PERKIM Santuni Warga Emas Rumah Ehsan Dungun
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐃𝐔𝐍𝐆𝐔𝐍, 𝟏𝟑 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Dalam usaha menyemai kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan warga emas, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Program Ziarah Kebajikan Warga Emas di Rumah Ehsan Dungin, Bandar Al-Mukhtafi Billah Shah, dekat sini pada petang Khamis.
Rombongan PERKIM disambut mesra oleh Ketua Pembantu Tadbir Rumah Ehsan Dungun, Rohsenai Lizei Nadzir serta Pembantu Pembangunan Masyarakat, Mohd Ariffin Mohd Yusof Al-Fakree, sebelum dimulakan dengan sesi taklimat ringkas mengenai latar belakang dan operasi institusi berkenaan.

Menurut 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, program yang mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Terengganu itu bertujuan menyemai semangat kasih sayang, keprihatinan dan kemanusiaan terhadap penghuni Rumah Ehsan yang berada di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, ziarah tersebut bukan sekadar menyampaikan sumbangan material malah menjadi wadah dakwah bil hal dalam mendekati, memahami dan merasai kehidupan insan-insan istimewa yang menjalani hari-hari terakhir kehidupan dengan penuh ketenangan dan redha.
Ustaz Jais Mariappan berkata, kehadiran kami bukan hanya untuk memberi sumbangan, tetapi untuk menghayati nilai empati dan kemanusiaan, agar warga emas ini terus merasai kasih masyarakat di sekeliling mereka.
Rohsenai Lizei dalam taklimatnya berkata, Rumah Ehsan Dungun kini menempatkan 76 orang penghuni berusia antara 60 hingga 90 tahun daripada pelbagai latar belakang bangsa dan agama dari seluruh Semenanjung Malaysia.
Majoriti mereka ialah pesakit terlantar yang memerlukan penjagaan rapi dan pemantauan sepanjang masa.
Tambahnya lagi, kemudahan di pusat jagaan ini lengkap dengan jururawat, warden serta empat blok asrama iaitu dua bagi penghuni lelaki dan dua bagi penghuni wanita.
Jelas Rohsenai Lizei lagi, Rumah Ehsan ditubuhkan bagi memberikan jagaan, rawatan dan perlindungan kepada warga emas yang uzur, daif serta tidak berwaris, agar mereka dapat hidup dengan selesa dan bermaruah.
Rombongan PERKIM turut dibawa oleh Mohd Ariffin melawat ke Asrama Anggerik (Perempuan) dan Asrama Cempaka (Lelaki) untuk beramah mesra bersama penghuni, bertanya khabar serta menyampaikan sumbangan berbentuk barangan makanan seperti susu tepung, oat dan biskut.
Suasana penuh kasih dan keinsafan terasa apabila penghuni menyambut kehadiran tetamu dengan senyuman dan doa tulus, manakala ahli rombongan menyantuni mereka dengan penuh mesra.
Turut hadir menyampaikan sumbangan ialah Setiausaha PERKIM Cawangan Dungun, Ustaz Muhammad Afif Ismail, dibantu Eksekutif PERKIM Negeri Terengganu, Tuan Haji Mohd Subri Jaafar.
Hadir sama iaitu urus setia PERKIM iaitu Fatin Hamizah Ismail, Rosnaliza Ahmadiah, Aishah Abdul Wahab, Azura Abdul Rahman, Nurfadhilah Alias, Muhamad Fardly Johan, Ustaz Amirul Hafiz Kamaruddin, Dhabithah Hanani Zakaria dan Musa Orb.
Sebagai tanda penghargaan, Ustaz Jais Mariappan mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar telah menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Mohd Ariffin sebagai simbolik kenang-kenangan.
Program yang berlangsung hampir dua jam itu meninggalkan kesan mendalam kepada semua peserta rombongan ziarah.
PERKIM berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi memperkukuh hubungan antara organisasi kebajikan dan institusi jagaan, di samping memperluas semangat ihsan, kasih sayang dan empati dalam kalangan masyarakat.
Semoga usaha murni ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program kebajikan dan kemanusiaan pada masa hadapan, sekaligus memperkukuh imej PERKIM sebagai organisasi Islam yang sentiasa prihatin terhadap golongan memerlukan dan berbakti tanpa mengira latar belakang.

PERKIM mengadakan Program Ziarah Warga Emas di Rumah Ehsan Dungun di Bandar Al Muktafi Billah Shah pada petang Khamis.

Ketua Pembantu Tadbir Rumah Ehsan Dungun, Rohsenai Lizei Nadzir (dua dari kanan) serta Pembantu Pembangunan Masyarakat, Mohd Ariffin Mohd Yusof Al-Fakree (kanan) menyambut mesra rombongan ziarah dari PERKIM.

Menurut Rohsenai, majoriti penghuni merupakan pesakit terlantar yang memerlukan penjagaan rapi dan pemantauan sepanjang masa.

Rombongan ziarah membawa bungkusan makanan seperti susu tepung, oat dan biskut ketika ziarah warga emas.

Rombongan ziarah PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Terengganu menyantuni penghuni Rumah Ehsan Dungun.

Rombongan PERKIM menziarahi dari katil ke katil penghuni Rumah Ehsan Dungun sambil bertanyakan khabar.

Azura memegang erat tangan warga emas sambil mendengar luahan yang dikongsinya.

Ustaz Jais Mariappan mendengar rintihan warga emas.

Norfadhilah dan Aishah melihat gelang manik hasil buatan penghuni warga emas.

Fatin Hamizah berkenalan dan bertanya khabar penghuni Rumah Ehsan Dungun.

Aishah dan Rosnaliza memuji gelang yang dipakai oleh warga emas.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan bungkusan makanan kepada warga emas Asrama Anggerik.

Setiausaha PERKIM Cawangan Dungun, Ustaz Muhammad Afif Ismail menyampaikan sumbangan makanan kepada penghuni.

Ustaz Amran menyampaikan makanan seperti susu tepung, oat dan biskut kepada warga emas.

Penghuni warga emas menerima bungkusan makanan daripada Azura.

Haji Subri, Ariffin dan Musa mendengar perkongsian yang disampaikan oleh warga emas.

Ustaz Jais Mariappan melayan luahan hati seorang warga emas Asrama Cempaka.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Ariffin di akhir ziarah.

Rombongan ziarah PERKIM bergambar kenang-kenangan bersama Pembantu Pembangunan Masyarakat, Mohd Ariffin Mohd Yusof Al-Fakree selepas berakhirnya sesi ziarah.



