Pengumuman

Himpunan Bulan September 2022 Bersama Warga PERKIM Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 2 SEPTEMBER 2022 – Seramai lebih 50 terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan berkumpul di Majlis Perhimpunan Bersama Warga Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan di perkarangan ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerja (Bahagian dan Cawangan) PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru, Encik Firdaus Lokman Tah.

Perhimpunan yang disertai oleh kakitangan IDIP-KL dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE) itu merupakan tradisi pertemuan bulanan pimpinan tertinggi PERKIM Kebangsaan bersama pegawai dan kakitangannya.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Negaraku, Jalur Gemilang dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan disusuli dengan bacaan doa oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM Kebangsaan, Encik Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Majlis diserikan lagi dengan amanat Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dalam amanatnya berkata, kini kita sudah masuk bulan September di mana empat bulan terakhir sebelum Disember merupakan bulan pengiraan bagi prestasi sesuatu organisasi.

Bagi sesebuah organisasi, bila sahaja akhir tahun menjelang prestasi organisasi akan dilihat pada lapan bulan yang lepas.

Menurutnya, kita perlu berusaha walaupun PERKIM merupakan organisasi kecil berbanding badan-badan organisasi yang lain tetapi saya fikir PERKIM memikul amanah yang besar.

Walaupun jumlah 100 kakitangan PERKIM termasuk PERKIM bahagian negeri-negeri adalah kecil, tetapi amanah yang ditinggalkan oleh Pengasas PERKIM, AlMarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sangat besar sekali gus menampung kerja badan-badan Islam yang lain.

“Meskipun kecil, kita akan berusaha untuk memberikan impak yang besar,” ujarnya.

Hari-hari mualaf datang ke PERKIM sama ada di pusat mahupun negeri-negeri untuk memeluk Islam, hubungan kita bukan sahaja dengan orang Islam malah dengan orang yang belum Islam kerana hari ini mereka belum Islam, esok mereka cari kita untuk melafazkan dua kalimah syahadah yang mempunyai impak yang besar.

Bila kita ditakdirkan oleh Allah SWT berada di sini, bersyukurlah kerana kita dapat berurusan secara terus dengan mereka yang berjinak-jinak dengan Islam.

Beliau mengucapkan penghargaan terima kasih dan tahniah kepada YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dan YBhg Dato’ Mohamad Nordin Ibrahim kerana mereka sanggup menerima amanah, kepercayaan dan lantikan Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan serta Penolong Setiausaha Agung PERKIM Kebangsaan daripada Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Mantan Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim dan Mantan Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa di atas jasa dan perkhidmatan yang telah mereka sumbangkan kepada PERKIM.

Rezeki itu bukan wang ringgit tetapi kesihatan dan orang yang memberi kemudahan kepada kita.

Hari Jumaat merupakan hari yang disunatkan membaca Surah Al-Kahfi, walaupun ianya bukan satu kewajipan.

Tambahnya, di dalam Surah Al-Kahfi, ada menyebut tentang kisah Iblis di dalam ayat 50 bermaksud: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam”; lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya.”

Beliau berharap, Insya Allah empat bulan terakhir yang semakin cepat ini akan menjadi lebih baik daripada lapan bulan yang lepas.


Sebelum itu, Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun dalam ucapannya berkata, dua minggu lalu beliau terkejut dan bersyukur kerana telah dilantik jawatan Bendahari Kehormat PERKIM.

“Saya terima dengan hati yang terbuka setelah dilantik oleh Yang Dipertua PERKIM dan disokong oleh pimpinan PERKIM Kebangsaan,” ujarnya.

“Insya Allah, saya akan menggalas tugas dan tanggungjawab dengan sejujur-jujurnya sebagaimana yang telah diamanahkan dengan bantuan serta sokongan semua,” kata Dato’ Hanif diakhir ucapannya.


Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohamad Nordin Ibrahim turut diberi peluang berucap.

Dato’ Nordin yang juga Mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dalam ucapannya mengucapkan salam perkenalan kepada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada keluarga PERKIM kerana memberikan kepada saya untuk mengisi jawatan Penolong Setiausaha Agung Kehormat dan hari ini saya menjadi sebahagian daripada keluarga ini,” tambah beliau.

Jelas Dato’ Nordin, atas nama dakwah PERKIM, saya menerima dengan hati yang terbuka. Insya Allah, kita akan terus menyegarkan misi dan visi PERKIM seperti mana di landasan 60 tahun yang lalu. Warisan terdahulu PERKIM akan kita sambung seperti mana amanah dakwah dan kebajikan akan terus diperjuangkan dengan kerjasama daripada Keluarga PERKIM.

Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad persembahan penutup Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan.


(Dari kiri) Dato’ Haji Abdul Hanif Harun, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Dato’ Mohamad Nordin Ibrahim berdiri tegak sambil menyanyikan lagu Negaraku.


Pasukan Nasyid PERKIM Kebangsaan mempimpin lagu Negaraku, Jalur Gemilang dan PERKIM Pacu Kemajuan.


Pegawai dan kakitangan PERKIM menyanyikan lagu PERKIM Pacu Kemajuan.


Farhan Tee selaku pengacara majlis di Perhimpunan Bulan September Bersama Warga PERKIM.


Muhammad Jais membacakan doa pembuka majlis.


Pegawai dan kakitangan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.


Warga PERKIM mengaminkan doa ketika bacaan doa dibacakan.


Dato’ Abdul Hanif menyampaikan ucapan sulungnya selaku Bendahari Kehormat PERKIM Kebangsaan.


Dato’ Mohamad Nordin diberi peluang untuk menyampaikan ucapan selaku Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan.


Amanat Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan disampaikan oleh Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.


Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan amanatnya di hadapan warga PERKIM.


Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan mendengar amanat yang disampaikan.


Tekun..warga PERKIM Kebangsaan mendengar amanat SUA PERKIM Kebangsaan.


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan amanatnya di hadapan warga PERKIM Kebangsaan.


Kumpulan Nasyid PERKIM Kebangsaan menyampaikan selawat dan salam di akhir majlis.

Back to top button