Aktiviti Dakwah

Pemuda British Peluk Islam di Ibu Pejabat PERKIM

KUALA LUMPUR, 22 JULAI 2024 – “Saya memeluk Islam kerana telah mengenali Islam semenjak bermastautin di Dubai dan kini saya ingin mengenali Islam dengan lebih mendalam,” kata Hamdan Bolton, seorang warganegara British.

Hamdan Bolton atau nama asalnya Daniel John Bolton, 42, hadir ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah untuk melafazkan dua kalimah syahadah.

Beliau hadir pada pagi Isnin bersama enam orang kenalan menemani beliau untuk kembali kepada agama fitrah.

Hamdan Bolton berkata, selama 42 tahun saya telah hidup di Dubai saya dikelilingi suasana dan kebudayaan Arab dan Islam, pada hari ini Islam menjadi agama pilihannya dengan menyakini Allah, Tuhan Yang Esa.

Hamdan Bolton kemudiannya mengikrarkan Rukun Islam yang pertama di hadapan Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong dalam Bahasa Arab disusuli terjemahan di dalam Bahasa Inggeris.

Pengislaman Hamdan Bolton turut disaksikan Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Bacaan doa kesyukuran pengislaman kemudiannya turut dipimpin oleh Sulaiman Ding.

Pada awal sebelumnya, YBhg Dato’ Dr Nik Mohd Kamel Nik Hassan selaku Pengarah Urusan Dr Nik dan Associates Sdn Bhd bersama isterinya YBhg Datin Aimi Zain Ahmed telah menghubungi Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkenaan pengislaman kenalannya itu dan Tunku Noor Hayati mengesyorkan supaya membawa Hamdan Bolton ke Ibu Pejabat PERKIM.

Dr Nik Mohd Kamel dan Datin Aimi bersama empat kenalannya turut menjadi saksi di majlis penuh bersejarah di dalam hidup Hamdan Bolton.

Rakannya berasal dari Mexico dan Rusia yang baru beberapa bulan memeluk Islam turut memberikan sokongan yang membina demi hasratnya memeluk Islam kerana Allah SWT.

Sebelum majlis pengislaman, Sulaiman Ding telah memberikan penerangan mengenai Rukun Iman, Rukun Islam serta tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim kepada Hamdan Bolton.

Selain itu, beliau turut diberi penerangan mengenai tanggungjawab terhadap keluarga bukan Islam serta larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.

Sulaiman Ding turut berpesan supaya Hamdan Bolton mengikuti kelas-kelas agama Islam di Dubai nanti.

Dato’ Razali turut berkesempatan menyampaikan Al-Quran Edisi Khas Saudara Baharu dan kit pengislaman yang mengandungi sejadah, kain pelekat, kopiah, buku fardu ain, buku Iqra’ dan lain-lain.

Farhan Tee kemudiannya membawa Hamdan Bolton bersama dua orang saksi ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bagi pendaftaran memeluk Islam.

 

 
Hamdan Bolton bersama beberapa kenalannya hadir ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan untuk memeluk Islam.



 
Hamdan Bolton melafazkan dua kalimah syahadah di dalam Bahasa Arab disusuli Bahasa Inggeris di hadapan Sulaiman Ding.

 


Sulaiman Ding memberikan penerangan mengenai Rukun Iman, Rukun Islam serta tugas dan tanggungjawab sebagai seorang Muslim kepada Hamdan Bolton.

 


Hamdan mengisi butir-butir peribadi di dalam borang pengislaman.



Dato’ Razali berkesempatan menyampaikan kit pengislaman dan Al-Quran Edisi Khas Saudara Baru kepada Hamdan Bolton.

 

 
Sulaiman Ding turut mengambil gambar bersama Hamdan Bolton dan kenalan-kenalannya.



Hamdan Bolton bersama kenalannya dan warga PERKIM bergambar di hadapan Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.

 


Farhan Tee menemani Hamdan Bolton ke JAWI untuk proses mendapatkan kad Islam.


Hamdan Bolton menandatangani borang untuk mendapatkan kad Islam di JAWI.

 

Related Articles

Back to top button