran dan agama.

Kelihatan turut hadir ialah Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Datuk Dusuki dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Paimuzi Yahya.

001
Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar di Jalan Keramat Hujung 14 September lalu.

002
Antara ahli PERKIM yang hadir di perkarangan pusat tahfiz tersebut.

003
Orang ramai tidak putus-putus berkunjung melihat tragedi kebakaran pusat tahfiz.

004
Abdul Hanif berkesempatan bergambar di hadapan pusat tahfiz terbakar.

005
Abdul Hanif menyampaikan sumbangan daripada PERKIM Cawangan Bukit Damansara kepada Pengetua tahfiz, Zahid (berjubah hitam).

006
Zahid (kanan) menerima sumbangan daripada PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan.

007
Kebakaran yang memusnahkan keseluruhan aras dua pusat tahfiz tersebut.

008
Bomba bersama anjing pengesan memeriksa dan menyiasat punca kejadian premis itu.

009
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor bersama orang ramai menadah tangan ketika dibacakan doa khusus untuk 23 mangsa tragedi kebakaran.

Related Articles

Back to top button