Aktiviti KebajikanPerkampungan Orang Asli

MSUA, PERKIM Bukit Damansara Serah Zakat Orang Asli

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya dan hamba dan orang-orang yang berhutang dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah dan orang-orang musafir (yang keputusan perbelanjaan dalam perjalanan). (Ketetapan hukum yang demikian adalah satu ketetapan yang datangnya dari Allah dan ingatlah Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Bijaksana).” (at-Taubah: ayat 60)

Asnaf mualaf merupakan asnaf keempat yang berhak menerima zakat selain daripada fakir, miskin, amil riqab, gharimin, fisabilillah dan ibnu sabil.

Jesteru, Masjid Saidina Umar Al-Khattab (MSUA) Bukit Damansara dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) cawangan Bukit Damansara menganjurkan ‘Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Kepada Masyarakat Orang Asli’ bertempat di Lojing, Gua Musang, Kelantan Darul Naim pada 11 hingga 13 Julai 2014 lalu.

abdul-hanif-harunsPengerusi Jawatankuasa Kecil Kebajikan dan Silaturahim MSUA, Abdul Hanif Harun berkata, ianya merupakan program tahunan sejak tahun 2009 di lima buah perkampungan orang asli iaitu di Kampung Jedip, Jedip Luar, Brooke Lama, Mendrod dan Jelgel.

“Sebanyak RM20,000 kutipan wang zakat daripada ahli kariah MSUA diagihkan pada tahun ini kepada 681 orang asli suku kaum Temiar,” jelas Abdul Hanif yang juga Pengerusi Perkim Cawangan Bukit Damansara.

Ia turut mendapat kerjasama daripada Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing, Masjid Keputeraan Lojing, Penggerak Masyarakat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) cawangan Kolej DiRaja Perubatan Perak (RCMP).

“Perjalanan yang memakan masa selama empat jam itu, membawa rombongan sejauh 260 kilometer melalui jalan Cameron Highland – Gua Musang untuk tiba di kampung angkat tersebut,” katanya.

Jelasnya, antara hikmah pemberian zakat ialah mengurangkan jurang antara mereka yang kaya dengan yang miskin, membantu mereka yang berjuang dan berdakwah dalam meninggikan kalimah Allah SWT serta memberi kekuatan moral kepada mereka yang baru memeluk Islam.

Sempena Ramadan, diadakan majlis berbuka puasa, solat sunat tarawih, moreh bersama penduduk orang asli yang dibantu oleh mahasiswa UniKL-RCMP.

“MSUA dan Perkim akan mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama penduduk kampung tersebut menjelang Syawal nanti,” ujar Abdul Hanif yang juga Timbalan Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim.

Tambahnya lagi, MSUA dan Perkim ingin membina sebuah kuarters imam bagi memudahkan penduduk kampung mempelajari dan meningkatkan ilmu Islam sekali gus menjalinkan kemesraan sesama mereka.

Turut diadakan acara melukis, meneka bilangan, nyanyian nasyid, kebersihan diri serta acara sukaneka seperti meniup gula dalam tepung kepada kanak-kanak kampung.

ybm-datuk-tunku-hajah-noor-hayatisMajlis agihan tersebut disempurnakan oleh YBM Tengku Puan Temenggong Kelantan, Datuk Tunku Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Katanya, zakat merupakan pembersih jiwa di mana sifat santun terhadap mualaf atau mereka yang berjinak-jinak dengan Islam dengan pemberian sebahagian harta daripada milik kita.

Selain melaksanakan perintah Allah, ia juga merupakan pelengkap kekurangan amalan di bulan Ramadan supaya dapat memperolehi pahala yang sempurna.

Selain itu, ia dapat merapatkan ukhwah silaturahim sesama agama walaupun berlainan bangsa atau kehidupan serta mempelajari suatu pengalaman baharu dari suku kaum tersebut.

Noor Hayati berharap supaya program tersebut dapat dilaksanakan pada setiap tahun dan terdapat penambahan dan peningkatan penduduk kampung yang memeluk Islam.

Mantan Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi turut membantu menyampaikan sumbangan berbentuk makanan seperti beras, minyak, gula, sardin, serbuk kopi, uncang teh dan mi kepada penduduk kampung.

Turut diadakan penyerahan pakaian terpakai kepada penduduk kampung.

Turut hadir, Ketua Jajahan Kecil Lojing; Nik Abdul Rahman Nik Yusof, Pegawai Unit Dakwah dan Inovasi Perkim; Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Pegawai Dakwah Perkim, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan.

1

Tunku Noor Hayati (kiri) menyampaikan wang zakat kepada salah seorang penduduk Kampung Jedip.

2

Tun Zaki (dua dari kanan) menyampaikan beg makanan kepada penduduk kampung sambil ditemani Abdul Hanif (kanan).

3

Siti Fatimah Ladda (kanan) menyampaikan pakaian terpakai kepada penduduk kampung.

4

Kanak-kanak penduduk Kampung Brooke Lama bermain di dalam acara sukaneka mencari gula dalam tepung.

5

Kanak-kanak Kampung Jedip dalam aktiviti mewarna.

6

Mahasiswa UniKL RCMP memandikan kanak-kanak di sungai dalam aktiviti kebersihan.

7

Kanak-kanak Kampung Brooke Lama bersama mahasiswa UniKL-RCMP dan tetamu kehormat bergambar kenangan.

8

Siti Munirah turut menyampaikan wang zakat kepada penduduk Kampung Jedip Luar.

Lagi gambar di >>>facebook-logo-spaced

Related Articles

Back to top button