Aktiviti KebajikanAktiviti Wanita PERKIM

Semarak Kasih Menjelang Syawal Ceriakan 40 Anak Mualaf dan Asnaf

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟵 𝗠𝗔𝗖 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Program Semarak Kasih Menjelang Syawal anjuran Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan berjaya menceriakan seramai 40 anak-anak mualaf dan asnaf apabila mereka diraikan dalam suasana penuh kemesraan di Kompleks SOGO, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini petang tadi.

Program yang berlangsung pada pukul 2.30 petang itu merupakan penganjuran kali ketiga oleh Wanita PERKIM Kebangsaan sebagai salah satu usaha kebajikan bagi menyantuni golongan mualaf dan asnaf, khususnya dalam membantu mereka membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba.

𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗽𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗛𝗮𝗺𝗶𝘇𝗮𝗵 𝗜𝘀𝗺𝗮𝗶𝗹 berkata, program tahunan tersebut memberi peluang kepada anak-anak yang diraikan untuk memilih sendiri pakaian raya baharu agar mereka dapat menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan seperti kanak-kanak lain.

Menurutnya, usaha berkenaan merupakan manifestasi keprihatinan Wanita PERKIM Kebangsaan terhadap kebajikan golongan mualaf dan asnaf, di samping memastikan mereka tidak terpinggir dalam menikmati kemeriahan sambutan Aidilfitri.

“Adalah menjadi harapan Wanita PERKIM Kebangsaan agar sumbangan yang diberikan ini dapat menceriakan anak-anak yang diraikan serta memberi makna yang lebih indah kepada sambutan Syawal mereka pada tahun ini,” kata Fatin Hamizah yang juga merupakan Eksekutif Pembangunan Wanita PERKIM Kebangsaan.

Majlis tersebut diserikan dengan keberangkatan tiba 𝗬𝗧𝗠 𝗧𝘂𝗻𝗸𝘂 𝗣𝘂𝗮𝗻 𝗦𝗿𝗶 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗡𝗼𝗼𝗿 𝗛𝗮𝘆𝗮𝘁𝗶 𝗧𝘂𝗻𝗸𝘂 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻 𝗣𝘂𝘁𝗿𝗮 𝗔𝗹-𝗛𝗮𝗷, selaku 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻 yang turut menyampaikan ucapan dalam program berkenaan.

Turut hadir ialah 𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗠𝗮𝗷𝗹𝗶𝘀 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻 merangkap 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗺𝗮𝘁𝗮 𝗔𝗺𝗽𝗮𝗻𝗴, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗡𝘂𝗿𝘇𝗮𝗿𝗶𝗻𝗮 𝗦𝗲𝗽𝗿𝗮𝗻.

Majlis dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis, Nur Syahirah Musa sebelum diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh Mohd Aizat Rosli.


Dalam ucapannya, Tunku Noor Hayati berkata, program tersebut bukan sekadar menyampaikan sumbangan berbentuk duit raya, tajaan baju raya dan kotak makanan, malah ia merupakan simbol kasih sayang serta keprihatinan Wanita PERKIM Kebangsaan terhadap anak-anak yang memerlukan.

“Program ini bukan sekadar menyampaikan sumbangan duit raya, tajaan baju raya dan bakul makanan, tetapi lebih daripada itu kerana ia adalah simbol kasih sayang dan keprihatinan kami di Wanita PERKIM Kebangsaan terhadap 40 anak-anak yang memerlukan.

“Kami sedar bahawa perjalanan hidup anak-anak ini tidak mudah, namun ketahuilah bahawa kalian tidak bersendirian.

“Kehadiran kita semua hari ini adalah bukti bahawa masyarakat sentiasa bersama anda, memberikan sokongan moral dan kasih sayang tanpa berbelah bahagi,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan program berkenaan termasuk Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, Ahli Wanita PERKIM Cawangan Permata Ampang serta pihak pengurusan Kompleks SOGO yang memberikan kerjasama dalam menyediakan ruang bagi melaksanakan program tersebut sekali gus bersama-sama menceriakan anak-anak ini,” jelasnya.

Tambah beliau, usaha kebajikan seperti ini bukan sahaja membawa kegembiraan kepada golongan yang disantuni, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Kepada anak-anak yang diraikan, saya berharap agar sumbangan ini dapat menceriakan sambutan Aidilfitri anda.

Anggaplah pemberian ini sebagai tanda kasih sayang kami dan semoga ia menjadi dorongan untuk anda terus berusaha mencapai kejayaan dalam kehidupan.

“Saya yakin bahawa dengan keazaman yang kuat serta doa yang berterusan, anak-anak semua mampu mengubah nasib diri dan keluarga ke arah yang lebih baik.

“Marilah kita bersama-sama menjadikan Ramadan ini sebagai bulan yang membawa keberkatan dan Syawal nanti sebagai detik yang menggembirakan buat semua,” katanya.

Beliau turut menyatakan harapan agar program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan agar lebih ramai golongan yang memerlukan dapat merasai nikmat kemeriahan Aidilfitri.


Sementara itu, Dato’ Nurzarina dalam ucapan aluannya menzahirkan rasa syukur kerana dapat bersama-sama menjayakan program penyampaian sumbangan baju raya kepada golongan yang memerlukan sebagai tanda kasih sayang dan keprihatinan masyarakat terhadap anak-anak mualaf, yatim dan asnaf.

Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan oleh Wanita PERKIM Kebangsaan itu bertujuan membantu mereka membuat persiapan Aidilfitri agar dapat merasai kegembiraan menyambut hari raya seperti kanak-kanak lain.

Katanya, program berkenaan juga menjadi platform untuk menghimpunkan anak-anak yang diraikan dalam suasana penuh kemesraan sekali gus memberi peluang kepada mereka merasai kegembiraan menjelang Syawal bersama-sama.

Beliau turut menegaskan bahawa program kebajikan seperti itu amat penting bagi memastikan kebajikan golongan mualaf, yatim dan asnaf sentiasa terbela.

“Sokongan masyarakat amat diperlukan agar mereka dapat merasai kebahagiaan serta harapan baharu dalam menyambut Aidilfitri dengan penuh keceriaan,” ujarnya.

Mengakhiri ucapannya, beliau menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya kepada semua yang hadir serta mendoakan agar setiap individu dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk terus beribadah serta melaksanakan kerja-kerja kebajikan.

Beliau turut mengajak masyarakat untuk terus bersama-sama menjaga kebajikan anak-anak yatim, asnaf dan mualaf agar mereka tidak terpinggir dan dapat menyambut Syawal dengan penuh kegembiraan dan keberkatan.

Pada majlis tersebut, Tunku Noor Hayati turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada 60 anak-anak mualaf dan asnaf yang diraikan.

Selain itu, anak-anak mualaf dan asnaf turut menerima tajaan baju raya daripada Wanita PERKIM Kebangsaan, manakala seramai 12 pelajar tahfiz dari Madrasatul Quran Wa Sunnah Batang Kali serta 12 anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barak menerima tajaan baju raya daripada Wanita PERKIM Cawangan Permata Ampang.

Dalam pada itu, Tunku Noor Hayati juga berkenan menyampaikan wakaf al-Quran sebanyak 50 naskhah kepada Mudir Madrasatul Quran Wa Sunnah Batang Kali, YBhg. Ustaz Zainal Abidin Mohamad manakala 40 naskhah lagi diserahkan kepada YBhg. Dato’ Wan Mhd Hafizam selaku wakil Masjid Hutan Putih, Machang, Kelantan.

Beliau turut menyempurnakan penyampaian bakul makanan daripada Wanita PERKIM Cawangan Permata Ampang kepada 10 orang mualaf sebagai sebahagian daripada usaha kebajikan membantu golongan yang memerlukan.

Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah 𝗔𝗵𝗹𝗶 𝗠𝗮𝗷𝗹𝗶𝘀 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗡𝗼𝗿𝗺𝗮𝗹𝗮 𝗠𝗼𝗵𝗺𝗮𝗱 𝗭𝗶𝗻 dan 𝗬𝗕𝗿𝘀. 𝗔𝘇𝗹𝗶𝗳𝗮𝗵 𝗠𝗱 𝗜𝗱𝗿𝗶𝘀, selain barisan urus setia terdiri daripada 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵, 𝗨𝗺𝗶 𝗠𝘂𝘀𝗳𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗚𝗵𝗮𝗻𝗶 dan 𝗦𝗶𝘁𝗶 𝗠𝗮𝘀𝗹𝗶𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗿𝗶𝗳𝗳𝗶𝗻.

 


Pelajar tahfiz Madrasatul Quran Wa Sunnah Batang Kali hadir dalam sesi pendaftaran program Semarak Kasih Menjelang Syawal.

 


Keberangkatan tiba YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan di perkarangan Kompleks Sogo.

 


Tunku Noor Hayati berangkat ke Kamar Perdana Kompleks Sogo bersalaman bersama mualaf dan asnaf.

 


Barisan Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan menyambut keberangkatan tiba Tunku Noor Hayati.

 


Nur Syahirah selaku pengacara majlis membuka tirai program Semarak Kasih Menjelang Syawal.

 


Barisan Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan bersama Tunku Noor Hayati.

 


Antara anak-anak mualaf dan asnaf yang hadir di dalam program tersebut.

 


Mohd Aizat memimpin bacaan doa pembuka majlis.

 


Barisan Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Anak-anak mualaf dan asnaf mengaminkan doa yang dibacakan.

 


Dato’ Nurzarina dalam ucapan aluannya berkata, program tersebut diadakan sebagai tanda kasih sayang dan keprihatinan masyarakat terhadap anak-anak mualaf dan asnaf.

 


Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan wakaf al-Quran sebanyak 50 naskhah kepada Mudir Madrasatul Quran Wa Sunnah Batang Kali, YBhg. Ustaz Zainal Abidin Mohamad

 


Dato’ Wan Mohd Hafizam selaku wakil Masjid Hutan Putih, Machang, Kelantan menerima sebanyak 40 naskhah al-Quran daripada Tunku Noor Hayati.

 


Tunku Noor Hayati diiringi barisan Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak mualaf dan asnaf.

 


Anak-anak mualaf gembira menerima duit raya daripada Tunku Noor Hayati.

 


Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak mualaf.

 


Pelajar tahfiz Madrasatul Quran Wa Sunnah gembira menerima sumbangan duit raya daripada Tunku Noor Hayati.

 


Saudara baharu berbangsa India menerima sumbangan duit raya anaknya disampaikan oleh Tunku Noor Hayati.

 


Anak-anak yatim daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barak menerima sumbangan duit raya Aidilfitri daripada Tunku Noor Hayati.

 


Tunku Noor Hayati berkenan menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada mualaf.

 


Fatin Hamizah menyesuaikan pakaian raya kepada anak mualaf dalam sesi pembelian baju raya.

 


Mohd Aizat menunjukkan pilihan kasut raya yang sesuai untuk anak mualaf.

 


Anak mualaf mengenakan baju raya pilihannya tajaan Wanita PERKIM Kebangsaan.

 


Dato’ Nurzarina bersama Ahli Wanita PERKIM Cawangan Permata Ampang memilih kasut raya yang sesuai untuk pelajar tahfiz.

 


Mohd Aizat mencadangkan pakaian raya yang sesuai untuk anak-anak mualaf.

 


Anak-anak yatim Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barak menunjukkan isyarat bagus selepas membeli belah pakaian raya.

 


Pelajar tahfiz Madrasatul Quran Wa Sunnah bergembira selepas selesai membeli belah pakaian raya dengan bantuan Wanita PERKIM Cawangan Permata Ampang.

 


Urus setia program membantu mualaf dalam pembayaran menggunakan kupon khas yang disediakan.

 


40 anak-anak mualaf dan asnaf bergambar kenang-kenangan bersama tetamu kehormat di akhir program.

 

Related Articles

Back to top button