Semangat Gotong-Royong Dan Ziarah Muhibbah PERKIM Perkukuh Perpaduan Masyarakat Orang Asli Sungai Pergam
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
KEMAMAN, 12 NOVEMBER 2025 – Kampung Sungai Pergam, Jabor hari ini menyaksikan satu manifestasi perpaduan yang cukup bermakna apabila Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melaksanakan dua program kemasyarakatan iaitu Program Gotong-Royong dan Ziarah Muhibbah Bersama Masyarakat Majmuk Orang Asli, dekat sini pada pagi Rabu.
Kedua-dua program yang mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Majlis Belia PERKIM Terengganu dan PERKIM Cawangan Air Putih itu bukan sekadar menyantuni penduduk setempat, malah memperlihatkan kesepaduan masyarakat majmuk melalui pendekatan kebajikan dan dakwah yang digerakkan secara tersusun.
Seawal jam 10 pagi, lebih 25 peserta termasuk sukarelawan PERKIM, pelajar Fakulti Sains Sosial dan Gunaan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) serta penduduk kampung berganding bahu membersihkan kawasan Surau dan Balai Raya Kampung Sungai Pergam dan persekitarannya.
Ruang sekitar tersebut yang menjadi nadi utama masyarakat itu dibersihkan secara gotong-royong dengan penuh semangat meskipun hujan renyai turut menyapa pada pertengahan program.

Menurut Penyelaras Program, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah, aktiviti gotong-royong ini bukan hanya bertujuan mencantikkan persekitaran, tetapi merupakan kaedah dakwah bil hal yang sangat berkesan dalam mendekati masyarakat Orang Asli.
Jelas beliau, pendekatan melalui tindakan dapat mengajak masyarakat memahami nilai Islam tanpa tekanan, malah membuktikan bahawa kebaikan boleh dirasai melalui perlakuan dan akhlak.
“Apabila masyarakat dari pelbagai latar belakang turut serta, ia secara langsung memupuk hubungan dan rasa saling memahami. Inilah roh gotong-royong yang ingin PERKIM hidupkan dengan bersatu hati berganding bahu serta tolong menolong tanpa mengira bangsa dan asal usul,” kata Ustaz Jais Mariappan yang juga Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan.
Aktiviti merangkumi tugas menyapu dan mengutip sampah, mencabut dan memotong rumput, membersihkan saluran air serta mengumpul bahan buangan ke lokasi pelupusan.
Usaha yang dilakukan secara kolektif itu menjadikan kawasan surau lebih kondusif sebagai pusat tumpuan ibadah dan aktiviti penduduk.

Sementara itu, Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, Tuan Haji Mohd Subri Jaafar menegaskan bahawa Kampung Sungai Pergam bukanlah lokasi baharu bagi PERKIM.
Kampung tersebut menjadi kampung angkat PERKIM Terengganu sejak beberapa tahun lalu memandangkan komuniti Semaq Beri dan Jakun di kawasan itu mempunyai hubungan rapat dengan pertubuhan berkenaan.
Menurut beliau lagi, penduduk di kampung berjumlah kira-kira 160 keluarga, majoritinya beragama Islam dan sentiasa bersedia menyambut kehadiran PERKIM dalam apa jua program dakwah atau kemasyarakatan.
“Kita tidak hanya datang membawa bantuan tetapi turut menyediakan bimbingan rohani seperti kursus fardu ain, sukaneka, program motivasi serta penganjuran sambutan Maulidur Rasul dan Hari Raya Aidiladha setiap tahun.”
Beliau menambah bahawa dakwah yang dilakukan melalui pendekatan turun padang dapat membuka hati masyarakat untuk lebih dekat dengan ajaran Islam.
“Masyarakat melihat PERKIM sebagai rakan komuniti, bukannya sekadar organisasi tetapi hubungan yang terjalin inilah yang lebih bermakna,” ujarnya.
Turut memainkan peranan penting memastikan kelancaran program ialah Penggerak Masyarakat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di kampung itu, Ustaz Adnan Ariffin yang menjadi penghubung antara rombongan PERKIM dan penduduk setempat.
Jika program pagi diwarnai dengan suasana kerjasama dan aktiviti fizikal, sesi petang pula menyaksikan keakraban yang lebih mendalam apabila rombongan PERKIM memulakan Program Ziarah Muhibbah.
Lebih 20 peserta yang terlibat berjalan dari rumah ke rumah menyantuni penduduk, sambil menyampaikan lebih 170 pek makanan asas terdiri daripada beras, gula, minyak masak, tepung, sardin, susu, teh, biskut dan beberapa barangan lain termasuk wang saguhati.
Menurut Ustaz Jais, ziarah sebegini menjadi jambatan memperkukuh hubungan antara masyarakat Islam arus perdana dengan komuniti Orang Asli, selain membantu mengenal pasti aspek kebajikan, sosioekonomi dan tahap pengetahuan agama yang perlu diberi perhatian.
“Orang Asli mempunyai budaya tersendiri, pendekatan dakwah perlu dilakukan dengan hikmah dan penuh empati secara tidak langsung ziarah seperti ini membolehkan kami mendengar sendiri keperluan mereka,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan bahawa program ini ialah kesinambungan daripada usaha terdahulu yang dijalankan oleh PERKIM bersama MAIWP, termasuk ziarah komuniti Jah Hut di Kampung Penderas, Kuala Krau, Temerloh pada September lalu.
PERKIM berpendirian bahawa kerja dakwah tidak boleh terhenti pada satu lokasi sahaja, sebaliknya perlu diperluas agar manfaatnya sampai kepada lebih ramai masyarakat di pedalaman.
Dalam ziarah petang itu, Ustaz Adnan turut mengetuai bacaan doa sebelum rombongan bergerak, selain berfungsi sebagai pemandu arah sepanjang lawatan.
Keakraban beliau dengan penduduk kampung memudahkan rombongan mendekati keluarga yang menetap di rumah batu, pondok kayu serta rumah buluh beratapkan nipah di mana ia merupakan struktur yang mencerminkan identiti tradisi masyarakat Orang Asli di kawasan tersebut.
Menurut Tuan Haji Subri, sebahagian besar masyarakat di sini masih bergantung pada hasil hutan, pekerjaan di ladang kelapa sawit serta kerja kampung bagi menyara kehidupan.
Walaupun kemudahan asas semakin baik hasil sokongan kerajaan dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), banyak elemen tradisi masih lagi digunakan bagi mengekalkan identiti komuniti.
Beliau berkata, walaupun majoriti penduduk beragama Islam, tahap kefahaman dan penghayatan agama perlu terus diperkasakan.
“Ada yang memahami asas agama dengan baik, ada yang masih perlukan bimbingan. Melalui pendekatan santai seperti ziarah, kita dapat menyampaikan ilmu dengan cara yang lebih mudah diterima,” jelasnya lagi.
Sebagai penutup aktiviti, mahasiswa UniSZA mengendalikan acara sukaneka untuk kanak-kanak yang menanti penuh kegembiraan sejak pagi.
Suasana kampung kembali riuh apabila pertandingan kerusi bermuzik, tiup belon hingga pecah, pijak belon dan pancing getah menggunakan straw berlangsung penuh gelak tawa.
Aktiviti itu bukan sekadar hiburan, tetapi medium menghubungkan generasi muda Orang Asli dengan masyarakat luar.
Kejayaan keseluruhan program pada hari tersebut tidak mungkin tercapai tanpa komitmen tinggi urus setia PERKIM yang terdiri daripada Fatin Hamizah Ismail, Rosnaliza Ahmadiah, Aishah Abdul Wahab, Amran Anbarasu Abdullah, Azura Abdul Rahman, Nurfadhilah Alias, Muhamad Fardly Johan, Ustaz Amirul Hafiz Kamaruddin serta sukarelawan PERKIM, Dhabbitah Hanani Zakaria dan Musa Orb.
Program ditutup dengan bacaan doa selamat serta jamuan ringkas bersama penduduk kampung, melambangkan eratnya hubungan yang terbina sepanjang hari.
Ujar Ustaz Jais lagi, penganjuran dua program di Kampung Sungai Pergam membuktikan komitmen PERKIM dalam memartabatkan dakwah melalui pendekatan kemasyarakatan yang inklusif, menyeluruh dan berkesan.
“Inisiatif tersebut bukan sahaja mengangkat martabat komuniti Orang Asli, malah menjadi contoh kesepaduan terbaik antara sukarelawan, mahasiswa dan masyarakat setempat dalam semangat Malaysia Madani yang menekankan perpaduan, kesejahteraan dan ihsan,” jelas Ustaz Jais mengakhiri temubual.

PERKIM memasuki laluan pintu gerbang Kampung Sungai Pergam bagi mengadakan Program Gotong-Royong dan Ziarah Muhibbah Bersama Masyarakat Majmuk Orang Asli.

Barisan Urus Setia PERKIM Kebangsaan bersiap sedia untuk bergotong-royong di Kampung Sungai Pergam.

Ustaz Jais Mariappan membersihkan kekotoran pada lantai Balai Raya Kampung Sungai Pergam.

Sukarelawan, mahasiswa UniSZA bertungkus-lumus membersihkan kawasan tempat duduk di kawasan Surau An-Nur Kampung Sungai Pergam.

Ustaz Amran menyapu dan membersihkan kawasan surau.

Urus setia bersama sukarelawan mengutip sampah yang terdapat di perkarangan surau.

Ustaz Jais mencabut rumput yang tumbuh di dalam longkang.

Urus setia membuang sampah sarap ke dalam beg plastik sampah.

Musa Orb memotong rumput dan lalang yang panjang di perkarangan surau.

Azura mengutip serpihan kepingan atap yang pecah untuk dibuang.

Ustaz Adnan menyodok rumput liar yang tumbuh dalam longkang dan membersihkan.

Urus setia bersama-sama mengutip sampah di perkarangan surau.

Urus setia PERKIM bersama sukarelawan bergambar kenangan sebelum meneruskan program ziarah.

Ustaz Adnan (tengah) memimpin bacaan doa sebelum berjalan dari rumah ke rumah.

Urus setia PERKIM menyampaikan bungkusan makanan dan saguhati kepada penduduk kampung dari suku kaum Semaq Beri.

Haji Subri menyampaikan sumbangan saguhati dan bungkusan makanan kepada penduduk kampung.

Penduduk Kampung Sungai Pergam menerima bungkusan makanan dan saguhati daripada urus setia.

Penduduk kampung Orang Asli Sungai Pergam menerima bungkusan makanan dan saguhati ketika ziarah.

Penduduk kampung selesa tinggal di rumah papan beratap nipah ketika diziarah.

Penduduk kampung gembira menerima sumbangan saguhati dan barangan makanan ketika diziarahi PERKIM.

Segelintir masyarakat Orang Asli masih mengekalkan elemen tradisi kehidupan mereka untuk tinggal di rumah kayu.

PERKIM menyampaikan sumbangan kepada penduduk Orang Asli suku kaum Jakun.

PERKIM bersama mahasiswa UniSZA menziarahi penduduk kampung dan menyampaikan sumbangan saguhati dan barangan makanan.

Acara rebut kerusi bermuzik antara aktiviti sukaneka kepada kanak-kanak kampung.

Pijak belon sampai pecah merupakan antara aktiviti sukaneka yang mencabar.

Kaum ibu hadir memberi sokongan kepada anak mereka yang menyertai sukaneka.

Kanak-kanak bergelut memastikan belon pada kaki lawannya dipecahkan dalam aktiviti sukaneka.



