Aktiviti Dakwah

Tun Mahathir Beri Anugerah Cemerlang Kelab PERKIM Di Majlis Iftar

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 31 MAC 2023 – “Kita bersyukur kehadrat Allah SWT kerana kita dapat mengadakan majlis berbuka puasa setiap tahun,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.


Dr Mahathir berkata ketika menyampaikan ucapannya di Majlis Iftar Bersama Yang Dipertua PERKIM dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Kelab PERKIM Universiti bertempat di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pada petang Jumaat.

Seramai 500 orang hadir terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, PERKIM Bahagian Negeri-negeri, Wanita PERKIM Kebangsaan, Kelab PERKIM Universiti (KPU), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), badan bukan kerajaan (NGO) dan saudara baru.

Menurut Dr Mahathir, penganjuran kali ini adalah demi menjaga kewangan kita kerana PERKIM bukanlah badan yang kaya dan pengurusan kewangan PERKIM perlu ambil kira segala keperluan utama.

“Kita perlu bersyukur kerana negara kita selamat daripada malapetaka yang kini banyak menimpa banyak negara-negara sama ada malapetaka itu terjadi secara semulajadi atau pun tindakan pihak-pihak tertentu.

“Gempa bumi yang berlaku di Turkiye dan Syria telah mengakibatkan kemusnahan tempat tinggal dan harta benda serta 50,000 orang terkorban.

“Demikian juga malapetaka seperti peperangan di Ukraine yang menyebabkan beribu-ribu orang mati dan berjuta-juta rakyat terpaksa melarikan diri akibat kemusnahan,” kata beliau.

Selain itu, terdapat juga negara yang mengalami banjir yang dahsyat mengakibatkan terkorban nyawa dan harta benda.

“Saya yakin di mana-mana tempat akan ada lebih banyak malapetaka kerana di waktu ini dunia sedang mengalami perubahan iklim yang tidak seperti dahulu dan kali ini lebih dahsyat sehingga di negara kita turut merasainya di merata-rata tempat termasuk di Kuala Lumpur dan negeri-negeri lain.

“Kita bersyukur dan bernasib baik kerana perubahan iklim di Malaysia tidak menyebabkan berlakunya gunung berapi, gempa bumi, banjir dahsyat serta peperangan.

“Sebagai orang Malaysia kita perlu bersyukur dengan melakukan amalan-amalan baik yang disuruh oleh agama kita.

“Islam mengutamakan keamanan, justeru kita mestilah menjaga keamanan negara yang kita cintai,” ujarnya.

Tambah beliau, kita di dalam PERKIM mestilah mempergiatkan dalam perkembangan agama Islam kerana tidak ada cara dakwah yang berkesan melainkan dengan menunjukkan kepada dunia bahawa orang Islam di negara kita adalah orang baik.

Antara cara yang perlu ditunjukkan ialah dengan menolong mangsa yang menghadapi malapetaka tidak kira mereka Islam atau pun tidak.

Secara tidak langsung, imej Islam akan menjadi lebih baik dan lebih mudah agama Islam dihormati dan disanjung serta tidaklah ia dikenali sebagai agama pengganas seperti yang dunia gelarkan.

Ini adalah tanggungjawab kita dan tanggungjawab semua orang Islam untuk memberi gambaran yang baik berkenaan agama Islam.

Dr Mahathir turut mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak dan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi di akhir ucapannya.


Terdahulu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam ucapannya pula berkata, di sepanjang bulan Ramadan, PERKIM Kebangsaan meraikan tetamu yang baru memeluk agama Islam kira-kira 200 orang dengan Majlis Berbuka Puasa dan solat tarawih di sini.

Ucapnya, kita bersyukur kepada Allah SWT walaupun tidak dapat menyediakan keselesaan seperti tahun-tahun sebelum, diharap Allah SWT memberikan kita ganjaran pahala yang besar dengan berlipat kali ganda dengan menjamu orang Islam berbuka puasa.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi Yayasan Pembangunan Iktisad Islam Malaysia (YPIIM), YB Dato’ Seri Shahidan Kassim yang telah menyumbang sebanyak RM38,000 kepada Kelab-kelab PERKIM Universiti (KPU) bagi tujuan program dan aktiviti dakwah.

Tambah Dr Yusof Noor lagi, Surau PERKIM yang telah diperbaiki boleh memuatkan kira-kira seramai 150 orang menjadi tumpuan jemaah di kawasan ini untuk menunaikan solat lima waktu dan solat sunat tarawih.

Hari ini merupakan sejarah di mana Tun Yang Dipertua PERKIM menunaikan solat di Surau PERKIM berwajah baharu.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian Anugerah Kecemerlangan KPU 2023 disampaikan oleh Dr Mahathir diiringi Dr Yusof Noor.

Dr Mahathir telah menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Program dan Aktiviti Tahap Emas kepada KPU Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak. Ahli kelab membawa pulang sebuah trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil anugerah.

Bagi tahap perak pula dianugerahkan kepada KPU Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (UniSHAMS) menerima sebuah trofi, wang tunai RM700 dan sijil anugerah.

Manakala KPU Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS) pula dianugerahkan tahap gangsa dengan menerima sebuah trofi, wang tunai RM500 dan sijil anugerah.

Anugerah kecemerlangan program dan aktiviti adalah bagi mengiktiraf KPU yang merancang dan melaksanakan program dan projek yang paling banyak melibatkan projek khidmat masyarakat, ekonomi, sosial dengan cekap dan berkesan.

Dr Mahathir turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus Tahap Emas kepada KPU UIAM Gombak. Ahli kelab menerima sebuah trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil anugerah.

Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus Tahap Perak dimenangi oleh KPU Universiti Sains Malaysia (USM) dengan membawa pulang sebuah trofi, wang tunai RM700 beserta sijil anugerah.

Manakala KPU Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dianugerahkan Kecemerlangan Tadbir Urus Tahap Gangsa dengan menerima sebuah trofi, wang tunai RM500 dan sijil anugerah.

Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus adalah bagi KPU yang menunjukkan usaha-usaha mentadbir urus kelab masing-masing dengan cekap dan berkesan.

Dr Mahathir juga menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Penasihat KPU kepada YBhg Prof Madya Dr A’dawiyah Haji Ismail manakala Nur Annajwa Samsudin pula diberi pengiktirafan Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan KPU.

Mereka masing-masing dari KPU UKM membawa pulang sebuah trofi, wang tunai RM1,000 dan sijil anugerah.

Anugerah tersebut mengiktiraf penasihat dan pengerusi KPU yang telah menunjukkan kepimpinan yang boleh dijadikan contoh dan teladan kepada misi KPU mereka.

Dr Mahathir turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM1,000 serta sijil penghargaan masing-masing kepada 14 KPU iaitu Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pahang, Universiti Kuala Lumpur Institut Teknologi Kimia dan Bio-Kejuruteraan Malaysia (UniKL MICET), Universiti Kuala Lumpur Institut Teknologi Maklumat Malaysia (UniKL MIIT), Universiti Islam Antarabangsa Selangor (UIS), Universiti Tun Abdul Razak (UniRAZAK), Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMUC), UIAM Gombak, UIAM Kampus Pagoh, UKM, UNIPSAS, USM dan UniSHAMS.

Sheikh Amru Jumaah Abduh selaku Imam dan Guru al-Quran dari negara Mesir yang mengalunkan ayat suci al-Quran al-Karim di majlis tersebut turut menerima cenderahati daripada Tun Yang Dipertua PERKIM.

Dr Yusof Noor diiringi Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim menyampaikan cenderahati kepada YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Majlis berakhir dengan majlis jamuan berbuka puasa, solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat tarawih.

Turut hadir ialah Isteri Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali; Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Pahang, YBhg Dato’ Seri Hasan Arifin; Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Sembilan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah, YBhg Dato’ Mansor Haji Ismail; Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Dato’ Haji Ali Ab. Majid, YBhg Dato Haji Mohd Nawawi Ismail; Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Nurzarina Sepran Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun serta Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.


Ketibaan YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad di Majlis Iftar Yang Dipertua PERKIM.


Dr Mahathir bersama tetamu kehormat yang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.


Isteri Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama tetamu kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dr Mahathir bersama Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah (kiri) dan Dr Yusof Noor.


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di majlis tersebut.


Tun Yang Dipertua PERKIM menyampaikan amanatnya di majlis iftar.


Dr Mahathir menyarankan PERKIM mempergiatkan lagi dakwah dan perkembangan agama Islam.


Dr Mahathir menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Program dan Aktiviti Tahap Emas kepada KPU UIAM Gombak.


KPU UniSHAMS menerima Anugerah Kecemerlangan Program dan Aktiviti tahap perak daripada Dr Mahathir.


Penerima tahap gangsa disampaikan kepada KPU UNIPSAS.


Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus Tahap Emas disampaikan oleh Dr Mahathir kepada KPU UIAM Gombak.


KPU USM menerima Anugerah Kecemerlangan Tadbir Urus Tahap Perak daripada Dr Mahathir.


Penerima tahap gangsa dianugerahkan kepada KPU UKM.


Nur Annajwa Samsudin daripada KPU UKM menerima Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan daripada Dr Mahathir.


Dr Mahathir menyampaikan replika cek RM1,000 Anugerah Kecemerlangan Penasihat KPU 2023 kepada YBhg Prof Madya Dr A’dawiyah Haji Ismail daripada KPU UKM.


Pemenang Anugerah Kecemerlangan KPU 2023 bergambar bersama Dr Mahathir dan Naib Yang Dipertua PERKIM.


Sheikh Amru Jumaah Abduh mengalunkan ayat suci al-Quran al-Karim sebelum berbuka puasa.


Tetamu kehormat menikmati juadah berbuka puasa.


Kepimpinan PERKIM menunaikan solat di Surau PERKIM selepas berbuka puasa.


Mahasiswa KPU mengambil kesempatan bergambar bersama Dr Mahathir selepas jamuan iftar.

Related Articles

Back to top button