Ziarah Muhibah PERKIM Semarak Perpaduan Masyarakat Majmuk Orang Asli di Lojing
ᴼᴸᴱᴴ : ᵁᴹᴵ ᴹᵁˢᶠᴵᴿᴬᴴ ᴬᴮᴰᵁᴸ ᴳᴴᴬᴺᴵ
𝐋𝐎𝐉𝐈𝐍𝐆, 𝟏𝟒 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Masyarakat Orang Asli di Kampung Sigar menerima kunjungan Ziarah Muhibah anjuran PERKIM Kebangsaan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Kelantan hari ini.
Kedatangan para sukarelawan bukan sekadar mengetuk pintu rumah penduduk, tetapi mengetuk pintu hati mereka membawa tanda kasih, bantuan dan sokongan moral yang menjadi nadi program kemasyarakatan PERKIM sejak sekian lama.
Keakraban yang terjalin sejak awal pagi lagi, apabila penduduk Kampung Sigar terutama anak-anak kecil turut serta bersarapan bersama rombongan, menjadi pembuka tirai perjalanan ziarah.
Menurut 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, ziarah tersebut bukan semata-mata menghulurkan bantuan, tetapi membawa mesej lebih besar tentang penyatuan masyarakat majmuk di pedalaman Kelantan.
“Program ini diadakan bagi mendekati masyarakat Orang Asli secara lebih rapat, memahami realiti kehidupan mereka serta membantu meringankan beban golongan miskin dan kurang berpendapatan,” katanya.
Beliau menambah bahawa pendekatan turun padang secara langsung merupakan antara kaedah paling berkesan untuk membina kepercayaan dan hubungan jangka panjang di kawasan pedalaman terutama di lokasi yang memerlukan komitmen fizikal seperti Lojing Highlands yang terkenal dengan laluan berbukit.
Sepanjang ziarah berlangsung, rombongan dipandu oleh Penggerak Kampung Orang Asli, Ustaz Tarmizi, yang sudah lama berkhidmat sebagai penghubung antara masyarakat Orang Asli dan PERKIM.
Beliau menunjukkan laluan rumah ke rumah, melalui denai kecil, tanah merah dan jalan balak yang menjadi nadi pergerakan harian masyarakat di kampung tersebut.
Program ini turut disertai barisan petugas PERKIM yang memainkan peranan masing-masing iaitu Eksekutif Pentadbiran, Ahmad Hasaidi Said; Timbalan Eksekutif Pentadbiran,Mohd Azrol Mohd Azmi; Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Ustazah Wan Zubaidah Wan Yusof; Timbalan Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Ustaz Nordin Abdullah @ Noraden Anuraksas, Pembantu Tadbir PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Halimah Yusoff serta beberapa orang sukarelawan.
Dalam setiap rumah yang diziarahi baik Islam mahupun bukan Islam rombongan menyampaikan pek makanan barang asas dapur mengandungi beras, minyak, kicap, bihun, biskut, garam, gula, kopi, mi segera dan susu pekat manis.
Setiap keluarga turut menerima sumbangan saguhati bagi meringankan keperluan harian.
Penduduk yang ditemui terdiri daripada pelbagai kategori termasuk keluarga miskin, penduduk kurang pendapatan, warga emas tinggal bersendirian, ibu tunggal dan golongan yang terjejas akibat ketidaktentuan cuaca serta kesukaran mencari hasil hutan.
Beberapa penduduk ditemu bual menyatakan rasa terharu atas keprihatinan pihak PERKIM yang sudi turun ke kawasan mereka yang jauh dari bandar.
“Kami jarang menerima kunjungan sebesar ini. Terima kasih sebab datang tengok kami, bukan bagi barang saja tapi datang bertanya khabar,” ujar salah seorang penduduk, sambil memeluk erat sumbangan yang diterima.
Ustaz Farhan Tee menegaskan bahawa ziarah seperti ini mempunyai nilai yang lebih besar daripada sekadar bantuan, ia menjadi jambatan kefahaman antara komuniti Islam di bandar dan penduduk Orang Asli di kawasan tanah tinggi, yang sering berdepan cabaran kehidupan serta akses terhad kepada kemudahan asas.
Beliau turut menekankan bahawa kebajikan adalah pintu besar kepada dakwah dan dakwah itu bukanlah paksaan, tetapi pendekatan penuh hikmah dan kasih sayang.
“Masyarakat Orang Asli di sini ada yang beragama Islam dan ada yang bukan Islam.
“Kita mendekati semua secara adil dan hormat kerana Islam mengajar kita mendahulukan nilai kemanusiaan dan ihsan. Ini yang kami praktikkan,” katanya.
Menjelang tengah hari, setelah menziarahi puluhan rumah, jamun makan tengah hari dihidangkan buat semua penduduk kampung.

Ustazah Wan Zubaidah menghidangkan sarapan pagi kepada kanak-kanak penduduk Kampung Sigar.

Farhan Tee dan Hasaidi sempat beramah mesra dengan kanak-kanak setempat.

Azrol, Shah, Farhan dan Hasaidi membawa bungkusan makanan ke kampung untuk diagihkan.

Farhan Tee menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penerima di Kampung Sigar 1.

Hasaidi Said menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung.

Ustaz Nordin menyampaikan sumbangan kepada penduduk kampung.

Seorang penerima amat gembira menerima bungkusan makanan daripada pihak PERKIM.

Salah seorang rumah penerima sumbangan yang sangat dhaif.



