PERKIM Sarawak Diseru Laksana Aktiviti Tangani Masalah Sosial, Bentuk Masyarakat Madani
Sumber: UKAS
SIBU, 29 APRIL 2023 : Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Bahagian Sarawak diseru untuk melaksanakan aktiviti dalam menangani masalah sosial bagi membantu kerajaan membentuk masyarakat madani.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, PERKIM perlu bersama memainkan peranan dalam usaha kerajaan membentuk sebuah masyarakat madani yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.
“Dalam melaksanakan program dan aktiviti dakwah dan pendidikan, PERKIM hendaklah berusaha menangani isu-isu yang berkaitan seperti keruntuhan akhlak, gejala sosial dan budaya yang tidak beretika.
“Sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mendampingi masyarakat, PERKIM juga boleh membantu untuk menangani isu berkaitan dengan kemiskinan walaupun berbagai program dan aktiviti telah diusahakan selama ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi Dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee semasa Majlis Makan Malam Sempena Pelancaran Buku & Pelan Halatuju PERKIM Bahagian Sarawak di Hotel Kingwood Sibu pada Sabtu.
Premier Sarawak juga menggesa PERKIM untuk melaksanakan program secara holistik atau menyeluruh yang melibatkan semua sektor termasuk bekerjasama dengan NGO.
“Aktiviti dakwah dan pendidikan boleh dilaksanakan bersama dan diselitkan dengan aktiviti kebajikan dan riadah untuk menarik penyertaan ahli di kalangan golongan muda dan warga emas,” katanya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada PERKIM kerana berjaya menyediakan Pelan Hala Tuju Strategik bagi tempoh 2022 sehingga 2027 dan percaya Pelan Strategik ini mampu menangani masalah-masalah sosial melalui pelaksanaan program dan aktiviti PERKIM di masa hadapan.
Dalam pada itu, turut berlangsung pelancaran Buku PERKIM Sarawak 1989-2022 dan Buku Hala Tuju 2023-2027 yang disaksikan oleh wakil 21 cawangan PERKIM seluruh Sarawak.
Hadir sama, Pengerusi PERKIM Bahagian Sarawak merangkap Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib-Alsree, Timbalan Pengerusi 1 PERKIM Bahagian Sarawak Dato Sri Rohani Abdul Karim, Timbalan Pengerusi 2 PERKIM Bahagian Sarawak Datin Noraini Hussin, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, Tan Sri Mohd Yusuf Nor, Bendahari Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan Datuk Hanif Harun, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce serta Datin Sharifah Zaidah Syed Abdul Aziz, Senator Robert Lau, Pengerusi Koperasi Wanita Sarawak Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi dan Residen Bahagian Sibu Wong Hee Sieng. -EDISI UKAS.