Aktiviti Kebajikan

200 Mualaf PERKIM Terima Bakul Makanan dan Kewangan Wakalah Kakitangan Maybank Berhad

Oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 22 SEPTEMBER 2022 – Seramai 200 asnaf mualaf Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menerima sumbangan bakul makanan dan cek di Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Bakul Makanan dan Kewangan Wakalah Kakitangan Maybank Berhad Kepada 200 Asnaf Mualaf PERKIM bertempat di Dewan Al-Ilm, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur, Bangunan Balai Islam PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Majlis tersebut anjuran bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan PERKIM Kebangsaan.


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor
dalam ucapannya mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Maybank Berhad melalui PPZ-MAIWP kerana telah memilih asnaf mualaf PERKIM Kebangsaan untuk menerima sumbangan.

Katanya, pada era kepimpinan PERKIM sesi baharu ini, kita berhasrat dan merancang untuk mensifarkan kemiskinan di kalangan mualaf.

Inilah yang dianjurkan oleh Islam kerana tangan yang memberi lebih mulia dan lebih baik daripada tangan yang menerima.

Tambah Dr Yusof Noor, bangunan yang kita adakan majlis ini merupakan hasil sumbangan dan dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri Malaysia Kedua, Almarhum Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1974.

Kita hendak mengembalikan apa yang ditinggalkan oleh Pengasas PERKIM, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang dinamakan Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP).

IDIP ditubuhkan di Kuala Lumpur tetapi atas beberapa faktor dan kesulitan IDIP kemudiannya dipindahkan ke tempat pelarian Kemboja Pengkalan Chepa, Kelantan sehingga ke hari ini.

PERKIM berusaha mengembalikan semula IDIP di bangunan ini dan meneruskan penggunaan nama IDIP tetapi cuma hanya berbeza maksud iaitu International Da’wah Institute PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL).

IDIP-KL dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri Malaysia Kelapan merangkap Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

IDIP-KL bertujuan memberi pendidikan dan latihan kepada mualaf untuk dijadikan Kader Dakwah Profesional.

Selain itu, ia menyediakan program pengayaan kepada golongan profesional dalam pengajian Islam sekali gus meningkatkan kesedaran moral melalui penerapan prinsip dan nilai Islam.


Sementara itu, Pengerusi PPZ-MAIWP, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, hari ini merupakan takdir Allah SWT kerana rezeki yang dianugerahkan olehNya dikongsikan bersama mualaf mencetuskan kesaksamaan masyarakat dan ummah.

Jelasnya, rata-rata kita lihat hukum hakam yang disebarkan luaskan oleh agama Islam kebanyakkannya menepati untuk menyamaratakan khazanah Allah SWT.

Sejauh mana rezeki yang Allah SWT berikan itu disamaratakan dan dinikmati oleh umat seluruh dunia.

Alhamdulillah hari ini, kakitangan Maybank Berhad dibukakan hati oleh Allah SWT berkongsi rezeki kepada mualaf PERKIM.

Ujar Dr Abdul Aziz, ini merupakan menifestasi keikhlasan kakitangan Maybank Berhad menerusi potongan gaji 2.5 peratus untuk diberikan kepada mualaf.

Beliau turut berkongsi satu cetusan idea daripada Pusat Kutipan Zakat Pahang di mana pembayar zakat boleh menebus mata ganjaran di setiap hotel, restoran, bengkel mahu pun kedai orang Islam yang mempunyai tanda atau label zakat menerusi aplikasi ewallet zakat.

Dr Abdul Aziz mengajak hadirin membayar zakat di tempat mencari rezeki iaitu di Wilayah Persekutuan meskipun tempat tinggal di negeri lain dan MAIWP akan mengagihkan zakat tersebut kepada lapan asnaf.

Ulasnya, kita sedari bahawa kebangkitan Islam di Eropah mahupun di Amerika adalah terdiri dari kalangan mereka yang berilmu pengetahuan menganuti agama Islam.

Sehingga ia menjadi satu cabaran di Eropah dan Amerika kerana peningkatan jumlah orang memeluk Islam semakin meningkat setiap tahun.

Beliau juga turut mencadangkan kawasan masjid yang mempunyai tanah lapang dibina penempatan bagi mualaf untuk diberikan tempat perlindungan kerana mereka meninggalkan keluarga mereka asbab berhijrah kepada agama Islam.


Timbalan Ketua Pengerusi Kumpulan Risiko Maybank, YBhg Datuk Hamzah Bachee
turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut.

Hamzah menzahir bersyukur kepada Allah SWT kerana bersama-sama dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim iaitu menyantuni asnaf mualaf yang merupakan sebahagian daripada saudara kita.

Katanya, beliau bagi pihak Zakat Wakalah Kakitangan Maybank Berhad amat berbesar hati dapat menyampaikan zakat kepada golongan asnaf mualaf secara terus kerana ianya dilihat lebih berkesan bagi membersihkan hati daripada sifat-sifat mazmumah sekali gus dapat merasai pengalaman manis sebagai amil bertugas mengagihkan zakat.

“Pada tahun 2021, pembayaran zakat yang dilakukan oleh kakitangan Maybank Berhad kepada PPZ-MAIWP meningkat sehingga 5.6 peratus sekali gus meningkatkan jumlah wakalah zakat yang diterima bagi manfaatkan kepada ansaf yang memerlukan,” ujarnya.

“Peningkatan positif itu menunjukkan bahawa kakitangan Maybank Berhad khususnya semakin cakna berkaitan hal ehwal zakat dan memperlihatkan kepercayaan mereka kepada institusi zakat bagi menguruskan zakat mereka sebaiknya.

Selain itu, keutamaan agihan diberikan kepada kakitangan memerlukan dari pelbagai sudut dan tidak menjadi satu perkara yang pelik apabila wujudnya asnaf fakir miskin di dalam kakitangan Maybank sendiri.

Secara tidak langung, ia juga turut menyumbang kepada peningkatan bayaran zakat kakitangan yang konsisten pada setiap tahun.

Sebagai contoh, kami juga telah terlibat membantu kakitangan yang terkesan akibat banjir baru-baru ini dan pada akhir tahun lepas kita berjaya menghulurkan bantuan dan meringankan beban mereka sehingga ada yang menitiskan air mata bila kita dapat membantu mereka.

“Kita juga memberikan bantuan kepada fakir miskin dan sebahagian besar wakalah zakat kami pun berjaya diagihkan bukan sahaja di Wilayah Persekutuan dan Selangor malah di negeri-negeri di Malaysia,” jelas Hamzah.

Pada masa hadapan, kami akan panjangkan kepada negara-negara luar di mana Maybank beroperasi.

Ucap beliau, kita juga dapat menyalurkan bantuan kepada penduduk fakir miskin yang merupakan golongan petani, penoreh getah dan penternak di kawasan Kampung Slow Pak Long dan Slow Temiang, Kuala Krai di Kelantan.

Beliau berbesar hati dengan projek berkenaan kerana dapat menyediakan pengurusan air bersih kepada penduduk di kawasan tersebut yang sekian lama tidak memperolehi air bersih bagi keperluan seharian mereka.

Bagi mereka ini satu rahmat yang dapat membantu memudahkan perjalanan kehidupan harian mereka.

Menurut Hamzah, Maybank Berhad juga telah membantu menyediakan bantuan pengangkutan dua buah kereta Perodua Aruz kepada Persatuan Inspirasi Mualaf bagi memudahkan sebaran dakwah kepada golongan mualaf serta menyediakan pengangkutan kepada mereka untuk menghadiri kelas-kelas agama harian.

“Mudah-mudahan usaha ini menjadi asbab untuk Allah SWT memudahkan jihad kami di dalam institusi perbankan untuk menjadikan Maybank sebagai bank Islam terbaik di dunia,” kata Hamzah mengakhiri ucapannya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), YBhg Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Tuan Haji Abdul Hakim Amir Osman mengiringi Tan Sri Yusof Noor, Tan Sri Abdul Aziz serta Datuk Hamzah bersama-sama mengagihkan sumbangan bakul makanan dan wang wakalah kakitangan Maybank kepada 200 saudara baru.

Tan Sri Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati berbentuk plak dan buku coffee table PERKIM kepada Tan Sri Abdul Aziz dan Datuk Hamzah sebelum sesi fotografi kenang-kenangan di akhir majlis.

Turut hadir ialah, Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Datuk Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Setiausaha Kerja Bahagian dan Cawangan PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr. Suariza @ Hidayah Muhammad dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.


Tetamu kehormat menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan.


Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah mempimpin bacaan doa pembuka majlis.


Antara 200 orang mualaf yang hadir di majlis tersebut.


Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapannya berhasrat untuk mensifarkan kemiskinan di kalangan mualaf.


Penerima sumbangan di kalangan mualaf mendengar ucapan yang disampaikan.


Tan Sri Dato’ Dr Abdul Aziz Abdul Rahman turut menyampaikan ucapan di majlis itu.


Datuk Hamzah Bachee dalam ucapannya berbesar hati dapat menyampaikan zakat kepada golongan asnaf mualaf secara terus.


Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan kotak makanan beserta cek tunai kepada mualaf Orang Asli.


Penerima sumbangan berbangsa Siam menerima kotak makanan dan cek tunai daripada Hamzah (dua dari kiri).


Dr Abdul Aziz (tiga dari kanan) turut menyampaikan sumbangan kepada mualaf berbangsa Cina.


Mualaf berbangsa Cina menerima sumbangan kotak makanan dan cek tunai daripada Hamzah (kiri).


Dr Abdul Aziz (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada mualaf berbangsa India.


Hamzah (dua dari kiri) menyampaikan replika cek kepada Dr Yusof Noor (dua dari kanan) sambil disaksikan oleh Dr Abdul Aziz (tengah), Abdul Hakim (kiri) dan Ajib Ismail (kanan).


Dr Yusof Noor (kanan) menyampaikan buku coffee table PERKIM kepada Dr Abdul Aziz (tengah).


Hamzah (dua dari kiri) menerima cenderahati plak PERKIM daripada Dr Yusof Noor (dua dari kanan).


Tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan pada sesi fotografi bersama 200 mualaf.


Para mualaf bergembira sambil menunjukkan tanda bagus ketika sesi fotografi di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button