Aktiviti Dakwah

Tadarus Sempena Nuzul Quran Bersama Mualaf PERKIM

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

”Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa.” (al-Baqarah : 2)

Dari Ibnu Abbas, katanya: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling murah hati, lebih-lebih lagi ketika bertemu Malaikat Jibril di bulan Ramadan. Beliau bertemu Jibril pada pada setiap malam bulan Ramadan untuk bertadarus al-Quran. Maka sifat murah hati Rasulullah melebihi hembusan angin.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Bagi mempertingkatkan ibadah dan amalan di bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Majlis Tadarus al-Quran sempena Sambutan Nuzul Quran Bersama Saudara Muslim 1435H bertempat di Surau Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

siti-munirah-sayed-mohd-hamdansPenyelaras program, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan berkata, 17 Ramadan tanggal bersejarah bagi umat Islam di mana wahyu diturunkan kali pertama di Gua Hira’ kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Jibril a.s.

”Bersempena hari kebesaran Islam iaitu Nuzul Quran, Perkim menganjurkan tadarus bersama Saudara Muslim untuk meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda pada bulan tersebut,” katanya.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memeriahkan bulan Ramadan dengan ibadah, tadarus, qiamullail (dan dilakukan) dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka akan diampuni segala dosanya yang telah lalu.” (Hadith Riwayat Bukhari)

”Seramai 130 peserta menyertai tadarus yang terdiri daripada kakitangan Perkim serta Saudara Muslim berbangsa Cina, India, Iban, Filipina, Indonesia dan Siam,” ujarnya.

Jelas Munirah, peserta dibahagikan kepada 15 kumpulan di mana setiap kumpulan membaca dua juzuk yang ditetapkan bermula dari Surah al-Fatihah diikuti Surah al-Baqarah hingga Surah an-Nas.

“Peserta bertadarus dengan membaca al-Quran secara teratur bersama makhraj berserta tajwid yang betul sambil diperdengar, diperhati dan disemak oleh pembaca yang lain. Setelah peserta membaca, disambung pula oleh peserta yang lain,” kata Munirah yang juga Pegawai Dakwah Khidmat Sokongan Perkim.

Amalan bertadarus bukan sahaja hanya dibaca bila tibanya bulan Ramadan atau Nuzul al-Quran, malah ianya harus dijadikan program amalan seharian sebelum atau selepas waktu solat supaya menghidupkan jati diri Islam tidak kira di masjid, surau mahu pun di rumah secara berjemaah.

Sabda Rasulullah lagi, “Tidak berkumpul suatu kaum pada mana-mana rumah Allah, mereka membaca dan bertadarus Al-Quran, melainkan diturunkan kepada mereka ketenangan (sakinah), diliputi rahmat, dikelilingi malaikat dan Allah menyebut mereka pada para malaikat”. (Riwayat: Abu Daud).

Bertadarus juga merupakan ibadah yang diberi tumpuan oleh Rasulullah SAW dalam bulan Ramadan. Tidak hairanlah pada bulan ini semua umat Islam berlumba-lumba mencari kebaikan, termasuk tadarus (membaca) Al-Quran. Pada malam hari kebiasaannya, masjid-masjid sering didengarkan dengan bacaan Al-Quran silih berganti.

”Bacalah al-Quran, maka sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai syafaat kepada ahli-ahli Quran.” (Hadith Riwayat Muslim)

tan-sri-dr-mohd-yusof-noorsMajlis diserikan lagi dengan ucapan disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Dr. Mohd. Yusof dalam ucapannya mengajak peserta menyingkap sejarah silam ketika Perkim kehilangan pemimpin utama sewaktu awal penubuhannya, Allahyarham Hj Ibrahim TY Ma yang telah meninggalkan kita 30 tahun dahulu pada tahun 30 Ramadan.

Ibrahim TY Ma yang berasal dari Beijing, China telah banyak menabur budi dan menyumbang bakti dalam usaha-usaha dakwah kepada bangsa asing seperti menyediakan bahan-bahan penerangan, melatih pendakwah, menerbitkan buku dan majalah serta mengadakan ceramah dalam bahasa Cina, Tamil dan Inggeris.

Kita hendaklah meningkatkan hubungan persaudaraan Islam kerana jumlah populasi umat Islam di China 21 juta lebih tinggi berbanding umat Islam di Malaysia hanya berjumlah 16 juta.

Katanya, pemimpin Perkim terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Tan Sri SOK Ubaidullah berbangsa India, Tan Sri Hj. Abdul Mubin Sheppard berbangsa Inggeris dan Tun Omar Ong Yoke Lin berbangsa Cina.

Jelasnya, beliau ingin menumpang di majlis tersebut untuk mendapat keberkatan dan keredaan Allah di majlis yang mulia.

Nabi Muhammad SAW bersabda: ”Barang siapa yang menyibukkan diri dengan al-Quran dan hatinya mengingati Allah sehingga terlupa untuk meminta sebarang permintaan, nescaya Allah akan beri kepadanya perkara yang lebih baik daripada kandungan yang diminta,” jelas Dr. Mohd. Yusof sambil memetik di hadith Qudsi.

Jelasnya lagi, kini para penghafal al-Quran lebih ramai berbanding pada ketika dahulu di mana hanya terdapat sebilangan kecil sahaja pada satu-satu kawasan.

Bacaan doa khatam al-Quran dibaca oleh Ustaz Yus Ondre manakala cenderahati kepada peserta tadarus pula disampaikan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hj. Hasbullah L. Isa.

Tazkirah Ramadan pula disampaikan oleh Ustaz Mohd Saiful Hafiz Vijay Abdullah.

Selain itu, sukarelawan Perkim juga tidak ketinggalan memberikan bekalan berbuka puasa seperti buah kurma dan air kepada para pemandu yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya di hadapan Bangunan Perkim.

Majlis berbuka puasa, solat sunat terawih dan moreh juga memberi peluang kepada Saudara Muslim merasai nikmat ibadah itu.

Selain Saudara Muslim golongan fakir, miskin, orang kelainan upaya (OKU), orang kurang siuman dan gelandangan turut diberi peluang berbuka puasa bersama-sama.

Turut hadir, Pengarah Dakwah Perkim, Hj Abdul Hanif Harun, Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin, Pengarah Unit Penerbitan, Mohd. Zuber Zain.

1

Saudara Muslim menyertai majlis tadarus anjuran Perkim Kebangsaan.

2

Setiap kumpulan dikehendaki membaca sebanyak dua juzuk dalam majlis tadarus tersebut.

3

Saudara Muslim dipimpin oleh munabbih bagi memperdengar dan memperbetulkan bacaan.

4

Peserta Saudara Muslim yang turut serta di majlis sempena hari Nuzul al-Quran.

5

Dr. Mohd. Yusof menyampaikan ucapan aluan pada majlis tersebut.

7

Ustaz Yus Ondre (tengah) membacakan ayat surah lazim bagi khatam al-Quran.

6

Peserta mengaminkan doa khatam al-Quran yang dibacakan.

8

Rashidah Begum (kanan) menerima cenderahati daripada Hasbullah (kiri)

9

Hasbullah (kiri) menyampaikan cenderahati kepada peserta tadarus.

Lagi gambar di >>>facebook-logo-spaced

Related Articles

Back to top button