Aktiviti Dakwah

SUA PERKIM Seru Warganya Tingkatkan Amalan, Akhlak Di Bulan Ramadan

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 7 MAC 2024 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menghimpunkan lebih 40 orang terdiri daripada pimpinan, pegawai dan kakitangannya bertempat di perkarangan lobi Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, pada pagi Khamis.

Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM merupakan tradisi bulanan pimpinan PERKIM bertemu dengan kakitangannya pada setiap bulan bagi penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan.

Ia disusuli dengan ucapan pengacara majlis disampaikan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah manakala bacaan doa dipimpin oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.

Perhimpunan tersebut disertai oleh kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian amanat oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM dalam amanatnya merakamkan ucapan Selamat Berpuasa kepada warga PERKIM dan umat Islam yang akan menyambut kehadiran bulan Ramadan Al-Mubarak yang penuh barakah pada Selasa hadapan.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk menjadikan Ramadan sebagai bulan beramal dan ibadah serta mengharapkan untuk kejayaan PERKIM dan warganya.

Dr Yusof Noor turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Abdul Qawi kerana keyakinan beliau dalam penyampaian bacaan doa yang dipertingkatkan sama ada dalam Bahasa Arab, Bahasa Melayu mahu pun Bahasa Inggeris.

Beliau secara peribadi mengikuti perkembangan Abdul Qawi dan mengharapkan mana-mana majlis PERKIM yang kita anjurkan dapat dibacakan doa dalam pelbagai bahasa termasuk Bahasa Tamil atau Bahasa Mandarin agar ia turut difahami dan dihayati oleh masyarakat berbilang kaum.

Tambah beliau, kita akan cari jalan untuk menjadikan sekurang-kurangnya tiga bahasa di dalam bacaan doa di majlis rasmi kita bagi menunaikan hasrat Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai pengikat pelbagai kaum menerusi agama.

“Islam adalah rahmat untuk dunia tetapi jangan lupa bahwa PERKIM diasaskan untuk membuat promosi demi memajukan Islam supaya semua kaum termasuk dalam organisasi kita.

“Majlis ini adalah majlis yang bulanan yang terakhir sebelum kita memasuki Ramadan 1445H di di mana Ramadan ialah bulan beribadah dan dalam ibadah yang kita lakukan terdapat berbagai-bagai bentuk sama ada amal, kebajikan, sedekah bantuan, pertolongan dan doa.

“Saya dan orang-orang yang berdoa tak tahu sama ada Allah SWT menerima ataupun tidak, tetapi harapan kita ialah Allah menerima dan memakbulkan doa kita semua.

“Sememangnya Allah SWT berjanji doa kita panjatkan itu dikabulkan tetapi kita tidak pasti sama ada doa itu diterima keseluruhannya atau sebahagiannya atau ditangguhkan oleh Allah SWT,” ujarnya.

Dr Yusof Noor menyeru warganya bahawa pada Ramadan yang akan tiba minggu hadapan untuk bersama-sama berusaha mengambil kesempatan beribadah dan berdoa untuk diri, keluarga, kehidupan dan kemajuan organisasi di mana kita bekerja iaitu PERKIM.

Katanya, jangan biarkan PERKIM dicerca dan dirosakkan oleh musuh-musuh Islam atau orang Muslim sendiri sama ada orang luar PERKIM atau orang dalam PERKIM.

Kita memohon doa kepada Allah SWT untuk menyelamatkan PERKIM dan diberi petunjuk kepada warga PERKIM supaya menyumbang sesuatu kepada PERKIM seperti yang diseru oleh Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad daripada semasa ke semasa untuk mengembangkan Islam.

Dr Yusof Noor turut mengingatkan bahawa menunjukkan contoh dan akhlak yang baik serta jangan dibiarkan orang merendah-rendahkan orang lain terutamanya di kalangan kakitangan atau di kalangan warga PERKIM.

Beliau turut memetik sebuah Hadis Riwayat Tirmidzi, Darami dan Baihaqi bermaksud : Dari Abu Sa’id RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Allah berfirman, ‘barang siapa yang disibukan oleh al Quran daripada berzikir kepada-Ku dan memohon kepada-Ku, maka Aku berikan kepadanya sesuatu yang lebih utama daripada yang Aku berikan kepada orang-orang yang memohon kepada-Ku dan keutamaan kalam Allah diatas seluruh perkataan adalah seumpama keutamaan Allah atas makhluk-Nya.”

Dr Yusof Noor menyeru warganya supaya memperbanyakkan membaca dan bertadarus al-Quran agar diberikan pertolongan dan kejayaan yang besar oleh Allah SWT selain daripada meminta perkara peribadi atau kehidupan dalam masyarakat.

Beliau berharap PERKIM tidak menjadi tempat orang mengambil kesempatan untuk memajukan demi kepentingan dirinya dan berdoa supaya Allah SWT jauhkan daripada orang yang masuk ke PERKIM dengan tujuan untuk mendapat faedah daripada PERKIM.

“Doakanlah supaya PERKIM kuat dan kita akan mencari jalan supaya warga PERKIM dapat meningkatkan akhlak mereka dan bencikan permusuhan,” ulasnya.

Beliau berharap warganya dapat meneruskan ibadah dengan memperbanyakkan lagi amalan di bulan Ramadan ini sebagai amalan yang lebih baik daripada Ramadan yang lalu.

Eloklah kita rapatkan diri kita dengan al-Quran bukan hanya memegang sahaja tetapi dengan menghayati kandungan al-Quran iaitu antara penekanannya ialah meminta penganutnya berakhlak mulia.

“Kita mohon supaya Ramadan tahun ini menjadi satu platform yang baik untuk kita melihat kemajuan PERKIM dan kemajuan dalam bidang lain.

“Kita berazam untuk menjadikan Ramadan tahun ini lebih ceria meskipun ada ujian akibat daripada kekangan perbelanjaan,” katanya.

Beliau sekali lagi menzahirkan ucapan Selamat Berpuasa dan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada warganya serta seluruh umat Islam.

Di akhir majlis, Dr Yusof Noor menyampaikan sekotak buah kurma kepada setiap warganya yang hadir.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.


Kepimpinan PERKIM berdiri tegak ketika menyanyikan lagu Negaraku.


Warga PERKIM turut menyanyikan lagu PERKIM Pacu Kemajuan.


Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku pengacara Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan.


Abdul Qawi mempimpin bacaan doa.


Warga PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Dr Yusof Noor menyampaikan amanatnya di perhimpunan tersebut.


Dr Yusof Noor memuji Abdul Qawi kerana meningkatkan prestasinya dalam penyampaian bacaan doa pelbagai bahasa.


Dr Yusof Noor menyeru warganya supaya memperbanyakkan amalan doa, bacaan al-Quran dan pamerkan akhlak mulia di bulan Ramadan.


“Jangan biarkan PERKIM dicerca dan dirosakkan oleh musuh-musuh Islam,” kata Dr Yusof Noor mengingatkan warganya.


“Kita berazam untuk menjadikan Ramadan tahun ini lebih ceria meskipun ada ujian akibat daripada kekangan perbelanjaan,” katanya.


Dr Yusof Noor menyampaikan sekotak buah kurma kepada warganya, Mohd Aizat Rosli.


Siti Munirah kelihatan ceria ketika menerima sekotak kurma daripada Dr Yusof Noor.

Related Articles

Back to top button