Aktiviti Kebajikan

PERKIM Kebangsaan Santuni 100 Saudara Baharu Melalui Bantuan Aidilfitri 1447H

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟭𝟴 𝗠𝗔𝗖 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Prihatin terhadap kebajikan golongan saudara baharu menjelang Syawal, PERKIM Kebangsaan terus komited melaksanakan tanggungjawab sosialnya melalui penganjuran Majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri 1447H yang berlangsung di Dewan Seminar Aras 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.

Majlis yang bermula pada pukul 11 pagi itu menyaksikan seramai 100 penerima bantuan Aidilfitri terdiri daripada saudara baharu pelbagai latar belakang bangsa termasuk Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut dan lain-lain hadir bagi menerima sumbangan sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Acara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengerusi majlis, Eksekutif Dakwah 3 PERKIM Kebangsaan, Nur Syahirah Musa sebelum diteruskan dengan bacaan doa pembuka majlis yang dipimpin oleh Eksekutif Dakwah 2, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.


𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 dalam ucapannya berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan salah satu usaha berterusan PERKIM dalam menyantuni dan memperkasa kebajikan saudara baharu, khususnya dalam menghadapi cabaran kehidupan selepas memeluk Islam.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bukan sekadar menyampaikan bantuan berbentuk kewangan, malah bertujuan menyemai nilai kebersamaan, kasih sayang dan semangat kekeluargaan dalam kalangan komuniti mualaf agar mereka tidak berasa terpinggir, lebih-lebih lagi ketika menjelang sambutan Aidilfitri.

Beliau menegaskan bahawa majlis penyampaian bantuan Aidilfitri pada hari tersebut melibatkan 100 penerima terpilih daripada lebih 300 permohonan yang diterima.

Ustaz Farhan Tee menjelaskan bahawa proses pemilihan dilakukan secara teliti dan adil oleh lapan orang pegawai melalui perbincangan bersama serta persetujuan sebulat suara, tanpa sebarang unsur pilih kasih.

“Bantuan ini merupakan inisiatif tahunan PERKIM bagi meringankan beban golongan mualaf dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” katanya.

Tambah beliau, walaupun jumlah permohonan tinggi, hanya mereka yang benar-benar layak dan memerlukan dipilih, termasuk mengambil kira faktor kesusahan hidup, keadaan kesihatan serta tanggungan keluarga.

Dalam pada itu, beliau turut memohon maaf kepada pemohon yang tidak berjaya serta menjelaskan bahawa keutamaan diberikan secara terhad, termasuk hanya seorang wakil bagi setiap isi rumah bagi memastikan lebih ramai penerima dapat dibantu.

“Bantuan kepada penerima yang tidak hadir tetap akan disalurkan melalui kaedah lain bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada menerima sumbangan,” jelasnya lagi.

Pada masa sama, beliau mengajak para mualaf yang tidak pulang ke kampung untuk bersama-sama menghadiri solat sunat Aidilfitri di Surau PERKIM serta memeriahkan sambutan secara sederhana dengan jamuan dan pemberian duit raya kepada kanak-kanak.

Mengakhiri ucapan, beliau merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir serta memohon kemaafan sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang pengurusan bantuan, di samping mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh hadirin.

Majlis kemudiannya diserikan dengan penyampaian sumbangan saguhati Hari Raya Aidilfitri 1447H kepada 100 saudara baharu yang disampaikan oleh 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗿. 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱, diiringi 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻, 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 𝗛𝗮𝘀𝗮𝗶𝗱𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱; 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻, 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗶𝘇𝗮𝘁 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶 serta 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲.

Selain itu, para penerima turut menerima sekotak buah kurma dan air tajaan 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗗𝗿 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗶𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗮𝘀𝘀𝗶𝗺 sebagai pelengkap sumbangan Aidilfitri.

Dr. Suariza turut berkesempatan menyampaikan saguhati Hari Raya Aidilfitri kepada pengawal keselamatan dan petugas kebersihan sebagai tanda penghargaan atas jasa mereka sebelum majlis melabuhkan tirai dengan sesi fotografi kenangan.

 


Mualaf berbangsa India memeriksa nama pada borang pendaftaran sebelum menurunkan tandatangan.

 


Urus setia program bersiap sedia dalam Majlis Bantuan Hari Raya Aidilfitri 1447H berlangsung di Bangunan PERKIM.

 


Nur Syahirah membuka tirai selaku pengacara majlis dengan kata-kata aluan.

 


Ustaz Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.

 


Barisan Eksekutif PERKIM Kebangsaan bersama saudara baharu menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Saudara baharu mengaminkan doa yang dipimpin oleh Ustaz Jais Mariappan.

 


Menurut Ustaz Farhan Tee, penganjuran program itu merupakan salah satu usaha berterusan PERKIM dalam menyantuni dan memperkasa kebajikan saudara baharu menjelang Aidilfitri.

 


Tambah Ustaz Farhan Tee lagi, bantuan ini merupakan inisiatif tahunan PERKIM bagi meringankan beban golongan mualaf dalam meraikan Aidilfitri.

 


Saudara baharu tekun mendengar ucapan daripada Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan.

 


Saudara baharu berbangsa India menerima duit raya daripada Dr. Suariza.

 


Dr Suariza menyampaikan bantuan duit raya kepada mualaf berbangsa Cina.

 


Seorang mualaf berbangsa Cina orang kelainan upaya (OKU) buta turut menerima duit raya daripada Dr Suariza.

 


Dr Suariza diiringi Ahmad Hasaidi dan Ustaz Farhan Tee menyampaikan bantuan saguhati raya kepada mualaf berbangsa India.

 


Ustaz Farhan Tee berkesempatan menyampaikan duit raya kepada mualaf berbangsa India.

 


Dr Suariza diiringi Aizat Rosli turut menyampaikan duit raya kepada pengawal keselamatan.

 


Petugas kebersihan turut menerima duit raya daripada Dr Suariza.

 


Barisan eksekutif dan urus setia PERKIM Kebangsaan bersama saudara baharu berkesempatan bergambar kenang-kenangan di akhir majlis.

 


Pengawal keselamatan dan petugas kebersihan berpeluang bergambar bersama Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Dr Suariza.

 


Urus setia dan kakitangan PERKIM mengmabil peluang bergambar secara gaya bebas di akhir program.

 

Related Articles

Back to top button