Prof. Ridhuan Tee Lancar Penubuhan Kelab PERKIM KLMUC
oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Jangan dibiarkan golongan ini berada di dalam keadaan lapar dan meminta-minta untuk mendapatkan sedikit makanan kerana boleh menyebabkan timbulnya pelbagai masalah di dalam negara kita termasuk mencuri dan membunuh,” kata Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.
Beliau selaku Naib Yang DiPertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) berkata ketika melancarkan penubuhan Kelab PERKIM Universiti (KPU) Kuala Lumpur Metropolitan Universiti College (KLMUC) bertempat di Metropolitan KLMUC, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2019 lalu.
Program dihadiri seramai 150 terdiri daripada kakitangan PERKIM, KLMUC dan mahasiswa KPU KLMUC.
Turut hadir ialah Penasihat KPU KLMUC, Prof. Madya Dr. Norliza Haslin Muslim; Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM (UPPP), Mohd. Yusof Ahmad; Pegawai UPPP, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Pegawai Penyelaras KPU, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.
Kata Dr. Ridhuan Tee, aktiviti foodbank dan kitchen soup dibantu chef dari kursus kulinari, ia melancarkan lagi aktiviti kebajikan dengan pengagihan makanan kepada golongan sasar di sekitar kawasan terbabit.
Selain daripada mahasiswa, golongan gelandangan, bawahan dan mereka yang melalui kaki lima serta menunggu kenderaan awam juga menjadi sasaran utama untuk diberi makanan.
Jelas beliau, mahasiswa bukan sahaja perlu memberi tumpuan kepada bidang akademik, dalam masa sama mereka perlu cakna dengan masyarakat sekeliling supaya tidak dibiarkan lapar.
“Saya dipertanggungjawabkan untuk mengetuai dan menubuhkan KPU di seluruh Malaysia kerana ia merupakan hasrat utamanya ialah YAB Perdana Menteri selaku Yang DiPertua PERKIM, Tun Dr. Mahathir Mohamad,” ujar Dr. Ridhuan Tee.
“Dengan bermotifkan aktiviti kreatif dan kepimpinan program terbaik, saya yakin dan percaya KPU KLMUC berkemungkinan dipanggil naik ke pentas menerima Anugerah Yang DiPertua PERKIM yang diadakan pada iftar setiap tahun,” tambahnya.
“Saya melihat semangat mahasiswa tunjukkan dalam kerja-kerja kebajikan ini sangat membanggakan kami dan berharap pelajar dapat mengekalkan momentum untuk bersama golongan yang memerlukan makanan,” jelas beliau.
PERKIM mengalu-alukan penglibatan mahasiswa yang belum Islam untuk menyertai KPU KLMUC supaya dapat bersatu padu dalam melaksanakan kerja kebajikan.
Matlamat PERKIM ialah untuk mengembalikan imej-imej Islam yang positif daripada disalah ertikan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab kerana Islam selama ini telah dilabelkan Islamofobia, pengganas dan sebagainya.
Ujar Dr. Ridhuan Tee lagi, sekiranya agama Islam ini sifatnya negatif dan tidak membantu orang, tidak keluarkan manusia daripada kemiskinan, mana mungkin agama ini semakin berkembang.
Mengikut populasi, agama Islam merupakan agama kedua yang dianggarkan 1.8 bilion dianuti selepas Kristian berbanding agama lain.
Katanya, jika sifatnya pengganas atau memusuhi orang tidak mungkin Islam dianuti oleh umat yang ramai kerana agama tersebut mempunyai sifat pengasih dan penyayang.
Sifat mengambil berat dan prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik tidak ada di tempat lain selain KPU KLMUC.
“Saya berharap PERKIM dapat bekerjasama, berganding bahu dan dalam masa yang sama kita murnikan dengan kerja-kerja kebajikan,” kata Dr. Ridhuan Tee yang juga Pensyarah Pusat Pengajian Teras Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).
Beliau melihat potensi KLMUC ini begitu besar untuk mengadakan kerja-kerja kebajikan dan berpotensi untuk memberikan pendedahan serta berkongsi bersama universiti-universiti lain dalam program foodbank atau kitchen soup.
KLMUC akan melebarkan lagi perkenalan, tali persaudaraan antara KPU-KPU lain dalam masa yang sama KLMUC boleh mengenegahkan serta berkongsi kekuatan mereka kerana tidak terdapat pada KPU lain.
Tambah beliau, keistimewaan KLMUC ialah ia terletak di tengah-tengah kota metropolitan bersama golongan masyarakat pelbagai bangsa dan negara.
Ini merupakan peluang terbaik mahasiswa KPU KLMUC untuk berbakti dengan memberikan makanan bagi memastikan golongan sedang lalu lalang, menunggu kenderaan awam, meminta sedekah, baring di kaki lima dan sebagainya tidak lapar.
Turut diadakan tayangan aktiviti dan program KPU KLMUC.
Sementara itu, Naib Canselor KLMUC, Sharina Puteh berkata, mahasiswa perlu melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan agar mereka memupuk nilai-nilai murni dan sifat bertanggungjawab dalam pembangunan negara untuk kejayaan masa depan.
Katanya, KPU KLMUC yang ditubuhkan pada 27 Mac 2019 lalu mempunyai tujuan utamanya seperti mana objektif KPU iaitu memupuk perpaduan berteraskan kebajikan saudara Islam; meningkatkan persefahaman, perhubungan dan kepentingan pelajar Islam dan bukan Islam; memperkenalkan keindahan Islam sebagai satu cara hidup; mendekatkan pelajar universiti kepada pembangunan rohani melalui program, aktiviti, perkhidmatan serta sokongan kepaa semua pelajar universiti; menyediakan peluang kepada pelajar Islam dan bukan Islam untuk berinteraksi dan membina jaringan kerjasama antara mereka; menjadi wahana kepada pembangunan sahsiah dan kepimpinan untuk pelajar universiti.
Jelas Sharina, KLMUC mengalu-alukan penglibatan pelajar di dalam kelab terbabit kerana ia bukan sahaja dapat bekerjasama dengan pertubuhan yang telah lama bertapak di negara malah ia juga dapat membina jati diri dan nilai-nilai murni sebagai seorang insan serta berbakti kepada negara.
Katanya, pelajar bukan sahaja menumpukan diri di dalam bilik kuliah dan berdepan buku semata-mata tetapi mereka haruslah melibatkan diri dengan kemahiran sosial dari segi interpersonal dan kepimpinan untuk mewujudkan mahasiswa yang berkualiti agar terus berjaya memenuhi kriteria pasaran kerja.
Menurut Ketua Pegawai Operasi KLMUC, Mohd. Najmi Nordin, walaupun PERKIM merupakan pertubuhan berlandaskan Islam tetapi apabila membuat kebajikan ia melibatkan semua pihak tanpa mengira kaum.
Ini merupakan satu program dan inisiatif yang terbaik untuk kita tunjukkan sifat-sifat terpuji kepada rakan-rakan kita yang berlainan bangsa dan kaum supaya mereka dapat mengenali bukan sahaja pelajar-pelajar KLMUC yang suka berseronok tetapi mereka turut membantu dalam amalan kebajikan.
Jelasnya, pihak PERKIM Kebangsaan turut membantu mengurangkan beban dan pihak KLMUC yang dipunyai oleh Cosmopoint Sdn. Bhd. bersama-sama akan menyalurkan dana untuk membantu mahasiswa mengurangi tekanan kehidupan.
Najmi Nordin turut berterima kasih kerana kesudian PERKIM bekerjasama dengan KLMUC kerana PERKIM banyak memberi keyakinan bukan sahaja kakitangan malah kepada mahasiswa.
Diharap KPU KLMUC akan terus berkembang pada masa-masa akan datang dan diharap lebih banyak aktiviti yang akan dijalankan melibatkan amal kebajikan.
Majlis berakhir dengan pengagihan sebanyak 200 bungkusan makanan disampaikan oleh Dr. Ridhuan Tee bersama-sama kakitangan PERKIM dan KPU KLMUC kepada warga kota di sekitar Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.
Mahasiswa KPU KLMUC menadah tangan ketika doa dibacakan.
Pegawai PERKIM bersama mahasiswa KLMUC di Majlis Pelancaran Penubuhan KPU KLMUC.
(Dari kiri:) Sharina, Prof Ridhuan Tee dan Najmi selaku tetamu kehormat berada di pentas.
Sharina menyampaikan ucapan aluan kepada mahasiswa.
Najmi turut memberi sokongan dan galakan aktiviti program KPU KLMUC.
Prof Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah menyampaikan ceramahnya sekali gus melancarkan penubuhan KPU KLMUC.
Sharina (kiri) menerima cenderahati plak PERKIM daripada Prof. Ridhuan Tee (kanan).
Kakitangan KLMUC berkesempatan bergambar bersama kakitangan PERKIM.
Sebanyak 200 makanan beserta air kotak dibungkus sedia untuk diagihkan.
Aktiviti pemberian makanan percuma kepada warga kota metropolitan tanpa mengira kaum,
Kakitangan PERKIM turut menyampaikan makanan kepada warga kota yang sedang pulang bertugas.
[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=AL02smLVbpk” width=”560″ height=”315″]