Aktiviti Dakwah

Lebih 500 Tetamu Meriahkan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri PERKIM Kebangsaan, JAM’IYAH, MACMA KL

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟐𝟎 𝐀𝐏𝐑𝐈𝐋 𝟐𝟎𝟐𝟓 – “Sambutan Aidilfitri ini bukan sahaja sekadar diraikan setiap tahun, tetapi sebagai manifestasi rasa syukur kita atas kejayaan menunaikan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan yang lalu.

“Selain itu, ia juga bertujuan memupuk semangat ukhuwah dan kerjasama antara badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang turut serta dalam usaha dakwah dan kebajikan,” kata Dato’ Razali.


𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗥𝗮𝘇𝗮𝗹𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗮𝗯𝘂𝗱𝗶𝗻 selaku 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗞𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗿𝘁𝘂𝗯𝘂𝗵𝗮𝗻 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗷𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗜𝘀𝗹𝗮𝗺 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮 (𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠) 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻 berkata ketika menyampaikan ucapan perasmian di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Ahad.

Majlis itu dihadiri seramai lebih 500 tetamu terdiri daripada saudara baharu berketurunan Cina, India, Sikh, Kadazan, Iban, Bidayuh, Murut dan warga negara dari Filipina, Indonesia, Myanmar dan lain-lain.

Ia turut mendapat kerjasama Persekutuan Seruan Islam Wilayah Persekutuan dan Selangor (JAM’IYAH), Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Kuala Lumpur dan PERKIM Cawangan Putra.

Antara agensi dan NGO yang hadir ialah Majlis Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Multracial Reverted Muslim (MRM), Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sentul dan TH Plantation Berhad.

Majlis tersebut diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah manakala Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Dalam ucapan Dato’ Razali turut menyampaikan salam takzim daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor kerana tidak dapat turut bersama meraikan pada hari yang penuh mulia kerana mempunyai urusan penting.

Beliau turut menzahirkan harapan agar ukhuwah dan kerjasama antara NGO Islam terus diperkukuhkan.

Tambahnya, majlis ini menjadi platform penting dalam menyemarakkan semangat Aidilfitri serta mengeratkan hubungan antara pelbagai lapisan masyarakat Islam termasuk saudara baharu dan para aktivis dakwah.

Katanya, majlis tersebut membuktikan keprihatinan kita dalam menjalin hubungan erat demi memperkukuh perpaduan ummah.

“Saya bersetuju dengan pandangan bahawa program seperti ini perlu diperluaskan dengan ruang dan penyertaan yang lebih besar pada masa hadapan.

“Usaha dakwah mesti dilaksanakan secara sistematik agar memberi impak yang lebih bermakna kepada masyarakat, khususnya saudara-saudara baharu.

“PERKIM sentiasa menganggap saudara baru sebagai keluarga dan kita komited menjadikan institusi ini sebagai rumah kedua untuk mereka,” jelas Dato’ Razali.

Ulasnya lagi, dalam kita menyambut kemeriahan majlis ini, janganlah kita lupa mendoakan saudara-saudara kita di Gaza yang sedang menderita dan teruskan berdoa kerana doa ialah senjata orang mukmin.

Beliau berharap semoga perhimpunan ini dirahmati Allah SWT dan menjadi pemangkin kepada dakwah yang lebih tersusun.


Sementara itu, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗠𝗔𝗖𝗠𝗔 𝗞𝗟, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗿 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗻𝗻 𝗪𝗮𝗻 𝗦𝗲𝗻𝗴 dalam ucapannya berkata, majlis rumah terbuka ini mencerminkan semangat keterbukaan dan ukhuwah dalam Islam.

Walaupun Syawal hampir melabuhkan tirainya, semangat Hari Raya wajar kita terus pertahankan sebagai lambang kemenangan umat Islam dalam menundukkan hawa nafsu dan menghadapi pelbagai ujian sepanjang Ramadan yang lalu.

Beliau yang juga Pengerusi PERKIM Cawangan Putra berkata, hari ini juga menjadi simbol penyatuan dan kekuatan umat Islam di mana Islam menekankan pentingnya persaudaraan dan kerjasama apabila kita bersatu, kita akan kuat tetapi apabila kita berpecah, kita menjadi lemah dan mudah diperalatkan.

Ujar Dr Ann lagi, majlis gabungan pelbagai NGO ini membuktikan bahawa kerjasama mampu menyatukan umat Islam pelbagai latar belakang.

Kita berharap sambutan ini dapat menjalin hubungan yang lebih akrab, mengurangkan jurang perbezaan serta memupuk keharmonian dalam masyarakat majmuk.

Saya juga difahamkan terdapat non-Muslim yang hadir dan inilah platform terbaik untuk kita saling berkenalan dan mengeratkan perpaduan.


𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗝𝗔𝗠’𝗜𝗬𝗔𝗛, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗔𝗹𝗶 𝗛𝗮𝘀𝗮𝗻 pula dalam ucapannya turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada PERKIM Kebangsaan di atas penganjuran majlis yang cukup bermakna ini serta kehadiran pelbagai NGO Islam.

Beliau turut menyampaikan salam hormat daripada Yang Dipertuanya, Ustaz Haji Zakariah Isa yang tidak dapat bersama-sama meraikan pada hari ini.

“Saya berharap silaturahim yang terjalin tidak hanya wujud dalam majlis makan semata-mata, tetapi diteruskan dalam bentuk kerjasama dakwah secara berterusan dan berhikmah.

“Sambutan ini juga menjadi medan mendekati bukan sahaja masyarakat Islam tempatan, malah sahabat-sahabat dari luar negara seperti Bangladesh, India, Pakistan dan lain-lain,” kata Datuk Mohamad Ali mengakhiri ucapannya.

Hadirin mula menikmati pelbagai juadah dan hidangan hari raya istimewa setelah tetamu kehormat membuka buluh lemang dengan menggunakan tangan menjadi acara gimik pelancaran Majlis Ramah Mesra Aidilfitri hari ini.

Antara menu yang disediakan di gerai PERKIM Kebangsaan ialah nasi biryani, ayam masak merah, daging masak hitam, acar jelatah, dalca, cendol dan teh tarik.

Gerai JAM’IYAH pula menyediakan kambing golek, laksa utara, buah-buahan dan aiskrim manakala gerai MACMA KL pula menyediakan dim sum dan pau serta lemang, rendang ayam dan rendang daging disediakan di gerai PERKIM Putra.

Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) turut menyediakan aneka juadah di gerai mereka seperti rojak buah, koktel buah-buahan, salad macaroni, spaghetti Bolognese, kari ayam, rendang telur, kuih muih aneka bangsa, bubur, bakso, air balang, som tam, putu mayam, laksa Sarawak dan lain-lain.

Majlis dimeriahkan lagi dengan penyampaian duit raya kepada Pelajar Asrama Darul Falah (ASDAF) PERKIM dan anak-anak mualaf disampaikan oleh Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dan Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun.

Dato’ Razali turut menyampaikan hadiah hamper kepada pemenang pertandingan ‘Gerai Tercantik’, anugerah pengunjung paling ‘sporting’ serta pakaian terbaik.


Dato’ Bendahari Kehormat meninjau gerai pelajar mualaf yang menghidangkan pelbagai menu antarabangsa.


Pelbagai juadah Aidilfitri disediakan di gerai pelajar KPIPK tahap pra asas dan asas.

Naib Yang Dipertua PERKIM, Dr Mohd Ridhuan Tee meninjau aneka juadah disediakan.

Tetamu non-Muslim berkesempatan mengunjung gerai aneka juadah dari pelajar KPIPK tahap lanjutan.

Farhan Tee menemubual tetamu dari India dan Pakistan yang mengunjungi majlis Aidilfitri.

Farhan Tee Abdullah mengacarakan Majlis Ramah Mesra Aidilfitri.

Disusuli dengan bacaan doa pembuka majlis dipimpin oleh Jais Mariappan Abdullah.

Tetamu di kalangan saudara baharu menadah tangan ketika doa dibaca.

Dr Ann Wan Seng mewakili MACMA KL dan PERKIM Putra berkata majlis hari ini menjadi simbol penyatuan dan kekuatan umat Islam di mana Islam menekankan pentingnya persaudaraan

Dr Ali Hasan selaku Timbalan YDP JAM’IYAH berharap silaturahim ini diteruskan dalam bentuk kerjasama dakwah secara berterusan dan berhikmah.

Menurut Dato’ Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, usaha dakwah mesti dilaksanakan secara sistematik agar memberi impak yang lebih bermakna kepada saudara baharu.

Tetamu kehormat membuka buluh lemang tanda gimik pelancaran majlis.

Tetamu kehormat berkesempatan menilai gerai-gerai dari segi hiasan, juadah, kekemasan, kreatif dan lain-lain.

Orang ramai mengambil juadah Aidilfitri yang disediakan.

Pelbagai aneka makanan antarabangsa menjadi pilihan di majlis tersebut.

Sate menjadi salah satu kewajipan juadah Aidilfitri.

Gerai MACMA KL menyediakan rendang, lemang dan nasi impit.

Dekorasi, hiasan dan juadah istimewa buat tetamu yang hadir.

Gerai JAM’IYAH menyediakan juadah laksa utara dan kambing golek.

Tetamu turut dihiburkan dengan lagu raya oleh saudara-saudara baharu.

Pelajar anak orang asli berkesempatan mengambil juadah makanan.

Dr Ann Wan Seng dan Dr Ridhuan Tee berkesempatan menyampaikan duit raya kepada pelajar ASDAF PERKIM.

Dato’ Razali menyampaikan duit raya kepada anak-anak mualaf.

Anak-anak mualaf menerima duit raya daripada Dr Ridhuan Tee.

Saudara baharu menerima hadiah penerima pengunjung paling sporting daripada Dato’ Razali.

Dato’ Razali menyampaikan hadiah kepada saudara baharu sebagai pemenang paling sporting.

Pengunjung bertuah menerima hadiah pertandingan barangan elektrik daripada Dato’ Razali dalam pertandingan busana terbaik.

Saudara baharu menerima hadiah pakaian terbaik muslimah disampaikan oleh Dato’ Razali.

Dato’ Razali menyampaikan hadiah hamper kepada pemenang gerai kedua terbaik.

Kelas KPIPK tahap pra asas dan asas menjadi johan pertandingan gerai terbaik.

Pelajar KPIPIK tahap tahsin menerima hadiah hamper pemenang gerai ketiga terbaik.

Related Articles

Back to top button