Aktiviti Dakwah

PERKIM Terima Lima Kakitangan Baru

Oleh : UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

11 OGOS – KUALA LUMPUR. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menerima seramai lima orang kakitangan baru bermula awal Ogos yang ditugaskan melaksanakan tanggungjawab mereka dalam bidang dakwah.

Tiga daripada mereka ditempatkan di Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), seorang daripada mereka akan bertugas sebagai Pegawai Dakwah dan Kerja PERKIM Negeri Kedah dan seorang daripadanya ditempatkan di Unit Perancangan, Penyelarasan dan Perlaksanaan PERKIM (UPPP) di ibu pejabat bagi menyelaraskan Tadika PERKIM.

Lima pegawai tersebut hadir bagi menjalani Program Induksi bagi Kakitangan Baru di Ibu Pejabat PERKIM, Tingkat 4, Jalan Sultan Azlan Shah.

Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku Pegawai UPPP bertindak sebagai pengacara majlis di program tersebut.

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyambut mesra dan mengalu-alukan kehadiran lima pegawai tersebut.


Tan Sri Yusof Noor dalam amanatnya berkata, kebiasaannya semakin ramai kakitangan di sebuah syarikat itu, semakin gah kelihatan sesebuah syarikat tersebut. Namun, yang lebih penting adalah impak yang diberikan melalui perkhidmatan.

Misalnya di institusi pengajian tinggi yang mempunyai pelajar yang lebih ramai kelihatan lebih hebat berbanding institusi yang mempunyai jumlah pelajar yang sedikit. Institusi yang mempunyai pelajar yang sedikit menjaga reputasi pelajar menjadikannya lebih berkualiti.

Kata Tan Sri, apabila seseorang itu mempunyai kewibawaan yang lebih tinggi, kesannya lebih besar berbanding jumlah yang ramai terutamanya dalam bidang dakwah.

“Allah SWT mengutuskan Nabi dan Rasul sedikit berbanding umatnya kerana setiap Rasul diberikan mukjizat untuk disampaikan kepada umatnya dengan cara yang tersendiri,” jelas Tan Sri.

Ujar beliau, Rasulullah SAW  telah wafat 1400 tahun yang dahulu, namun kesan daripada ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah masih kekal sehingga ke hari ini. Jikalau dibandingkan dengan saintis-saintis serta ahli falsafah yang juga mempunyai pengikut namun selepas 100 tahun, dia dilupakan.

“Sesuatu organisasi tidak semestinya ramai untuk menjadi kuat tetapi apa yang dilaksanakan serta disampaikan itu adalah lebih penting,” tambah beliau.

Menurut Tan Sri Yusof Noor, Universiti Islam yang masyhur dan sering di sebut ialah Universiti Al-Azhar di Mesir yang mempunyai pelajar yang ramai. Mengikut sejarah Universiti Al-Azhar mempunyai bilangan kecil tokoh Islam yang memainkan peranan penting untuk memastikan kemajuan universiti tersebut.

Dari awal penubuhan PERKIM, badan ini diuruskan oleh beberapa orang sahaja dan tidak lebih dari sepuluh orang dan ia berjaya diuruskan dengan baik.

Jelas Tan Sri lagi, PERKIM ini disenangi juga oleh golongan yang belum beragama Islam dan kita perlu meraikan golongan bukan Islam supaya mereka tertarik dengan Islam.

Islam ini bermula dengan sedikit, namun ianya dapat menarik minat ramai orang untuk memeluk agama Islam.

Katanya, di PERKIM secara keseluruhannya kita mempunyai lebih kurang 108 orang kakitangan termasuk di PERKIM Bahagian Negeri-negeri.

Beliau mengalu-alukan sebarang pandangan, pendapat mahu pun idea untuk diadakan sebarang program boleh diusulkan kepada ketua masing-masing untuk dipertimbangkan.

Tan Sri turut mencadangkan agar kakitangan baru dibawa turun padang untuk menimba pengalaman dan melihat sendiri cara berdakwah di Sabah.

Beliau berpesan supaya melaksanakan apa jua tugas yang diamanahkan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi. Jikalau tidak dapat memimpin masyarakat secara keseluruhannya, pimpinanlah rakan-rakan terdekat terdahulu.

Sebelum itu, Pengarah Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik telah menyampaikan penerangan Misi, VIsi dan Objektif Unit-unit, Institusi PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian dan Cawangan; Carta Organisasi; Peranan dan Tanggungjawab Kakitangan Secara Umum; Tugas dan Tanggungjawab Spesifikasi Kakitangan Baru serta Proses Penilaian Prestasi Kerja kepada kakitangan baru.

Penerangan Pengurusan Mesyuarat dan Penyediaan Minit Mesyuarat pula disampaikan oleh Ketua Sekretariat Mesyuarat-Mesyuarat, Tuan Haji Mohd Zuber Zain dan Timbalan Pengarah UPPP, Ustaz Mohd Yusoff Ahmad manakala penerangan Penyediaan Kertas Cadangan Bagi Program dan Aktiviti disampaikan oleh Ustazah Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan.

Pembantu Peribadi Setiausaha Agung Kehormat merangkap Pegawai Tadbir, Azizah Mohd Yusoff turut menyampaikan taklimat mengenai waktu kerja, cuti tahunan dan prosedur permohonan cuti, prosedur cuti sakit, kod pakaian pejabat, waktu rehat, waktu makan tengah hari, prosedur penggunaan kenderaan pejabat, penggunaan mesin fotostat, faks dan lain-lain.

Md Eakzam Jaafar selaku Penolong Pegawai Unit Pembangunan dan Aset turut menyampaikan talklimat mengenai keselamatan, kecemasan, fire exits, fire alarms, procedure fire evacuation kepada petugas baru.

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button