Aktiviti KebajikanPerkampungan Orang Asli

PERKIM Kebangsaan, Selangor, Serendah Rai Maal Hijrah Bersama Orang Asli Ulu Melaka

“Kita hari ini meraikan sambutan Maal Hijrah di kampung ini pada akhir penutup bulan Muharram dan di bulan kemerdekaan Malaysia ke-65,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Beliau berucap ketika menyampaikan ucapan perasmian Sambutan Maal Hijrah Warga PERKIM Kebangsaan bersama Masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Ulu Melaka, Serendah Selangor pada 27 Ogos 2022 lalu.

Program itu mendapat kerjasama daripada PERKIM Bahagian Negeri Selangor, PERKIM Cawangan Serendah.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program PERKIM Kebangsaan, Tuan Haji Mamat Che Chik dan Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Mohamed Ibrahim Nar Hussain.

Menurut Tan Sri Dr Yusof Noor, Maal Hijrah ini penting bagi masyarakat Islam kerana ramai yang tidak tahu mengapa kita menyambut peristiwa penting ini.

Pada tahun 1988, kita di Malaysia menyambut satu Muharram kerana agenda sempena menyedia dan mengagihkan bubur asyura.

Ujarnya, ketika saya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1989, saya mencadangkan nama peristiwa satu Muharram dengan nama yang mudah difahami iaitu Maal Hijrah bermaksud bersama Hijrah.


Menurut Dr.  Yusof Noor lagi, beliau turut terbabit dalam sejarah penciptaan logo Maal Hijrah yang diguna pakai sehingga kini di mana logo tersebut membawa maksud tersendiri.

Jaringan di atas latar belakang kuning simbolik kepada sarang labah-labah di mana Allah SWT mengutuskan labah-labah untuk membuat sarangnya demi menyelamatkan Nabi Muhammad SAW dan Abu Bakar As-Siddiq ketika bersembunyi dari kafir Quraisy di Gua Tsur.

Latar belakang berwarna kuning bermaksud gambaran perjalanan di padang pasir yang panas terik tanpa pokok.

Huruf “Ha” dalam jawi melambangkan susah dan sulitnya perjalanan hijrah yang berliku-liku atau di padang pasir dan warna merah bermaksud keadaan cuaca yang panas manakala bayangan huruf “Ha” berwarna biru bermaksud perjalanan Rasulullah serta para sahabat dilindungi oleh rahmat Allah SWT.

Bulatan berwarna putih dan tulisan Maal Hijrah rumi diletakkan dilengkungan bawah manakala huruf jawi diletakkan dilengkungan atas yang melengkapkan logo tersebut.

Jelas Tan Sri SUA lagi, kita berkunjung dan bersama masyarakat kampung ini adalah semata-mata untuk menyebarkan kebaikan.

Kepada mereka yang masih belum Islam, kita minta satu sahaja supaya mereka tidak menerima apa-apa cerita mengenai tentang keburukan Islam kerana Islam tidak ada keburukan kerana Islam datang dari wahyu Allah SWT.

Beliau turut berterima kasih kepada urus setia PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Selangor, PERKIM Cawangan Serendah dan PERKIM Cawangan Selayang Baru yang hadir sekali gus memberikan kerjasama dalam menjayakan program bersama masyarakat kampung.

Sebelum itu, Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan mempimpin nyanyian lagu Negaraku, PERKIM Pacu Kemajuan dan Maal Hijrah manakala majlis bacaan doa pula diketuai oleh Pegawai Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Selangor, Mohd Yusoff Ahmad.

Masyarakat kampung turut disajikan santapan rohani dengan ceramah bertajuk ‘Apa Itu Hijrah’ disampaikan oleh Mohd Azmi Abdullah selaku tenaga pengajar PERKIM Cawangan Serendah.

Urus setia PERKIM Kebangsaan turut menjalinkan kemesraan dan ukhuwah bersama penduduk kampung ketika memasak dan menyediakan bubur asyura secara bergotong-royong.

Pelbagai aktiviti juga diadakan bagi kanak-kanak kampung Ulu Melaka iaitu pertandingan mewarna Jalur Gemilang, mereka bentuk serta mencipta dari permainan tiub paip, kuiz Islam dan merdeka.


Sementara itu, Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah berkata, bukan mudah untuk membawa mereka untuk mendekati Islam, walaupun susah tetapi lama kelamaan mereka sendiri datang dan seronok dengan program pembelajaran dan aktiviti yang diadakan oleh PERKIM Bahagian Negeri Selangor dan PERKIM Cawangan Serendah.

Beliau turut berterima kasih kepada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Selangor, PERKIM Cawangan Serendah dan PERKIM Cawangan Selayang Baru serta badan bukan kerajaan yang sentiasa datang ke kampung ini untuk mengadakan program.

Kita juga turut mengadakan program kesihatan kerjasama bersama International Medical Universiti (IMU) bagi membantu tahap kesihatan masyarakat kampung sehingga mereka telah membina sebuah klinik di hadapan surau ini bagi memudahkan para doktor dan jururawat untuk merawat dan memeriksa tahap kesihatan penduduk kampung.

Kawasan ini merupakan lokasi yang berdekatan dengan Air Terjun Templer Kai di mana pengunjung perlu melalui perkampungan Orang Asli Ulu Melaka untuk beriadah.

Tidak jauh dari sini juga terdapat Baitul Islah di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi mereka yang ditempatkan khusus untuk pesakit AIDS manakala berdekatan dengan kampung ini juga terdapat Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serendah ditempatkan bagi pemulihan penagih dadah.

Menurut Fitri, kumpulan Nasyid Kampung Orang Asli Serendah pernah memenangi pertandingan nasyid bagi Peringkat Kebangsaan dan Negeri Selangor sebelum ini.


Pengerusi PERKIM Cawangan Serendah, Bahari Tajuddin
turut berterima kasih kepada PERKIM Kebangsaan kerana memilih Perkampungan Orang Asli Ulu Melaka, Serendah sebagai perkampungan bagi sambutan Maal Hijrah PERKIM pada kali ini.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih sekali lagi kepada PERKIM Kebangsaan kerana telah menyumbang sebanyak 183 barang keperluan makanan seperti beras, bihun, sardin, minyak masak, bihun, kicap, garam, gula, susu dan teh kepada penduduk kampung pada 26 Ogos 2022 lalu.

Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Muhammad Fitri Abdullah turut menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna Jalur Gemilang dan rekabentuk permainan tiub paip.

Bagi meniupkan semangat kemerdekaan Malaysia ke-65 bertemakan Keluarga Malaysia, Teguh Bersama, tetamu kehormat bersama penduduk kampung bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dengan penuh bersemangat dan patriotik sambil mengibarkan bendera Malaysia.

Solatuwassalam menjadi lagu terakhir dinyanyikan oleh Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan sambil menikmati jamuan makan tengah hari bersama penduduk kampung.


Surau Al-Ikhlas, Kampung Orang Asli Ulu Melaka menjadi pilihan lokasi bagi sambutan Maal Hijrah PERKIM Kebangsaan pada tahun ini.


Warga PERKIM Kebangsaan bergotong-royong memasak bubur Asyura.


Farhan Tee bersama kanak-kanak kampung dalam acara motivasi dan kuiz.


Mohd Azmi Abdullah menyampaikan ceramah bertajuk Apa Itu Hijrah.


Nur Syahirah Musa (tengah) dan Amran Abdullah (kanan) dari PERKIM Kebangsaan menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk kampung.


Farhan Tee (tengah) menyampaikan sumbangan keperluan makanan kepada penduduk kampung.


Penduduk Kampung Ulu Melaka menerima sumbangan keperluan makanan daripada Pegawai PERKIM Kebangsaan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan (kanan).


Kakitangan PERKIM, Mariati Mohd Amin dan Fatin Hamizah Ismail (berkaca mata) mengambil kesempatan bergambar dengan keluarga penduduk kampung selepas menyampaikan sumbangan.


Kanak-kanak mewarnakan Jalur Gemilang dalam pertandingan mewarna.


Kanak-kanak kampung bangga menunjukkan hasil mewarna Jalur Gemilang.


Tuan Haji Mamat (kiri) selaku juri hakim memilih permainan tiub paip yang kreatif hasil idea daripada kanak-kanak kampung.


Ketibaan Tan Sri SUA (berbaju putih) mendekati dan bertanyakan khabar penduduk kampung.


Tan Sri Dr Yusof Noor (tengah) bersama Haji Mamat berkesempatan mengacau bubur Asyura yang sedang dimasak.


Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan memimpin nyanyian lagu Negaraku, PERKIM Pacu Kemajuan, Maal Hijrah dan Assolatuwassalam.


Farhan Tee selaku pengacara majlis Sambutan Maal Hijrah Bersama Warga PERKIM Kebangsaan.


Mohd Yusoff Ahmad memimpin bacaan doa.


Tetamu yang hadir menadah tangan ketika doa dibacakan.


Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menterjemahkan logo Maal Hijrah kepada hadirin.


Dr Mohd Yusof Noor merasmikan program Sambutan Maal Hijrah Bersama Warga PERKIM Kebangsaan.


Ucapan dari Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor merangkap Naib Yang Dipertua PERKIM Kebangsaan, Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah.


Ucapan Pengerusi PERKIM Cawangan Serendah, Bahari Tajuddin.


Tan Sri SUA PERKIM Kebangsaan (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna Jalur Gemilang.


Fitri (kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang rekacipta permainan tiub paip.


Tetamu kehormat menyanyikan lagu Jalur Gemilang sambil mengibarkan bendera Malaysia.


Jalur Gemilang dibawah naunganmu, Jalur Gemilang kita semua bersatu.. antara lirik yang dinyanyikan oleh Pasukan Koir PERKIM Kebangsaan.


Penduduk kampung beratur ketika mengambil makanan tengah hari yang diagihkan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button