Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Penubuhan PERKIM Ke-65

Hari ini, 19 Ogos 2025, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) melakar sejarah penting dengan genap 65 tahun penubuhannya sejak diasaskan pada 19 Ogos 1960 oleh Almarhum Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.
Penubuhan PERKIM yang ditubuhkan di rumah rasmi Almarhum Tunku iaitu di Bangunan Residensi, Kuala Lumpur yang pada ketika itu lahir daripada iltizam dan keprihatinan Almarhum Tunku terhadap keperluan mewujudkan sebuah organisasi Islam yang dapat memberi bimbingan, sokongan serta perlindungan kepada golongan saudara baharu, di samping memperkukuh usaha dakwah dan kebajikan Islam di Malaysia yang masih muda selepas mencapai kemerdekaan.
Idea menubuhkan PERKIM tercetus sewaktu Almarhum Tunku sedang menunaikan haji di Tanah Suci Mekah tidak lama selepas negara mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.
Sejak penubuhannya, PERKIM telah berkembang menjadi sebuah pertubuhan Islam yang berperanan besar dalam memperkasa dakwah, melaksanakan program kebajikan, menyediakan pendidikan Islam, serta menggerakkan kerjasama dengan pelbagai pihak demi kepentingan umat.
Selepas penubuhannya, Tunku telah dilantik sebagai penasihat sehingga tahun 1971 dan dipilih sebagai Presiden sehingga tahun 1989.
Kejayaan PERKIM selama enam dekad lebih ini adalah hasil daripada visi pengasasnya yang mahu menjadikan Islam sebagai sumber kesejahteraan dan perpaduan masyarakat.
Kini, setelah 65 tahun, PERKIM terus komited menggalas amanah untuk memartabatkan Islam melalui pendekatan yang penuh hikmah dan berkesan, seiring dengan cabaran semasa.
Sumbangan PERKIM bukan sahaja dapat dilihat dalam usaha membimbing saudara baharu, tetapi juga dalam memperkukuh kefahaman Islam, memperluas jaringan kebajikan, dan mengangkat peranan pendidikan Islam sebagai asas pembangunan insan.
Sempena ulang tahun ini, PERKIM menyeru seluruh warga organisasi, umat Islam, serta rakyat Malaysia agar bersama-sama memperkukuh semangat perjuangan yang diwariskan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Sokongan padu seluruh masyarakat amat diperlukan agar PERKIM terus kekal relevan dan berdaya saing dalam melaksanakan amanah dakwah, kebajikan, pendidikan dan kerjasama demi kesejahteraan umat serta kemajuan negara.
Selamat Menyambut Ulang Tahun Penubuhan PERKIM Ke-65.
Semoga PERKIM terus diberkati Allah SWT dan diperkasakan dalam usaha menegakkan syiar Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam.



