PERKIM Anjur Aktiviti Sukaneka Bersama Penduduk Masyarakat Orang Asli Kampung Sigar
ᴼᴸᴱᴴ : ᵁᴹᴵ ᴹᵁˢᶠᴵᴿᴬᴴ ᴬᴮᴰᵁᴸ ᴳᴴᴬᴺᴵ
𝐋𝐎𝐉𝐈𝐍𝐆, 𝟏𝟒 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Masyarakat majmuk Orang Asli setempat dari Kampung Sigar berhimpun bagi menjayakan aktiviti sukenaka anjuran PERKIM Kebangsaan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Kelantan.
Program yang berlangsung meriah itu bukan sahaja menghidupkan keharmonian antara penduduk Kampung Sigar 1 dan Kampung Sigar 2, malah mengukuhkan hubungan tali persaudaraan melalui penyertaan aktif pelbagai peringkat umur kanak-kanak, remaja, dewasa serta warga emas.
Dianjurkan sebagai salah satu pengisian program kemasyarakatan, sukaneka tersebut menjadi medan perpaduan, hiburan dan semangat kebersamaan, selaras dengan aspirasi memupuk masyarakat yang harmoni dan saling memahami.
Acara bermula dengan pertandingan rebut kerusi kategori kanak-kanak lelaki dan perempuan sebagai pembuka tirai. Seramai kira-kira 14 orang kanak-kanak lelaki dan 14 orang kanak-kanak perempuan mengambil bahagian.
Walaupun permainan itu kelihatan mudah, suasana menjadi riuh apabila masing-masing berlari mengelilingi kerusi sambil menunggu muzik dihentikan. Sorakan ibu bapa dan penduduk kampung menambahkan lagi debaran, menjadikan acara tersebut antara paling meriah pada petang itu.
Seterusnya, pertandingan kepit belon mengambil tempat, turut mengikut kategori lelaki dan perempuan.
Para peserta kecil ini kelihatan cukup bersungguh mengapit belon di antara kaki, bergerak perlahan-lahan menuju garisan penamat tanpa menjatuhkan belon.
Peserta yang berjaya membawa belon hingga ke garisan penamat tanpa menyentuhnya dinobatkan sebagai pemenang. Kesungguhan dan gelagat lucu para peserta mengundang tawa para penonton.
Bagi kanak-kanak perempuan pula, acara mengasingkan gula-gula mengikut warna mencuri perhatian apabila Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Ustazah Wan Zubaidah Wan Yusof, turut turun padang menunjukkan cara pengasingan yang betul.
Kanak-kanak dilihat sangat teruja dan bertanding dengan penuh semangat untuk menjadi paling pantas menyusun gula-gula mengikut warna yang tepat.
Bagi kategori dewasa, acara dimulakan dengan pertandingan mengupas kulit ubi bagi peserta wanita.
Peserta perlu mengupas kulit ubi sepanjang yang boleh tanpa memutuskan bahagian yang dikupas.
Walaupun kelihatan mudah, pertandingan ini memerlukan ketelitian dan fokus tinggi. Sorakan demi sorakan mengiringi peserta yang cuba sedaya upaya mengekalkan kulit kupasan dalam keadaan sekeping panjang.
Suasana semakin gamat apabila pertandingan musang berjanggut dimulakan. Setiap peserta wanita dewasa diberikan sebungkus plastik berisi campuran pelbagai jenis bijian seperti kacang merah, kacang hijau, beras, halba, biji sagu dan kacang dal.
Mereka perlu mengasingkan bijian tersebut mengikut jenis masing-masing dalam masa terpantas. Ketekunan para peserta jelas kelihatan, malah ada antara mereka yang duduk bersila sambil mengasingkan bijian dengan begitu berhati-hati.
Sukaneka diteruskan dengan acara memijak belon khas untuk kanak-kanak lelaki. Setiap peserta diikat dengan belon pada buku lali, dan mereka perlu memecahkan belon peserta lain sambil mempertahankan belon sendiri.
Tidak kurang aksi lucu apabila peserta berlari ke sana sini sambil cuba mengelak daripada dipijak. Akhirnya, peserta yang berjaya mempertahankan belon di kakinya sehingga akhir dinobatkan sebagai juara.
Bagi kategori perempuan dewasa, acara deria bau pula menjadi tumpuan. Para peserta ditutup mata mereka dan diberikan sayur atau buah untuk dihidu. Mereka perlu meneka nama bahan tersebut dengan tepat.
Sorakan dan gelak tawa berpanjangan apabila ada peserta yang meneka dengan jawapan lucu, ada juga yang betul-betul meneliti bau sebelum menjawab.
Dalam kategori lelaki dewasa, acara lompat dalam guni menjadi pertandingan paling penuh aksi. Setiap peserta perlu melompat dalam guni menuju ke garisan yang ditetapkan sebelum berpatah balik hingga garisan penamat.
Ada peserta yang hampir tersungkur, ada yang melompat terlalu laju, namun semuanya bersemangat sehingga ke akhir.
Acara khas yang paling dinanti-nantikan ialah pertandingan tarik tali antara Kampung Sigar 1 dan Kampung Sigar 2, melibatkan peserta wanita sepenuhnya.
Sorakan dari kedua-dua pihak bergema di seluruh kawasan apabila kedua-dua pasukan menunjukkan kekuatan luar biasa.
Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Eksekutif Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Ahmad Hasaidi Said; Timbalan Eksekutif Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Azrol Mohd Azmi serta Ustazah Wan Zubaidah.
Hadiah diberikan kepada juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga bagi setiap kategori, sama ada kanak-kanak mahupun dewasa.
𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 berkata, pelbagai acara sukaneka yang dipertandingkan bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat Orang Asli serta membina kerjasama antara keluarga dan jiran tetangga.
Menurutnya, melalui aktiviti seperti ini, masyarakat dapat berinteraksi dengan lebih akrab dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Farhan Tee yang turut mengacarakan keseluruhan majlis menyifatkan program kali ini sebagai antara yang paling meriah dengan sokongan penuh masyarakat setempat.
Sukaneka yang padat dengan aktiviti itu melabuhkan tirainya dengan jamuan makan malam yang disediakan untuk semua penduduk kampung.
Penduduk kampung menyatakan rasa gembira dan puas hati dengan penganjuran program tersebut. Bagi mereka, selain mengisi masa lapang, program seperti ini menguatkan lagi hubungan sesama masyarakat, menjadikan kampung lebih harmoni, ceria dan bersatu hati.

Acara rebut kerusi bagi kanak-kanak lelaki yang dipertandingkan disertai oleh sebahagian kanak-kanak lelaki setempat.

Kanak-kanak perempuan sedang bermain acara rebut kerusi.

Sebahagian kanak-kanak lelaki yang menyertai acara kepit belon.

Kanak-kanak perempuan bersedia di garisan permulaan bagi pertandingan kepit belon kategori kanak-kanak perempuan.

Ustazah Wan Zubaidah menunjukkan cara mengasingkan gula-gula kepada peserta kanak-kanak perempuan.

Sebahagian peserta yang menyertai pertandingan musang berjanggut sedang mengasingkan biji-bijian mengikut kategori.

Urusetia sedang memberikan bahan kepada peserta untuk dihidu dalam acara teka ramuan.

Acara lompat dalam guni bagi kategori lelaki dewasa disertai oleh penduduk kampung.

Acara khas tarik tali disertai oleh penduduk Kampung Sigar 2.

Azrol (kiri) menyampaikan hadiah kepada peserta disertai oleh Farhan Tee (kanan) selaku penyelaras program.

Hasaidi menyampaikan hadiah kepada juara pertandingan musang berjanggut.



