Aktiviti DakwahAktiviti Wanita PERKIM

Tengku Temenggong Kelantan Berkenan Kurnia Sijil Pengajian Islam Kepada 80 Pelajar IDIP

oleh: SRZ

KOTA BHARU, 3 MAC 2024 – YBM Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkenan menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Insititut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) (IDIP) bertempat di Dewan Putra, Taman Putra PERKIM, Pengkalan Chepa dekat sini, pada pagi Ahad.

Tengku Mohamad Rizam hadir bersama Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang juga merupakan Tengku Puan Temenggong Kelantan dan Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan.

Majlis dihadiri seramai lebih 200 orang terdiri dari kalangan warga Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), warga IDIP, warga PERKIM Kebangsaan, warga PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, para pelajar serta ibu bapa.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa, lagu Negaraku dan lagu PERKIM Pacu Kemajuan serta disusuli dengan ucapan aluan oleh Pengarah IDIP, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah.

Dr Ramle merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tengku Temenggong Kelantan kerana berkenan merasmikan Majlis Penyampaian Sijil IDIP Ke-28 dan mengalu-alukan perkenannya untuk menyampaikan Sijil IDIP kepada para pelajar yang terdiri daripada kalangan saudara baharu berketurunan Cina, India, Orang Asli, Bidayuh, Iban, Murut, Kadazan dan lain-lain.


YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dalam sembah ucapan perasmiannya pula berkata, majlis kali ke-28 itu diadakan bagi meraikan kejayaan 80 pelajar yang telah lulus pengajian dan layak mendapat sijil masing-masing sekaligus menjadi detik bersejarah kepada semua penerima sijil.

“Saya percaya majlis ini amat dinantikan oleh pelajar dan ibu bapa kerana ia bukti bahawa para pelajar telah menamatkan perjuangan menuntut ilmu di IDIP dengan jayanya,” titahnya sambil merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada para pelajar,” katanya.

Baginda turut menyampaikan ucapan sekalung tahniah kepada seluruh warga kerja IDIP di atas usaha dan tenaga mereka yang tidak jemu- jemu mendidik pelajar khususnya dari kalangan saudara baharu dan anak-anak saudara baharu menuntut ilmu serta berjaya menjadi seorang warga yang berguna dan komited kepada agama, seterusnya menjadi seorang pendakwah yang berkaliber.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Yang Dipertua MAIK sentiasa menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh PERKIM dalam memertabatkan pendidikan Islam dan dakwah bagi kepentingan generasi akan datang.

Tambahnya, MAIK akan terus membantu setakat yang termampu bagi memastikan IDIP terus kekal relevan di persada pendidikan di negara ini di mana MAIK merupakan penyumbang penajaan pelajar yang terbesar setakat ini berbanding dengan agensi-agensi lain.

Ujar Baginda lagi, sumbangan yang murni ini akan dapat diteruskan pada masa-masa akan datang dengan hasrat dan objektif untuk turut sama menyumbang kepada perkembangan serta pembangunan pendidikan golongan saudara baru dan asnaf.

“Berhubung dengan pembangunan fizikal kampus IDIP, saya difahamkan usaha-usaha dan perancangan sedang giat dilakukan oleh pengurusan PERKIM untuk membangunkan sebuah asrama baru untuk pelajar lelaki, sebuah dewan serbaguna dan sebuah surau.

“Saya percaya usaha-usaha ini perlu diberi sokongan oleh semua pihak khususnya para dermawan untuk memastikan perancangan pembangunan ini menjadi kenyataan dan dapat disegerakan.

“Saya berdoa agar pembangunan yang dirancangkan oleh PERKIM akan dapat dilaksanakan secepat mungkin untuk memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelajar.

“Semoga dengan sempurnanya pelbagai kemudahan tadi, maka akan lebih ramai pelajar-pelajar yang berminat dapat diberi peluang untuk belajar di IDIP.

Baginda berhasrat semoga IDIP akan terus unggul dan menjadi wadah pendidikan dan dakwah khususnya kepada golongan saudara baharu, anak-anak saudara baharu dan asnaf di negara ini dan sentiasa diberkati dan direstui Allah SWT.

Tengku Temenggong Kelantan dan Tengku Puan Temenggong Kelantan berkenan mengurniakan Sijil Pengajian Islam dan Anugerah Kecemerlangan IDIP kepada 80 pelajar.

IDIP menawarkan kursus Sijil Pengajian Islam yang memberikan pendedahan akidah Islam kepada para saudara baharu yang menuntut di sini di samping memberi kefahaman terhadap prinsip-prinsip umum.

Dengan adanya sijil tersebut para pelajar dapat memahami dan memperkukuhkan penguasaan dalam perkara-perkara fardhu ain selain dapat memberikan pendedahan terhadap sumber-sumber hukum Islam.

Selain itu, kursus ini adalah diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan setiap pelajar yang memasuki kursus ini mestilah mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan setaraf dengannya.

Bagi permohonan untuk kemasukan Sijil Asas Pengajian Islam IDIP untuk dua semester, saudara baharu mestilah berumur 18 tahun ke atas; memiliki Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) atau setaraf dengannya; mampu membaca, menulis dan berkomunikasi dengan baik dalam Bahasa Melayu serta ditaja oleh Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, yayasan atau individu.

Bagi permohonan untuk kemasukan Sijil Pengajian Islam pula saudara baharu mestilah berusia 18 tahun ke atas; lulus SPM dengan sekurang-kurangnya satu kepujian dalam mana-mana mata pelajaran atau lulus Sijil Asas Pengajian Islam IDIP sekurang-kurangnya purata nilai gred semester (PNGK) 3.0 dan ke atas; ditaja Majlis Agama Islam atau Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, yayasan atau individu.

Bagi menghargai kurniaan Sijil IDIP, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan cenderahati sebuah bingkai ayat suci al-Quran kepada Tengku Mohamad Rizam.

Selain itu diadakan persembahan nasyid bertajuk Iman Mutiara dan Sollatullah disampaikan oleh pelajar IDIP.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM merangkap Pengerusi IDIP, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pendaftar IDIP, Mat Salleh Hassan.


Kepimpinan PERKIM Kebangsaan menyambut ketibaan YBM Tengku Temenggong Kelantan di IDIP.


Tengku Mohamad Rizam diiringi Dr Yusof Noor menuju ke Dewan Putra IDIP.


Tengku Mohamad Rizam berpakaian jubah graduasi bagi Majlis Penyampaian Sijil IDIP.


Ketibaan Tengku Mohamad Rizam di dalam Dewan Putra IDIP.


Tetamu kehormat menyanyikan lagu Negaraku dan lagu PERKIM Pacu Kemajuan.


Hadirin menadah tangan ketika doa dibacakan.


Antara wajah-wajah saudara baharu yang akan menerima Sijil Pengajian Islam IDIP.


Tetamu kehormat menonton bingkisan video yang disediakan.


Dr Ramle selaku Pengarah IDIP menyampaikan ucapan aluan.


(Dari kiri:) Dr Yusof Noor, Tengku Ahmad Rizam dan Tunku Noor Hayati di pentas Majlis Penyampaian Sijil IDIP Ke-28.


Tengku Mohamad Rizam menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Penyampaian Sijil IDIP Ke-28


Antara hadirin yang hadir memeriahkan Majlis Penyampaian Sijil IDIP Ke-28.


Tengku Mohamad Rizam menyampaikan Sijil Pengajian Islam kepada pelajar.


Pelajar dari kalangan saudara baharu menerima Sijil Pengajian Islam IDIP daripada Tengku Mohamad Rizam.


Tengku Temenggong Kelantan menyampaikan Sijil Pengajian Islam IDIP kepada pelajar muslimat.


Kegembiraan terukir di wajah pelajar ketika menerima segulung Sijil IDIP daripada Tengku Temenggong Kelantan.


Majlis turut diserikan dengan penyampaian lagu bertajuk Iman Mutiara dan Solatullah dari pelajar IDIP.


Tunku Noor Hayati menyampaikan sumbangan saguhati kepada penerima sijil IDIP.


Pelajar IDIP menerima sumbangan saguhati daripada Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati sebuah bingkai potongan ayat suci Al-Quran kepada Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button