Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Dakwah

PERKIM Dapat Berita Baik Sempena Maulidur Rasul

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 6 SEPTEMBER 2024 – “Kita dituntut untuk mencontohi sifat-sifat yang terpuji kerana agama Islam amat menitikberatkan keindahan akhlak,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Tambah beliau, bersandarkan hadis Riwayat Ahmad daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan ucapan amanat di hadapan lebih 40 warganya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan bertempat di Surau PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pada pagi Jumaat.

Sebelum itu, diadakan solat sunat hajat, bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat dipimpin oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Perhimpunan tersebut turut dihadiri kakitangan Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Menurut Dr Yusof Noor, satu berita baik yang sangat menggembirakan seluruh warga PERKIM ialah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada dasarnya telah bersetuju untuk memberi keizinan kepada Surau PERKIM mendirikan Solat Jumaat setiap minggu dan satu pemberitahuan rasmi akan dikirimkan dalam masa terdekat.

Ujar beliau, pertimbangan yang sangat istimewa ini sudah tentu akan menambahkan rahmat dan keberkatan kepada PERKIM serta warganya di samping menambahkan lagi keceriaan di kalangan warganya.

Secara tidak langsung kita telah dapat menarik banyak pihak untuk datang ke surau ini termasuk para musafir dan orang yang melalui bangunan ini.

Katanya, mereka nampaknya minat bukan hanya kerana kesejukan pendingin hawanya tetapi kedudukannya dan ketenangan di sini.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha untuk menceriakan tempat ini dan saya percaya tidak sia-sialah usaha kita semua untuk meyakinkan pihak JAWI dan Pejabat Mufti Wilayah untuk memberi kebenaran surau kita mendirikan sebagai Solat Jumaat secara kekal.

“Sewaktu negara dilanda dengan pandemik COVID-19, JAWI telah memberi keizinan kepada Surau PERKIM untuk mendirikan Solat Jumaat tetapi ia telah luput setelah endemik COVID-19 berakhir.

“Memandangkan PERKIM menjadi ‘rumah kedua’ bagi saudara baharu atau munawar, secara tidak langsung ia menjadikan satu tarikan dan minat kepada mereka untuk menunaikan Solat Jumaat di Surau PERKIM berbanding di masjid atau surau lain.

“Secara tidak langsung, Surau PERKIM menjadi mercu tanda dan tempat berkumpul kepada mualaf di mana mereka mempunyai satu tempat khusus untuk mendirikan Solat Jumaat.

“Ini adalah antara usaha-usaha yang dilakukan oleh pihak pengurusan PERKIM dalam memakmurkan Bangunan PERKIM dan seterusnya membantu menjana ekonomi masyarakat sekitar.

“Di dalam solat hajat dan doa tadi, saya yakin bahawa apa yang didoakan dalam doa tadi ialah perkara yang baik-baik bagi PERKIM kerana di dalam Hadis Riwayat Tirmidzi ada dinyatakan bahawa: “Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan,” ulas Dr Yusof Noor.

Menurut beliau lagi, hingga ke hari ini kerajaan masih lagi memberi perhatian kepada PERKIM untuk meneruskan misi dan visi sebagai pertubuhan menerusi suntikan dana daripada Jabatan Perdana Menteri.

Sekiranya ianya terhenti disebabkan kedudukan kewangan negara maka PERKIM terpaksa mencari jalan yang lain untuk mencari sumber bagi meneruskan halatuju PERKIM.

“Kita tidak boleh memaksa pihak kerajaan kerana kita adalah organisasi dan saya juga baru mengetahui bahawa terdapat banyak badan dakwah di Malaysia ini yang dibantu oleh kerajaan.

“Kita juga perlu bersedia mencari jalan jika sebarang perkara berlaku pada PERKIM, apakah jalan yang harus kita lalui?

“Kita agak malu jika kita berkata bahawa kita hendak berdakwah tetapi kita terpaksa bergantung kepada kerajaan sedangkan dakwah dan Islam di zaman Nabi Muhammad SAW berkembang bukan disebabkan kekuatan kewangan,” ulas Dr Yusof Noor.

Beberapa hari lagi, umat Islam akan menyambut hari kelahiran Nabi Muhammad SAW iaitu Maulidur Rasul SAW di mana ia merupakan satu manifestasi kecintaan umat Islam kepada Nabi Muhammad SAW serta satu peluang untuk menghayati ajaran dan sunnah baginda dalam kehidupan seharian sekali gus memperbaharui semangat dan kekuatan Islam.

Kata beliau, kita menghayati Maulidur Rasul itu kerana caranya ialah seperti yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW di dalam Hadis Riwayat Ahmad yang bermaksud: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

Jadi akhlak itulah yang menjadi punca, jika akhlak itu baik maka bermakna kita telah mengisi keperluan Islam yang dibawa oleh Muhammad SAW.

Bukan sahaja Baginda mengajak kita beriman kepada Allah, tetapi risalah Baginda ialah memperbaiki akhlak dan saya percaya aset kita di PERKIM ialah kemahuan, komitmen dan akhlak.

Insya-Allah, dengan komitmen, kemahuan dan dengan keyakinan masa depan, kita akan dapat meneruskan walaupun berada di dalam keadaan yang agak rumit tetapi kita akan meneruskan risalah kita setakat yang kita mampu.

Beliau menyeru warganya supaya mempertingkatkan akhlak kerana sabda Baginda SAW di dalam Hadis Riwayat Bukhari ada menyebutkan: “Jika sekiranya daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya. Namun, jika seandainya daging tersebut rosak, maka rosaklah seluruh anggotanya. Daging yang dimaksudkan adalah hati”.

“Kita akan berasa tenang jika hati kita bersama dengan anggota yang baik, maka jika hati baik itulah dakwah yang paling berkesan,” jelas Dr Yusof Noor mengakhiri amanatnya.

Sebelum itu, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim berkesempatan menyampaikan ucapan ringkasnya di hadapan warganya.

Datuk Nordin dalam ucapannya memaklumkan bahawa Surau PERKIM telah menerima jemputan daripada kariah Masjid Amru Ibni Al-‘As, Bandar Baru Sentul untuk menyediakan seramai 30 orang kontinjen bagi menyertai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul pada 29 September 2024.

Katanya, kontinjen PERKIM akan berarak dalam kumpulan sambil mengucapkan selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad SAW dengan membawa sepanduk yang mengandungi mesej-mesej Islam serta pujian kepada Rasulullah SAW.

Majlis berakhir dengan penyampaian sumbangan wang ehsan PERKIM disampaikan oleh Dr Yusof Noor kepada kakitangan PERKIM, Mohd Fadhzil Ashraff Zakaria di atas pemergian ayahandanya yang tercinta ke rahmatullah, Zakaria Mohd Taib pada 21 Ogos 2024 lalu serta pemergian ibunda Jamilatun Noor Hashim @ Hamid pada 27 Ogos 2024 lalu.

Turut hadir ialah Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.


Solat sunat hajat menjadi acara pembuka perhimpunan bulanan pada bulan ini dipimpin oleh Ustaz Jais Mariappan.
Ustaz Jais Mariappan (kanan) memimpin bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat.


Warga PERKIM bersama-sama membaca Surah Yasin.


Warga Muslimat PERKIM juga turut bersama mengikuti bacaan Surah Yasin.


Kepimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Datuk Nordin menyampaikan ucapan aluan di dalam Surau PERKIM.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan amanat kepada warganya.


Dr Yusof Noor memaklumkan bahawa pihak JAWI akan memberi keizinan kepada Surau PERKIM bagi mendirikan Solat Jumaat dalam masa terdekat.


Dr Yusof Noor menyeru warganya menghayati Maulidur Rasul dengan mempertingkatkan akhlak.


Dr Yusof Noor menyampaikan sumbangan wang ehsan PERKIM kepada Mohd Fadhzil Ashraff Zakaria di atas pemergian ayahanda yang telah meninggal dunia pada 21 Ogos 2024 lalu.


Jamilatun Noor Hashim @ Hamid menerima sumbangan wang ehsan PERKIM daripada Dr Yusof Noor di atas pemergian Allahyarham ibunya pada 27 Ogos 2024 lalu.


Warga PERKIM bersalaman bersama kepimpinan PERKIM seusai perhimpunan.

Related Articles

Back to top button