Tun Mahathir Hadir Beri Penghormatan Terakhir Kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi
ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟏𝟓 𝐀𝐏𝐑𝐈𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟓, Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Tun Dr Mahathir Mohamad hadir di Masjid Negara untuk memberikan penghormatan terakhir kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang meninggal dunia semalam pada usia 85 tahun.
Tun Dr Mahathir tiba di Masjid Negara bersama isteri, Tun Dr Hasmah Mohamad Ali.
Kehadiran beliau mencerminkan penghormatan terhadap jasa dan sumbangan Tun Abdullah kepada negara.
Tun Abdullah, yang mesra dikenali sebagai “Pak Lah”, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7:10 malam, 14 April 2025, di Institut Jantung Negara (IJN) setelah dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat masalah pernafasan. Beliau berkhidmat sebagai Perdana Menteri dari 2003 hingga 2009, menggantikan Tun Dr Mahathir.
Sepanjang pentadbirannya, Tun Abdullah dikenali kerana pendekatan sederhana dalam Islam, usaha memerangi rasuah, dan komitmen terhadap pembangunan ekonomi serta teknologi.
Namun, beliau juga menghadapi kritikan berhubung pengurangan subsidi bahan api yang menyebabkan kenaikan harga, serta tekanan politik yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatannya pada 2009.
Hadir sama ialah 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗧𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗗𝗿 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗬𝘂𝘀𝗼𝗳 𝗡𝗼𝗼𝗿.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan waris Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Katanya, sesungguhnya pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan satu kehilangan besar kepada negara, khususnya dalam landskap kepimpinan Islam yang sederhana dan berhemah.
Sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima dan juga seorang tokoh dakwah yang dihormati, Allahyarham telah banyak menyumbang kepada pembangunan ummah menerusi pendekatan Islam Hadhari yang memperkukuh nilai-nilai murni dalam pentadbiran.
Ujarnya. Allahyarham ialah seorang pemimpin berjiwa tenang, berakhlak tinggi dan amat dekat dengan rakyat.
Sepanjang hayatnya, beliau sentiasa mendukung usaha-usaha kebajikan dan dakwah, termasuk melalui kerjasama erat dengan PERKIM.
Saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jasa dan bakti beliau, serta mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau dan menempatkannya dalam kalangan para solihin. Al-Fatihah.
Upacara penghormatan terakhir di Masjid Negara dihadiri oleh ahli keluarga, pemimpin negara, dan rakyat Malaysia yang ingin memberikan penghormatan kepada Allahyarham.


Dr Yusof Noor turut bersama menziarahi dan memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Pak Lah.

Dr Yusof Noor bertemu dengan tetamu-tetamu yang menziarahi Allahyarham Pak Lah.

Dr Yusof Noor menyambut ketibaan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir di perkarangan Masjid Negara.

Dr Mahathir bersama anaknya, Dato’ Mukhriz menuju ke dewan solat untuk memberi penghormatan terakhir.

Khairi Jamaludin membawa dan mempelawa Tun Dr Mahathir ke tengah ruang solat.

Tun Dr Mahathir berdiri tegak sambil bertafakur dan menghadiahkan al-Fatihah kepada Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Imam Masjid Negara memimpin doa ke atas jenazah Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Yang Dipertua PERKIM berangkat pulang seusai menziarahi Allahyarham.