Aktiviti Dakwah

PERKIM Kelantan Kukuh Jalinan Dengan Pusat, Fokus Perkasa Dakwah Belia

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
ᶠᵒᵗᵒ: ᵁᴹᴵ ᴹᵁˢᶠᴵᴿᴬᴴ ᴬᴮᴰᵁᴸ ᴳᴴᴬᴺᴵ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟐𝟗 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Negeri Kelantan menegaskan komitmen untuk memperkasakan agenda dakwah khususnya melibatkan golongan belia, apabila Jawatankuasa Kecil Dakwah dan Kebajikan negeri itu mengadakan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini pada petang Isnin.

Rombongan seramai 10 orang itu diketuai 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐉𝐚𝐰𝐚𝐭𝐚𝐧𝐤𝐮𝐚𝐬𝐚 𝐊𝐞𝐜𝐢𝐥 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐣𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐧𝐭𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐇𝐚𝐬𝐬𝐚𝐧 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐨𝐨𝐝 dan turut disertai Setiausaha Kehormat PERKIM Kelantan, Tuan Haji Mohamed Nazir Che Ibrahim.

Delegasi berkenaan disambut mesra oleh barisan kepimpinan PERKIM Kebangsaan yang diketuai 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫.

Dato’ Haji Hassan dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sambutan yang diberikan oleh pihak ibu pejabat.

Menurut beliau, PERKIM Kelantan kini memberi tumpuan kepada usaha mengaktifkan semula dakwah khususnya dalam kalangan remaja dan belia.

“Sudah hampir tiga tahun kita berusaha untuk menggerakkan PERKIM Cawangan Bachok sebagai cawangan penaja dengan fokus khusus kepada anak muda.

“Setiap minggu kami menganjurkan program motivasi dan aktiviti kerohanian bagi membimbing mereka.

“Inisiatif ini membuktikan komitmen PERKIM Kelantan untuk mendekati golongan belia secara konsisten,” kata Dato’ Hassan.

Beliau turut mencadangkan agar lebih ramai belia Kelantan dibawa ke Kuala Lumpur dengan kerjasama PERKIM Kebangsaan bagi mengikuti kursus-kursus pemantapan jati diri dan kepimpinan.

“Kita sasarkan 30 hingga 50 orang belia dapat bersama dalam program latihan yang lebih tersusun dengan sokongan PERKIM pusat,” jelasnya.

Sementara itu, Dato’ Dr Marzuki dalam ucapannya berkongsi pengalaman dakwah di Sarawak, negeri kelahiran beliau yang mempunyai penduduk Muslim hanya sekitar 32 peratus.

Beliau menjelaskan, cabaran dakwah di kawasan majoriti bukan Islam menuntut pendekatan yang bijaksana, berhemah dan penuh kesabaran.

Katanya, faktor “retention” atau kesinambungan keimanan menjadi perkara utama yang perlu diberi perhatian kerana ada individu yang memeluk Islam tetapi kemudian longgar pegangan akibat pelbagai faktor persekitaran sekali gus mengadakan susulan.

“Kadangkala kita berhadapan dengan keadaan unik kerana ada di antara mereka yang ‘berehat’ daripada Islam dengan meninggalkan solat atau terjebak dengan perkara dilarang.

Namun itu realiti lapangan dakwah dan tugas kita adalah terus membimbing, kerana hidayah itu milik Allah.

Dakwah bukan soal paksaan, tetapi istiqamah dalam mengajak kepada kebenaran,” kata Dato’ Dr Marzuki.

Menurut beliau, walaupun cabaran besar, hakikatnya Islam pernah berkembang daripada kelompok kecil di zaman Rasulullah SAW kepada lebih dua bilion umat hari ini.

“Anak-anak muda yang hadir ke PERKIM hari ini menjadi bukti bahawa kerja dakwah tidak sia-sia. Mereka adalah harapan dan pewaris perjuangan,” jelas beliau mengakhiri ucapannya.

Turut diadakan sesi soal jawab di antara PERKIM Kelantan dan PERKIM Kebangsaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Dr Suariza @ Hidayah Muhammad pula menegaskan bahawa pihaknya menyambut baik inisiatif PERKIM Kelantan untuk memperluas dakwah belia.

Katanya, PERKIM Kebangsaan sentiasa membuka ruang kerjasama dan bersedia menyediakan modul latihan dan pemudah cara.

Turut hadir ialah Eksekutif Kanan Dakwah, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Eksekutif Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Ahmad Mustafa; Eksekutif Pentadbiran, Ahmad Hasaidi Said serta Eksekutif Dakwah, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah; Nur Syahirah Musa dan Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong.

 


Dato’ Hassan (tengah) dalam ucapannya melahirkan rasa syukur dan penghargaan atas sambutan yang diberikan oleh pihak pusat khususnya Setiausaha Agung Kehormat.


PERKIM Kelantan menegaskan komitmen untuk memperkasakan agenda dakwah khususnya melibatkan golongan belia

 


Seramai 10 orang rombongan terdiri daripada JK Dakwah dan Kebajikan PERKIM Kelantan mengadakan lawatan rasmi ke PERKIM Kebangsaan.

 


Menurut Dato’ Hassan, sudah hampir tiga tahun kita berusaha untuk menggerakkan PERKIM Cawangan Bachok sebagai cawangan penaja dengan fokus khusus kepada anak muda.

 


Dato’ Marzuki dalam ucapannya berkongsi pengalaman dakwah di Sarawak, negeri kelahiran beliau yang mempunyai penduduk Muslim hanya sekitar 32 peratus.

 


Dato’ Setiausaha Agung Kehormat PERKIM turut menjelaskan, cabaran dakwah di kawasan majoriti bukan Islam menuntut pendekatan yang bijaksana, berhemah dan penuh kesabaran.

 


Dato’ Ahmad turut berkongsi cadangan dan pengalamannya di dalam kunjungan tersebut.

 


Ahli rombongan bersama pimpinan PERKIM Kebangsaan berkesempatan bergambar kenang-kenangan di akhir kunjungan.

 

Related Articles

Back to top button