Aktiviti Dakwah

Saudara Baharu Jiwai Erti Sebuah Pengorbanan Di Aidiladha

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Ibadah korban menekankan perpaduan Islam yang dibina atas dasar takwa bagi mengharmoni dan memantapkan hubungan sesama saudara Muslim yang terdiri daripada pelbagai kaum,” kata Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Katanya, perayaan istimewa bagi umat Islam dalam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail dalam mentaati perintah Allah SWT selain umat Islam yang berkemampuan menyempurnakan ibadah haji yang merupakan rukun Islam yang kelima.

Farhan selaku penyelaras program berkata ketika di Majlis Meraikan Hari Raya Aidil Adha dan Qurban 1440H Bersama Saudara Muslim serta Asnaf anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia bertempat di Surau Tarbiah, Jalan Cheras, Kuala Lumpur pada 14 Ogos 2019 lalu.

Program mendapat kerjasama Surau Tarbiah, Angkatan Pertahanan Awam (APM) itu dihadiri seramai 200 saudara Muslim terdiri daripada kaum Cina, India, Kadazan, Iban, Bidayuh, Rohingya, Indonesia dan Filipina.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiuasaha Agung Kehormat; Datuk Hasbullah L. Isa; Pengarah Pentadbiran dan Program, Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin; Penyelaras Pejabat Naib Yang DiPertua, Wan Zawiyah Wan Halim dan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan APM, Yoon Boon Chew mewakili Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Jelas Farhan, ibadah itu secara tidak langsung dapat memupuk semangat berkorban sesama Muslim dengan menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri agar membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap Muslim.

Tambah Farhan, sebanyak lima ekor lembu dikorbankan seawal jam tujuh pagi dan petugas bersama saudara baharu bergotong-royong memotong dan melapah daging untuk ditimbang sebelum diagihkan.

Ia bersandarkan dengan firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 36 bermaksud: “Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan ia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”

Di samping itu, petugas Surau Tarbiah turut bergotong-royong menyiapkan bahan masakan untuk memasak hidangan makanan seperti daging kurma dan sup tulang kepada saudara baharu dan tetamu yang hadir.

Farhan yang juga Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksaan PERKIM turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu dalam menjayakan program tersebut.

Majlis diserikan lagi dengan ucapan Setiausaha Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.


Dr. Yusof Noor dalam ucapannya mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh kariah Surau Tarbiah dan anggota APM kerana mengorbankan masa serta tenaga dalam meraikan Aidiladha bersama PERKIM dan saudara baharu.

Jelasnya, ayat al-Quran yang terdapat pada dinding surau itu tertulis seni khat surah Al-Baqarah, ayat 2 bermaksud: “Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.”

“Al-Quran itu adalah hidayah dan jangan sesekali kita menganggap al-Quran itu terlampau ‘suci’ sehinggakan ia tidak boleh disentuh,” kata Dr. Yusof Noor.

Tambahnya, sesetengah orang kata, bila al-Quran itu ‘suci’ perlu diletakkan tempat yang tinggi, jangan disentuh takut kotor tanpa dibaca dan difahami.

“PERKIM bukan milik saya, tetapi ia milik semua kerana PERKIM merupakan sebuah badan yang menyatukan persaudaraan Islam walau berlainan etnik kaum,” ujarnya.

Katanya, di kawasan itu mempunyai kira-kira 2,000 buah rumah pangsapuri di mana 70 peratus daripadanya ialah masyarakat Islam manakala selebihnya menganut lain-lain agama.

Beliau berpandangan bahawa, perkataan ‘mualaf’ digunakan pada tempoh tertentu sahaja dan apabila golongan berkenaan sudah mengenali dan memahami Islam dengan lebih mendalam, mereka sama seperti beliau.

Ulasnya, surau ini boleh dijadikan sebagai pusat tautan ukhuwah sekali gus melahirkan semangat perpaduan antara penduduk setempat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Apakah salahnya jika mereka yang berlainan agama hendak mendengar dan melihat program atau aktiviti yang diadakan di sini kerana Islam adalah alat penyatuan semua kaum yang menerima segala unsur budaya daripada kaum lain selagi tidak bercanggah dengan syariat,” katanya.

“Kita lihat manusia yang memeluk agama Islam semuanya sama tanpa mengira warna kulit, bangsa dan bahasa kerana mereka adalah saudara kita sejajar dengan cogankata PERKIM, ‘Islam itu Persaudaraan’.

Al-Karim yang bermaksud orang yang murah hati contohnya individu mahu pun syarikat atau kerajaan yang menderma kepada PERKIM dan kami  diamanahkan untuk mengagih dan menyalurkan kepada mereka yang memerlukan.

Jelasnya, jika hendak menderma, dermalah tanpa perlu diisytiharkan kepada umum kerana ganjaran dihitung dan pahalanya lebih besar.

“Sewaktu berkhidmat di dalam kerajaan dahulu, saya juga pernah mengizinkan beberapa surau untuk mendirikan solat Jumaat jika kawasan berkenaan sesuai dan masyarakat Islam ramai,” ulasnya.

Beliau berharap Surau Tarbiah akan lebih maju dengan menggalakan lebih ramai jemaah dan orang ramai untuk hadir bukan sekadar solat lima waktu sahaja tetapi dengan pelbagai program dan aktiviti pada masa akan datang.

Menurut Dr. Yusof Noor, PERKIM berhasrat untuk meletakkan sudut risalah Islam pelbagai bahasa di surau terbabit bertujuan berkongsi ilmu berkaitan agama Islam kepada semua dengan cara yang mudah difahami dan sesuai disebar serta disampaikan kepada semua kaum.

PERKIM mempunyai Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) yang terletak tidak jauh dari ibu pejabat PERKIM di mana antara salah satu peranan IDIP ialah mencetak dan menyebarkan risalah Islam dalam pelbagai versi seperti bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin, Tamil, Jepun Russia, Jerman, Korea, Tagalog dan Sepanyol.


Sebelum itu, saudara baharu disajikan dengan santapan rohani bertajuk : ‘Korban: Bersediakah Kita?’ disampaikan oleh Pengerusi Pusat Latihan Interaktif Dakwah (IDT), Lim Jooi Soon.

Katanya, pengorbanan besar bagi seorang saudara baharu ialah meninggalkan agama asal dan berhijrah ke agama fitrah (Islam).

Saudara baharu perlu meningkatkan sahsiah jati diri setelah memeluk Islam dengan berakhlak mulia, rajin bekerja atau berniaga dan mengelakkan daripada melakukan sifat mazmumah kerana keluarga serta rakan-rakan akan memerhatikan kemajuan kita sama ada di tahap biasa atau lebih baik.

Kata Lim, mualaf akan merasai kemanisan iman jika mempunyai ciri-ciri seperti mana sabda Rasulullah SAW melalui Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim bermaksud: “Tiga perkara yang akan membuatkan seseorang itu merasai kemanisan iman iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka.”

Tanda bukti kita menyayangi keluarga, jiran dan rakan-rakan yang masih belum Islam, kita haruslah berdoa supaya Allah memberikan hidayah kepada mereka,  berbaik-baik dengan mereka dan berlaku adil terhadap mereka.

Lim menggalakkan saudara baharu menguasai ilmu agama kerana jika berilmu ianya mudah untuk berdakwah tetapi jika kurang ilmu kita kurang berkeyakinan untuk berdakwah kepada mad’u.

mempromosi dan mengajak mualaf ke pusat latihannya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur yang menawarkan pelbagai kursus teknik dakwah bagi melatih saudara baharu  menjadi penceramah sekali gus pendakwah.

Beliau turut mengajak saudara baharu membandingkan perbezaan adakah di luar sana terdapat Tuhan selain Allah SWT yang kekal selama-lamanya; tiada permulaan tiada akhir; tidak terikat masa, ruang dan jisim; tidak bergantung kepada apa-apa serta tidak rehat dan tidak tidur?

Beliau turut menggesa supaya mualaf mengamalkan amalan sedekah supaya dimurahkan rezeki sambil memetik Surah al-Baqarah, ayat 261 bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

Bagi orang yang beriman mereka akan mengorbankan masa, wang dan harga benda ke jalan Allah SWT dengan memastikan ajaran Islam dan dakwah Islamiah terus tersebar dengan rahmatNya ke seluruh alam.

Dr. Yusof Noor turut menyampaikan wang sumbangan dan pengusung jenazah kepada Pengerusi Surau Tarbiah, Aziz Wahab serta 200 bungkusan daging korban 500 gram kepada mualaf dan penduduk setempat.

Majlis berakhir dengan solat Zohor berjemaah serta hidangan jamuan makan daging masak kurma, sayur campur dan sup tulang.


Surau Tarbiah, Jalan Cheras merupakan lokasi bagi meraikan Hari Raya Aidiladha bersama saudara baharu.


Saudara baharu memegang haiwan korban dengan kemas manakala petugas surau menyembelih dengan menyebut nama Allah.


Kariah surau bersama saudara baharu memegang lembu kelima ketika ia sedang dikorbankan.


Petugas memotong dan mengasingkan daging dan tulang.


Petugas bergotong-royong memotong dan menimbang daging sebelum diagihkan.


Lim Jooi Soon menyampaikan takzirah bertajuk ‘Korban: Bersediakah Kita?’ kepada hadirin.


Aziz Wahab selaku Pengerusi Surau Tarbiah menyampaikan ucapan aluan.


Yoon Boon Chew  mewakili Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab turut menyampaikan ucapan.


Dr. Yusof Noor menyampaikan ucapan perasmian di majlis tersebut.


SUA PERKIM (kiri) menyampaikan amanat dan nasihat yang berguna kepada hadirin dan saudara baharu.


Dr. Yusof Noor (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan pengusung jenazah dan wang sumbangan kepada Aziz (kanan).


Dr. Muhammad Rais (tengah) bersama-sama pengurusan tertinggi PERKIM mengagihkan daging korban kepada mualaf.


Saudara baharu menerima bungkusan daging korban daripada Dr. Yusof Noor (berbatik merah).


Warga PERKIM berkesempatan bergambar bersama anggota APM.


Tetamu kehormat bersama saudara baharu menikmati juadah makanan daging masak kurma dan sup tulang.

Related Articles

Back to top button