Hidayah Remaja Cina Peluk Islam
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 5 JANUARI 2024 – “Saya bersama ibu angkat saya ke sini untuk memeluk Islam,” kata Muhammad Fawwaz Lee.
Menurut Fawwaz Lee, hari ini merupakan hari yang teristimewa baginya kerana beliau telah genap berusia 18 tahun pada 28 Disember 2023 lalu dan menyimpan hasrat yang lama untuk memeluk Islam.
Beliau ditemani ibu angkatnya ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan di Jalan Sultan Azlan Shah pada petang Jumaat.
Fawwaz Lee yang bekerja sebagai pembantu sokongan tukang masak di Restoran Amber Makanan Cina Muslim di ibu kota telah memohon cuti daripada majikannya demi menjadi seorang Muslim.
Pengarah Kanan Dakwah, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin menyambut mesra dan mengalu-alukan kehadiran Fawwaz Lee dan kemudiannya memimpin beliau mengikrarkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab diikuti Bahasa Melayu.
Fawwaz Lee kelihatan tenang dan gembira setelah melafazkan kalimah tayyibah sambil disaksikan Pembantu Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI), PERKIM Kebangsaan, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah.
Dato’ Razali turut mengucapkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana upacara pengislaman tersebut telah berjalan dengan lancar.
Dato’ Razali menyatakan kepada Fawwaz Lee seperti sehelai kain putih yang bersih sebersih bersihnya daripada dosa selepas memeluk Islam.
Jelas beliau, segala dosa dan perkara tidak baik yang dilakukan dahulu telah Allah ampunkan umpama bayi yang baru lahir.
Dato’ Razali berpesan agar remaja berbangsa Cina Muslim itu terus istiqamah dengan amal kebaikan dan jangan melakukan perkara yang merosakkan diri dan akidah kita serta belajar mengerjakan solat.
Beliau berharap supaya Fawwaz Lee menghormati ahli keluarga walaupun berbeza agama dan menunjukkan akhlak yang terpuji.
Beliau bersetuju dengan nama Muhammad Fawwaz Lee yang menjadi pilihan ibu angkatnya di mana nama asalnya ialah Lee Kah Fai.
Ibu angkatnya, Suria Mahat merupakan jiran bertanggungjawab menyantuni beliau memandangkan beliau tinggal sendirian di Taman Kosas Ampang, Selangor.
Pegawai UDPI, Muhammad Jais Mariappan Abdullah kemudiannya turut memberikan penerangan mengenai Rukun Islam, Rukun Iman dan kewajipan sebagai sebagai seorang Islam kepada Fawwaz Lee.
Selain itu, Fawwaz Lee turut diberi penerangan mengenai tanggungjawab terhadap keluarga bukan Islam serta larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.
Jais turut berpesan supaya Fawwaz Lee mengikuti dan menghadiri ke Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan yang diadakan pada setiap hari bermula jam 5.30 petang hingga 7.00 malam.
Di akhir majlis pengislaman, Dato’ Razali bersama-sama Jais dan Amran menyampaikan beg Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi kit pengislaman kepada Fawwaz Lee.
Dato’ Razali (kanan) mengalu-alukan kehadiran Fawwaz Lee ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.
Muhammad Fawwaz Lee tidak sabar memenuhi hasratnya untuk memeluk Islam ketika hadir ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.
Fawwaz Lee ditemani ibu dan adik angkatnya ketika berlangsungnya majlis pengislaman.
Dato’ Razali memberi penerangan dan nasihat selepas Fawwaz Lee melafazkan dua kalimah syahadah.
Jais (dua dari kanan) memimpin doa kesyukuran selepas pengislaman.
Dato’ Razali menyampaikan beg MAIS yang mengandungi kit pengislaman kepada Fawwaz Lee di akhir majlis pengislaman sambil menunjukkan jari telunjuk yang mengisyaratkan kalimah syahadah.