Aktiviti Dakwah

Rumah Terbuka PERKIM Rai Saudara Muslim

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.” (Ali-Imran; 134)

Hari Raya Aidilfitri merupakan hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana masyarakat Islam memperoleh kebebasan diri dan menikmati rezeki selepas satu purnama menyerahkan jiwa raga mereka dalam melaksanakan kewajipan Rukun Islam yang ketiga serta memperoleh pahala di sisi Allah.

Baru- baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perkim bertempat di ruang legar Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2014 lalu.

Majlis itu dihadiri seramai 1000 orang yang terdiri dari saudara muslim berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Sikh, Indonesia, Filipina, Nigeria dan juga tetamu dari agensi-agensi kerajaan dan swasta.

Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Ahli Majlis Kebangsaan Perkim, Wanita Perkim, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Sahabat Perkim, Perkim bahagian dan cawangan serta mahasiswa Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS).

hasbullahsPenolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Datuk Hasbullah L. Isa dalam ucapannya mengajak tetamu yang hadir bersyukur kepada Allah SWT kerana majlis yang diadakan itu dapat mengeratkan silaturahim dan ikatan ukhwah Islamiah sesama mereka.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada hadirin di atas penghargaan dan sokongan serta beliau turut menyampaikan salam Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor yang tidak dapat bersama pada hari ini kerana mempunyai tugasan kerja di Sabah.

Hasbullah mengajak hadirin bersama menghadiahkan surah al-Fatihah kepada mangsa pesawat MH17 yang akan tiba pada esok hari,  22 Ogos 2014.

Beliau turut berterima kasih kepada Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim selaku Naib Yang DiPertua Perkim dan Perkim Bahagian Wilayah Persekutuan kerana menaja sebahagian besar jamuan dalam majlis tersebut.

Dr. Shahidan Kassim dalam ucapan perasmiannya berkata, rumah terbuka Aidilfitri ini bertujuan memupuk persefahaman di kalangan masyarakat bersama Saudara Muslim yang baru memeluk Islam dan secara tidak langsung memperkenalkan Perkim sebagai organisasi yang bertanggungjawab dalam berdakwah, kebajikan dan pendidikan Saudara Muslim.

“Sudah sampai masanya kita mengikut cara Rasulullah berdakwah, semasa di Mekah Rasulullah berdakwah secara sembunyi-sembunyi, tetapi semasa di Madinah sehingga sekarang ini risalah Islam sepatutnya sudah sampai kepada semua orang,” katanya.

“Mereka tidak ikut, itu hak mereka tetapi risalah ini perlu sampai kepada mereka,” tegas Dr. Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Tiap-tiap orang Islam akan ditanya amanahnya di akhirat iaitu sudahkah mereka menyampaikan risalah tersebut kepada jiran, kawan-kawan dan masyarakat.

Kita perlu sampaikan risalah dengan cara berdakwah kasih sayang kerana Islam itu adalah agama kasih sayang dalam bentuk hubungan kemanusiaan yang dapat menarik mereka kepada Islam.

Jelasnya, Perkim harus lebih fokus dalam menyampaikan risalah Islam kepada kaum Cina, India, Orang Asli, masyarakat Sabah dan Sarawak dan lain-lain bangsa.

Apabila kezaliman dan penindasan dilakukan kepada orang Islam, mereka menggelarkan Islam adalah pengganas seperti mana yang berlaku di Gaza, Palestin.

Apakah budak kecil dan kaum wanita dianggap pengganas. Ianya berlaku kerana kelemahan umat Islam kerana lebih daripada 1.6 bilion umat Islam yang mempunyai 60 peratus kekayaan di dunia tetapi kita juga merupakan umat yang menguasai kemiskinan di dunia.

Pendakwah-pendakwah disyorkan untuk keluar berdakwah semata-mata kerana Allah supaya dapat menyebar luaskan agama Islam dan meningkatkan bilangan kuantiti serta kualiti umat Islam sekali gus memberi pendidikan kepada mereka.

Dr. Shahidan turut menyampaikan salam Aidilfitri daripada Yang DiPertua Perkim, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada hadirin yang hadir.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian wang raya Aidilfitri yang diagihkan kepada semua hadirin disampaikan oleh Hasbullah dan Timbalan Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim, Abdul Hanif Harun tajaan Dr. Shahidan.

Sedekah orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya (Al-Baqarah; 261).

Dr. Shahidan turut melancarkan Tabung Gaza Palestin bertujuan untuk mengutip dana bagi membantu penduduk Palestin khususnya di Gaza yang kini terseksa akibat dari serangan tentera rejim Zionis, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka di samping membantu membangunkan infrastuktur yang musnah.

Antara juadah yang disediakan ialah kambing panggang, sate, nasi goreng cina, mihun goreng, mee goreng, laksa, roti jala, ayam dara berempah, lemang, rendang, nasi impit, ketupat, muffin, kuih-muih dan buah-buahan tempatan.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua Perkim 3; Datuk Dr. Mustapha Ma, Bendahari Kehormat Perkim; Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim, Mufti Wilayah Persekutuan; Sahibus Samahah Dr. Zulkifli Mohamad AlBakri.

1

Tetamu menghadiahkan surah al-Fatihah kepada mangsa pesawat MH17.

2

Hasbullah menyampaikan duit raya kepada semua tetamu yang hadir tajaan Dr. Shahidan.

3

Antara 800 tetamu yang hadir di majlis rumah terbuka Perkim.

4

Dr. Shahidan Kassim selaku Naib Yang DiPertua Perkim merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyampaikan ucapan perasmian.

5

Tetamu menikmati jamuan Aidilfitri yang disediakan.

6

Sate merupakan juadah yang mendapat sambutan yang hangat.

7

Pelbagai juadah yang disediakan di majlis tersebut.

8

Dr. Shahidan Kassim (dua dari kanan) melancarkan kutipan Tabung Gaza Palestin.

9

Tetamu kehormat menikmati juadah yang disediakan.

LAGI GAMBAR DI >>> facebook-logo-spaced

Related Articles

Back to top button