Aktiviti KebajikanBerita PERKIM Bahagian & Cawangan

Gotong-Royong Mahabbah Satukan Komuniti Penduduk Kampung Sungai Puntar

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗕𝗘𝗗𝗢𝗡𝗚, 𝟮𝟱 𝗝𝗨𝗡 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Program Gotong-Royong Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk India Kampung Sungai Puntar, yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Puntar dekat sini, pada petang Khamis.

Program yang dianjurkan bersama oleh PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu turut mendapat kerjasama erat daripada PERKIM Bahagian Negeri Kedah, PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda serta Persatuan Dakwah Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (Al-Hidayah) Kedah.

Aktiviti gotong-royong tersebut merupakan sebahagian daripada pengisian Program Ziarah Mahabbah Komuniti Masyarakat Majmuk yang berlangsung selama tiga hari di kampung berkenaan dengan matlamat mengeratkan hubungan persaudaraan, memupuk semangat kebersamaan serta menyemai nilai toleransi dalam kalangan masyarakat setempat.


𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗽𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata, kehadiran PERKIM bersama rakan strategik ke kampung tersebut bukan sekadar untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan, sebaliknya menjadi platform memperkukuhkan hubungan silaturahim antara masyarakat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan budaya.

Menurut beliau, program itu membuktikan bahawa masyarakat Malaysia mampu hidup dalam suasana aman, harmoni dan saling menghormati walaupun berbeza pegangan agama serta bangsa.

“Tujuan utama kami hadir adalah untuk merapatkan hubungan persaudaraan dan mengeratkan tali persaudaraan dalam kalangan penduduk setempat. Alhamdulillah, walaupun masyarakat di sini terdiri daripada pelbagai agama dan kaum, mereka dapat hidup bersama dalam suasana penuh toleransi dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya.

Ustaz Jais Mariappan yang juga merupakan Eksekutif Dakwah 1 PERKIM Kebangsaan turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung dan jawatankuasa kampung yang banyak membantu menjayakan program tersebut sejak peringkat perancangan lagi.

Pada program berkenaan, peserta gotong-royong dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu kumpulan yang menjalankan kerja-kerja pembersihan di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Puntar dan satu lagi kumpulan yang ditugaskan membersihkan Surau Kampung Sungai Puntar.

Di dewan serbaguna, para peserta berganding bahu memotong rumput, mencakar dan mengumpul rumput kering, membersihkan longkang, membuang sawang, mencuci lantai, mengelap tingkap, membersihkan kerusi serta menyusun semula kemudahan dewan bagi memastikan ia berada dalam keadaan lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan masyarakat.

Sementara itu di surau kampung, sukarelawan turut melaksanakan kerja-kerja memotong pokok dan rumput liar, membersihkan kawasan persekitaran, mencuci lantai serta ruang wuduk, membersihkan langsir, menyusun al-Quran dan mencuci kipas bagi mewujudkan suasana rumah ibadah yang lebih bersih, ceria dan selesa.


𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗲𝗿𝗮𝗵 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗠𝘂𝗱𝗮, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗜𝗺𝗿𝗼𝗻 𝗞𝗼𝗰𝗵𝗲𝗺 𝗛𝗮j𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 berkata program tersebut mencerminkan semangat kerjasama yang tinggi antara badan bukan kerajaan (NGO) Islam dengan masyarakat setempat dalam menjayakan aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

“Alhamdulillah, hari ini kita bersama-sama penduduk kampung melaksanakan gotong-royong di dua lokasi iaitu dewan komuniti dan surau. Semua peserta menunjukkan komitmen yang tinggi dalam memastikan kedua-dua lokasi ini menjadi lebih bersih dan selesa untuk kegunaan masyarakat.

“Kami juga merakamkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan dan MAIWP yang telah memberikan sokongan penuh bagi menjayakan program ini. Semoga usaha kecil ini menjadi amal kebajikan yang diberkati Allah SWT,” katanya.

Menurut Ustaz Muhammad Jais lagi, program gotong-royong tersebut merupakan hari pertama siri aktiviti Ziarah Mahabbah yang akan diteruskan dengan penganjuran program sukaneka komuniti serta ziarah dari rumah ke rumah bagi menyampaikan sumbangan kebajikan yang diamanahkan oleh MAIWP kepada penduduk yang memerlukan.

Beliau berkata, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh masyarakat setempat, termasuk mereka yang bukan beragama Islam, membuktikan bahawa nilai kemanusiaan dan semangat kejiranan mampu menjadi jambatan perpaduan yang kukuh dalam masyarakat majmuk negara ini.

“Keindahan Malaysia terletak pada kemampuan rakyatnya hidup bersatu padu walaupun berbeza agama dan bangsa. Program seperti ini menjadi medium terbaik untuk memperkukuhkan lagi nikmat keamanan dan keharmonian yang kita kecapi selama ini,” ujarnya.

Turut bergotong-royong ialah 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻; 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟭, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗺𝗿𝗮𝗻 𝗔𝗻𝗯𝗮𝗿𝗮𝘀𝘂 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵; 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟮, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗦𝗶𝘁𝗶 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗟𝗮𝗱𝗱𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵; 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗧𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵 serta 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗱𝗹𝘆 𝗝𝗼𝗵𝗮𝗻.

Hadir sama 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵, 𝗛𝗮𝘇𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗔𝘇𝗺𝗶; 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗧𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵, 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝘇𝗿𝗮𝗺 𝗔𝗯𝘂 𝗭𝗮𝗿𝗶𝗺; 𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗲𝗿𝗮𝗵 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗠𝘂𝗱𝗮, 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗼𝗳 𝗠𝗱. 𝗭𝗮𝗶𝗻; 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗝𝘂𝗵𝗮𝗻𝗮 𝗛𝗮𝗹𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗝𝗼𝗵𝗮𝗿𝗶 serta barisan Ahli Jawatankuasa cawangan tersebut.

Turut serta ialah Setiausaha Al-Hidayah Kedah, Ustaz Mohd Firdaus Abdullah dan Bendahari Al-Hidayah Kedah, Ustazah Nurasiqin Abdullah.

Program berkenaan turut mendapat sokongan padu daripada Ketua Kampung Sungai Puntar, Anbalagan Wirasamy, bersama ahli jawatankuasa kampung iaitu Mohan Raja Perumal, Uthiyakumar Ramachandran dan Mohd. Rozi Mat yang bersama-sama berganding bahu menjayakan aktiviti gotong-royong tersebut.

Kehadiran pelbagai pihak dalam program berkenaan membuktikan bahawa semangat muafakat, toleransi dan kebersamaan mampu menjadi asas kukuh dalam membina masyarakat yang harmoni, sekali gus memperlihatkan peranan PERKIM dan MAIWP dalam memperkasakan agenda kebajikan serta perpaduan masyarakat di negara ini.

 


PERKIM, Al-Hidayah dan penduduk Kampung Sungai Puntar berganding bahu dalam gotong-royong membersihkan kawasan persekitaran dewan, dalam dewan dan surau.

 


Petugas menurunkan peralatan gotong-royong daripada kenderaan sebelum memulakan aktiviti kebersihan.

 


Fatimah Ladda membasuh dan membilas kerusi dewan yang telah lama berhabuk.

 


Jais Mariappan mencabut rumput liar yang tumbuh di dalam longkang.

 


Azura mengelap dan membasuh kerusi yang kotor dan berhabuk.

 


Fardly Johan, Amran Anbarasu dan Fatin Akmal membasuh, mencuci serta membilas lantai dewan dalam aktiviti gotong-royong.

 


Aizuddin membawa dahan pokok yang telah ditebang untuk dibuang.

 


Juhana Johari bersama Najwa membersihkan lantai surau.

 


Ahli PERKIM Kuala Muda membersihkan surau dengan membuang sawang pada kipas dan memvakum karpet surau.

 


Dahan liar yang telah dipotong dibawa keluar surau untuk dibuang.

 


Pasukan gotong-royong terdiri daripada PERKIM Kedah dan PERKIM Kuala Muda bergambar bersama penduduk kampung setelah selesai membersihkan surau.

 


Jais Mariappan memotong rumput liar di persekitaran dewan Kampung Sungai Puntar.

 


Rumput yang telah dipotong dan daun yang gugur dikumpulkan sebelum dibuang.

Related Articles

Back to top button