Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Dakwah

10 Peluk Islam Dengan Tun Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah

oleh: SRZ

PUTRAJAYA, 30 SEPTEMBER 2022 – “Aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah,” ucap Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mensyahadahkan lima saudara baru pelbagai bangsa sambil mengangkat jari telunjuk ke atas.

Lafaz itu diikuti sama oleh Fadil Din berketurunan Orang Asli, Ko Kwai Lin berbangsa Cina, Dinesh Anantha Jothi berbangsa India serta Megryan Wong Kah Tin dan Jetno Awasang dari Sabah.

Manakala Dr Siti Hasmah pula mengislamkan Ratchadawan Sathuprakun warganegara Thailand, Lolibeth Comaingking Comahig warganegara Filipina serta Michelle Ling Mya Shuet, Alifah Ling dan Mun Kau Mooi berbangsa Cina.

Majlis Pengislaman itu diadakan sempena program Wacana Dakwah oleh YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, Yang Dipertua PERKIM bertempat di Auditorium Yayasan Kepimpinan Perdana dekat sini.

Seramai lebih 200 orang yang hadir terdiri daripada PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Sarawak, Institut Pendidikan Perguruan Kampus Pendidikan Islam Bangi, Kelab PERKIM Universiti, Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) serta Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK).

Turut hadir pimpinan PERKIM iaitu Timbalan Yang Dipertua, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Menteri Besar Kelantan merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, YBhg Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob; Timbalan Pengerusi Tetap, YBhg Tuan Haji Abd Ghafar Mamat; Naib Yang Dipertua, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Bendahari Kehormat, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim serta Ahli Majlis Kebangsaan, YBhg Prof Madya Dr Nur ‘Azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Datuk Haji Ali Ab Majid, Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah, YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan.


Tun Dr Mahathir dalam wacananya berkata, kita telah menjadi saksi dan melihat satu proses pengislaman orang yang bukan Islam. Apa yang perlu kita buat ialah mengucap dua kalimah syahadah menurut orang yang mengislamkan kita iaitu kita berkata, tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad pesuruh Allah.

Dengan kalimah itu, kita menjadi Islam dan selagi kita akui tidak ada Tuhan selain daripada Allah SWT dan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah, selama itu kita adalah orang Islam.

Katanya, orang yang mengucap dua kalimah syahadah ini adalah orang Islam. Soal dia buat jahat atau buat baik, itu soal lain.

Setelah menjadi orang Islam, kita perlu ikut ajaran Islam menerusi kitab Al-Quran kerana Al-Quran itu mencatit wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada umat manusia.

Jelas Dr Mahathir, Al-Quran merupakan panduan kita berkenaan dengan agama Islam dan terdapat juga daripada kitab-kitab yang lain, pendapat daripada ulama-ulama, imam-imam serta pakar-pakar dalam bidang Islam.

Sebab itu kita perlu faham ajaran Al-Quran kerana ia adalah panduan utama tetapi didapati bahawa kebanyakkan daripada kita tidak faham Bahasa Arab.

Oleh kerana tidak faham Bahasa Arab, walaupun kita membaca Al-Quran kita tidak dapat panduan daripada Al-Quran melainkan yang menyampaikan kepada kita adalah daripada pakar dalam bidang Bahasa Arab yang sudah cekap dalam bidang agama.

Tambahnya, kalau bagi orang Melayu, mereka cuma diajar dalam Bahasa Arab dan mereka tidak akan faham apa dia agama Islam serta mereka memerlukan penterjemahan ajaran Al-Quran itu dalam Bahasa Melayu dan barulah mereka akan faham.

“Dua hari lalu, rombongan pemimpin Islam daripada Rusia datang jumpa saya. Mereka hanya bercakap hanya dalam Bahasa Rusia atau pun Bahasa Kazakh.

“Ini tidak bermakna mereka tidak Islam, bahasanya sahaja adalah Bahasa Rusia, fahaman agamanya mengikuti ajaran Islam yang terdapat di dalam Al-Quran atau dalam hadis-hadis yang sahih dan juga ajaran daripada pakar-pakar dalam bidang Islam,” kata Dr Mahathir.

Menurutnya, soal bahasa juga menjadi satu masalah juga kepada kita kerana ramai daripada kita boleh membaca Al-Quran dalam Bahasa Arab, tetapi tidak faham isi kandungan Al-Quran itu.

Apabila kita tidak faham apa yang disampaikan dalam Bahasa Arab, maka kita tidak faham agama kita.

Sebaliknya dalam Al-Quran terdapat segala panduan berkenaan dengan seseorang Islam dan cara hidup orang Islam.

Addin adalah berkenaan dengan cara hidup orang Islam dan jika mereka hendak tahu cara hidup orang Islam, mereka mestilah mengetahui dalam bahasa yang mereka faham.

Selain daripada membaca Al-Quran dengan berlagu dan menghafaz, kita juga mestilah memahami  mesej dan maklumat yang terdapat di dalam Al-Quran.

Walaupun Al-Quran dalam Bahasa Melayu, ianya bukanlah Al-Quran tetapi Al-Quran terjemahan daripada Bahasa Arab kepada Bahasa Melayu.

Dengan itu, kita akan faham isi kandungan dan panduan dalam Al-Quran berkenaan dengan cara hidup orang Islam.

Kita Islam bukan sekadar mengucap dua kalimah syahadah bahkan memahami isi kandungan Al-Quran yang menjadi pegangan hidup kita sekali gus mengamalkan ajaran Islam.

Di dalam Al-Quran menyatakan Islam itu adalah bersaudara tetapi kita lihat Islam bermusuhan dan berperang sesama Islam dan ini adalah perkara yang dilarang oleh agama Islam.

Demikian tegasnya pandangan Islam di dalam Al-Quran kerana disebut jika membunuh seorang bersamaan membunuh umat manusia tetapi hari ini kita lihat di negara-negara tertentu, peperangan berlaku di kalangan orang Islam dan mereka membunuh sesama orang Islam yang lain.

Pembunuhan adalah dilarang di dalam Islam dan apabila kita membunuh bermakna kita ketepikan ajaran Islam.

Tambah Dr Mahathir lagi, di dalam Al-Quran juga di sebut bahawa apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil kerana ia terdapat sebanyak 43 ayat di dalam wahyu Allah tetapi kita telah membuat sesuatu hukuman tanpa keadilan.

Keadilan hendaklah ditunjuk sebelum hukuman dijatuhkan, sebab itu kadangkala membuat tafsiran tanpa berpandukan ajaran Al-Quran. Kita membuat tafsiran sesuka hati bahkan ada yang telah dihukum bunuh.

“Kalau semua orang Islam melaksanakan ajaran yang terdapat di dalam Al-Quran, saya yakin dan percaya ramai orang bukan Islam akan memeluk agama Islam tetapi kita telah melakukan benda-benda yang dilarang oleh Islam umpamanya kita letupkan bom membunuh manusia yang tidak berdosa, itu bukan sebahagian daripada ajaran agama Islam,” tegas Dr Mahathir.

Ajaran Islam menegaskan bahawa kita mestilah mengerjakan kebaikan dan mencegah kemungkaran yang disebut berkali-kali di dalam Al-Quran iaitu Surah Luqman, ayat 17; Ali-Imran, ayat 104; Ali-Imran, ayat 110; Surah Al-A’raf, ayat 157; Al-Hijr, ayat 41, Surah At-Taubah, ayat 71; Surah At-Taubah, ayat 112 serta di dalam beberapa hadis sahih.

Sebenarnya agama Islam bukanlah agama yang menekan dan tidak menjadi masalah jika kita hendak berpakaian bagaimanapun asalkan kita menutup aurat sudah mencukupi.

Di dalam Al-Quran disebut bahawa aurat perempuan tidak termasuk tangan dan muka.

Kepada saudara yang baru memeluk agama Islam faham bahawa Islam bukanlah agama yang menekan dan bukanlah satu perkara yang susah.

Ajaran Islam menjadi bertambah sukar kerana terdapat pihak-pihak tertentu yang mentafsir mengikut kehendak mereka sendiri misalnya ada di kalangan pemimpin Islam membenarkan pembunuhan berlaku kepada orang Islam lain kerana mereka tidak Islam mengikut cara kumpulan tersebut.

Mereka membuat ukuran bahawasanya mereka lebih Islam daripada pihak lain dan mereka berhak membunuh orang Islam lain kerana tidak mengikut ajaran mereka.

“Ini bukanlah ajaran Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW kerana ajaran Islam memberi kelonggaran dan sebab itu tidak ada paksaan dalam Islam,” ucap bekas Perdana Menteri ketujuh itu.

“Saya yakin ramai yang sedar tentang ajaran Islam ini begitu mudah diamalkan oleh kita tetapi yang menjadikan agama Islam lebih berat ialah orang yang menafsir mengikut kepentingan mereka umpamanya apabila mereka menubuh satu-satu kumpulan dengan ajaran mereka, mereka sering berkata kumpulan yang lain tidak Islam,” kata Dr Mahathir.

Mereka tidak ada hak untuk berkata kumpulan yang lain tidak Islam sedangkan kumpulan yang lain ini juga mengucap dua kalimah syahadah dan menurut apa yang diwajibkan oleh agama Islam ke atasnya.

Ajaran Islam tidak berat dan tidak susah kerana di dalam Al-Quran atau hadis terdapat banyak panduan. Sekiranya didapati terdapat tafsiran-tafsiran yang dibuat bertentangan dengan Al-Quran atau hadis, kita tidak perlu mengikut tafsiran itu.

Beliau menekankan bahawa agama Islam tidak susah dan tidaklah begitu keras sehingga jika kita sedikit terlari daripada ajaran Islam, maka kita sudah tidak Islam.

Ujar Dr Mahathir lagi, jika kita melakukan perkara yang dilarang dan menjadi satu dosa, ia akan dibalas di akhirat bahkan di dunia ini juga.

Kita akan menjadi orang Islam yang baik sekiranya kita melaksanakan apa yang terdapat di dalam Al-Quran dengan mengerjakan kebaikan dan menolak kemungkaran.

“Dimanakah ajaran Islam yang terdapat Al-Quran yang membolehkan orang Islam meletupkan diri dan orang yang tidak berdosa? Jemaah yang sedang melaksanakan solat dan ibadah di dalam masjid pun sanggup kumpulan tersebut letupkan diri,” tegas Dr Mahathir.

“Perbuatan yang terkutuk inilah yang menyebabkan ramai orang sukar untuk menerima agama Islam, bukan kerana agama Islam itu tidak baik tetapi kerana tafsiran yang dibuat itu mengikut nafsu mereka dan bukan mengikut ajaran Islam.

Beliau mengucapkan tahniah kepada mualaf yang baru memeluk agama Islam dan memberikan kepercayaan apabila mereka memeluk agama Islam, mereka tidak akan bermusuh dengan orang lain.

Tambahnya, Allah SWT menjadikan manusia ini berbagai kaum dan bangsa bahkan berbagai agama dan sebab itu di dalam Surah Al-Kafirun, ayat 4 dan 5 bermaksud: “Kepada kamu agama kamu, cara kamu. Kepada kami agama kami, cara kami.”

“Berbunuh sesama orang yang mengucap dua kalimah syahadah ini bermakna kita berperang dan berbunuh sesama orang Islam. Ini adalah dilarang di dalam agama Islam meskipun berbunuhan antara puak Syiah dan Sunni,” ulas Dr Mahathir mengakhiri ucapan.

Turut diadakan sesi soal jawab bersama para hadirin.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya.


Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata himpunan diadakan khusus untuk mendengar perkongsian oleh seorang yang telah melalui pelbagai pengalaman dan perspektif dakwah berdasarkan kepada pengalaman yang tidak terdapat pada orang lain seperti pentadbiran negara, menjalankan profesion dan pengalaman serta pemerhatian sebagai seorang Islam sekali gus Yang Dipertua PERKIM.

Kata beliau, apabila Adam AS dibangkitkan sebagai seorang Nabi maka sebenarnya sudah bermulanya dakwah dan usia dakwah adalah sama usia manusia itu sendiri.

Dakwah sudah melalui berbagai-bagai keadaan dan situasi yang dipadankan dengan suasana seperti Nabi Adam AS telah berdakwah dipadankan dengan zamannya.

Manakala Nabi-nabi yang lain telah berdakwah mengikut zamannya kerana itu apabila Allah SWT menyatakan di dalam Surah Ali Imran, ayat 104 bermaksud: ““Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang kebaikan dan mencegah dari yang mungkar.”

Menurut Dr Yusof Noor, kalimah yang terdapat di dalam ayat tersebut telah menyatakan kepada kita bahawa ada tiga perkara yang perlu kita buat oleh umat yang Allah SWT utuskan.

Pertama, dakwah dahulu kemudian diikuti dengan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran. Susunan itu telah disusun oleh Pencipta Alam kerana ini adalah pemilik kalimah Allah SWT.

Tambahnya, ia didahulukan dengan dakwah kerana ini adalah urusan yang boleh membantu manusia dan dakwah perlu dipadankan dengan suasana.

Pengalaman yang ada pada diri Tun Dr Mahathir adalah sangat berguna untuk kita dan para pendakwah juga perlu melihat persepektif dari orang yang melalui kepelbagaian urusan manusia.

Secara peribadi apa yang disampaikan ini adalah sangat berguna untuk PERKIM kerana PERKIM hidup di zaman ini.

Jelas Dr Yusof Noor, jika di zaman Nabi Musa difokuskan kepada perbuatan sihir dan perkara yang ditujukan oleh Nabi Musa AS ialah hal ehwal yang berkaitan dengan sihir manakala jika zaman itu zaman munafik perlu difokuskan kepada perkara kemunafikan.

“Perkara yang dibicarakan ialah dakwah selari dengan keadaan dan isu utama berdasarkan kepada perspektif seorang pemimpin yang kini memimpin PERKIM yang sangat berguna sekali gus menjadikan ia sebagai asset perjuangan PERKIM,” katanya.

Selain itu, hadirin turut mendengar ceramah bertajuk ‘Soalan Terakhir non-Muslim’ disampaikan oleh Presiden Persatuan Interaktif Dakwah dan Tarbiyah, Lim Jooi Soon manakala YBhg Dato’ Dr Abdul Razak Kechik selaku Presiden Briged Bakti Malaysia menyampaikan ceramah bertajuk ‘Pentingnya Dakwah Kepada Bukan Islam Dalam Negara Majmuk’.

Di akhir majlis, Tun Dr Mahathir Mohamad diriingi Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan anugerah di Majlis Penyampaian Penghargaan Khas Dakwah kepada Tokoh Pendakwah PERKIM kepada YBhg Dato’ Dr Abdul Razak Kechik, Lim Jooi Soon dan Khadijah Monica Elisabeth Francisca Dingjan.

Tokoh Pendakwah PERKIM masing-masing menerima sebuah trofi, sijil penghargaan dan wang tunai.


Tun Dr Mahathir mengangkat jari telunjuk bagi mengikrarkan dua kalimah syahadah kepada lima saudara baru lelaki pelbagai bangsa ketika di Wacana Dakwah.


Lima saudara baru pelbagai kaum bersama-sama melafazkan dua kalimah syahadah dipimpin oleh Tun Dr Siti Hasmah sambil mengangkat jari telunjuk.


Lim Jooi Soon menyampaikan ceramah bertajuk ‘Soalan Terakhir non-Muslim


Antara hadirin yang hadir di Wacana Dakwah di Yayasan Kepimpinan Perdana.


‘Pentingnya Dakwah kepada Bukan Islam dalam Negara Majmuk’ merupakan tajuk ceramah disampaikan oleh Dato’ Dr Abdul Razak Kechik.


Kepimpinan tertinggi PERKIM turut mendengar ceramah yang disampaikan.


Ucapan aluan disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan bicara dalam Wacana Dakwahnya.


Hadirin tekun mendengar wacana yang disampaikan oleh Yang Dipertua PERKIM.


Dr Mahathir menegaskan bahawa orang Islam mestilah menurut ajaran daripada Al-Quran yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad SAW.


Abdul Ghaffar dari Gabungan Dakwah Malaysia (GDM) bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab.


Dr Mahathir menjawab soalan yang diajukan daripada hadirin.


Mahasiswa Kelab PERKIM KUIS bersemangat melontarkan soalan kepada Yang Dipertua PERKIM.


Ali yang merupakan pelajar KPIPK turut bertanyakan soalan dalam sesi soal jawab.


Dr Mahathir menyampaikan sebuah trofi, sijil penghargaan Tokoh Pendakwah PERKIM kepada Dato’ Dr Abdul Razak Kechik.


Lim Jooi Soon (kiri) menerima sebuah trofi, sijil penghargaan daripada Dr Mahathir (tengah) sambil disaksikan oleh Tun Fairuz (belakang) dan Dr Yusof Noor (kanan).


Dr Mahathir (tengah) menyampaikan trofi Penghargaan Khas Dakwah kepada Tokoh Pendakwah PERKIM, Khadijah Monica Elezebeth Francisca Dingjan (kiri) di akhir majlis itu.

Related Articles

Back to top button