Ziarah Kebajikan PERKIM Ke Pusat Jagaan HK Anbu Illam Bidor Semarakkan Semangat Keprihatinan
ᴼᴸᴱᴴ : ᵁᴹᴵ ᴹᵁˢᶠᴵᴿᴬᴴ ᴬᴮᴰᵁᴸ ᴳᴴᴬᴺᴵ
𝐁𝐈𝐃𝐎𝐑, 𝟏𝟔 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Usaha memperkasa kerja-kerja kebajikan terus dipergiat apabila PERKIM Kebangsaan mengadakan ziarah prihatin ke Pusat Jagaan HK Anbu Illam Bidor dekat sini, pada pagi Ahad.
Program ini dianjurkan oleh PERKIM dengan saluran dana daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi menjayakan pelaksanaan aktiviti tersebut.
Kehadiran rombongan PERKIM disambut mesra oleh Petugas Pusat, Krishnan dan Mageshwari yang mewakili pihak pengurusan.
Pusat jagaan yang beroperasi sejak tahun 2020 itu menempatkan seramai 40 orang penghuni terdiri daripada masyarakat Islam dan bukan Islam.
Para penghuni berasal dari pelbagai negeri antaranya Pulau Pinang, Pahang, Kedah, Kuala Lumpur dan Perak. Daripada jumlah keseluruhan penghuni, 30 orang merupakan lelaki dan 10 orang perempuan.
Mereka ditempatkan di dalam bilik berasingan mengikut kategori jantina dengan kapasiti lima orang sebilik, bagi memastikan keselesaan dan kebajikan masing-masing terjamin.
Penghuni paling muda berusia 27 tahun manakala paling senior berusia 78 tahun yang menggambarkan keperluan penjagaan pelbagai peringkat usia di pusat berkenaan.
Secara umum, majoriti penghuni mampu menguruskan diri sendiri setiap hari, namun sembilan daripadanya memerlukan sokongan tambahan kerana menggunakan kerusi roda.
Keperluan mereka dipantau dan dibantu oleh empat orang petugas pusat jagaan yang diketuai oleh Seelan selaku penyelia utama.
𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, berkata penganjuran ziarah ini bukan sekadar kunjungan biasa, tetapi bertujuan menyantuni para penghuni serta menyampaikan sumbangan sebagai tanda prihatin.
Menurutnya, PERKIM komited untuk menjadikan aktiviti sebegini sebagai platform pengukuhan hubungan masyarakat tanpa mengira agama atau latar belakang.
Dalam program berkenaan, setiap penghuni menerima pek makanan mengandungi susu kotak, aneka biskut serta tuala muka.
Agihan sumbangan disempurnakan oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Farhan Tee sendiri digandingkan bersama Eksekutif Pentadbiran, Ahmad Hasaidi Said; Timbalan Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Azrol Mohd Azmi serta Pemandu PERKIM Kebangsaan, Mualish Shah Haji Mohd Anuar.
Dalam ucapannya, Ustaz Farhan Tee merakamkan penghargaan kepada Seelan dan seluruh petugas yang sentiasa komited menguruskan para penghuni, selain sudi menerima kedatangan rombongan PERKIM.
Beliau turut menyerahkan plak cenderamata PERKIM serta dua buah hamper kepada pihak pusat jagaan sebagai simbol penghormatan dan penghargaan atas peranan mereka menjaga kebajikan warga pusat tersebut.
Program yang berlangsung penuh mesra itu diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai kenangan dan tanda kasih antara pihak PERKIM kepada pengurusan pusat serta para penghuni.
Kunjungan tersebut sekali lagi membuktikan komitmen PERKIM dalam memperkukuh jaringan kebajikan masyarakat, selaras dengan usaha memupuk semangat prihatin dan perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk.

Pusat Jagaan HK Anbu Illam yang menempatkan 40 orang penghuni.

Pek makanan yang mengandungi susu kotak, aneka biskut dan tuala muka untuk diberikan kepada penghuni pusat jagaan.

Farhan Tee menyampaikan ucapan ringkas kepada penghuni pusat.

Farhan Tee menyampaikan plak PERKIM kepada Petugas Pusat, Mageshwari.

Farhan Tee menyampaikan pek makanan kepada penghuni rumah.

Azrol menyampaikan pek makanan kepada salah seorang penghuni rumah.

Pihak PERKIM bergambar secara beramai-ramai dengan penghuni pusat sebagai kenang-kenangan.

Hasaidi sempat beramah mesra dengan penghuni pusat.



