Aktiviti Dakwah

Dialog Harmoni PERKIM Perkukuh Perpaduan Masyarakat Orang Asli Sigar

ᴼᴸᴱᴴ : ᵁᴹᴵ ᴹᵁˢᶠᴵᴿᴬᴴ ᴬᴮᴰᵁᴸ ᴳᴴᴬᴺᴵ

𝐋𝐎𝐉𝐈𝐍𝐆, 𝟏𝟓 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Program bersama Masyarakat Majmuk Orang Asli Kelantan yang berlangsung selama dua hari satu malam di Kampung Sigar melabuhkan tirainya hari ini.

Program anjuran 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧 dengan kerjasama 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐧𝐭𝐚𝐧 itu berjaya mengumpulkan penduduk kampung tanpa mengira usia dan latar agama.

Seawal pagi, penduduk kampung baik kanak-kanak mahupun dewasa mula memenuhi kawasan program bagi menikmati jamuan sarapan nasi berlauk kari ayam yang disediakan khas untuk masyarakat Kampung Sigar.

Selesai sarapan, seluruh penduduk berhimpun di bawah khemah utama untuk sesi pengisian kerohanian bersama Mudir Kampung Orang Asli Sigar, Ustaz Muhammad Arif Md. Daud.

Dalam perkongsiannya, beliau mengingatkan komuniti mengenai kefahaman asas agama iaitu Rukun Islam dan Rukun Iman lima tiang utama yang menjadi tunjang kehidupan seorang Muslim serta lima pegangan akidah yang wajib diyakini.

Beliau menghuraikan kepentingan memahami prinsip tersebut agar masyarakat sentiasa berada dalam landasan ajaran yang betul.

“Kita mestilah mengamalkan cara hidup Muslim serta meninggalkan larangannya seperti minum arak dan perkara yang membawa kerosakan diri serta masyarakat,” tegas Ustaz Arif dalam ceramahnya.

Majlis diteruskan dengan acara perasmian penutup yang diacarakan oleh 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.

Tok Batin Kampung Sigar, Rada Jambu menyampaikan ucapan aluan mewakili seluruh penduduk kampung.

Rada dalam ucapannya menzahirkan penghargaan kepada pihak PERKIM kerana sudi hadir serta mengadakan program yang mendekatkan lagi hubungan antara masyarakat luar dan komuniti pedalaman.

“Walaupun penduduk di sini terdiri daripada yang beragama Islam dan bukan Islam, kami tetap bersatu apabila program seperti ini diadakan. Kami amat mengalu-alukan kehadiran mana-mana pihak yang ingin berkongsi ilmu dan menjalinkan hubungan dengan masyarakat kami,” ujar Rada.

Turut menyampaikan ucapan ialah Eksekutif PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Ustazah Wan Zubaidah Wan Yusoff, yang menyifatkan usaha membawa program ke Kampung Sigar sebagai sesuatu yang berbaloi walaupun perjalanan ke kampung tersebut mengambil masa lebih lama daripada biasa.

“Ini merupakan kali kedua saya hadir di kampung ini. Sebelum ini kami datang bersama sebuah NGO lain dalam tempoh yang lebih singkat, namun kali ini kami berpeluang beramah mesra dengan penduduk dengan lebih lama. Segala bantuan dan kerjasama daripada semua pihak amat kami hargai,” katanya.

Ustaz Farhan Tee dalam ucapannya turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga menjayakan program pertama mereka bersama PERKIM Bahagian Negeri Kelantan.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada Tok Batin Rada, Mualim KOA Sigar Ustaz Muhammad Tarmizi Kassim serta Penolong Pegawai Hal Ehwal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merangkap Imam Muda Masjid Long Tan, Ustaz Azlan Md. Ghani yang banyak membantu di lapangan.

“Semalam kami telah menziarahi Kampung Sigar 1 dan 2 bagi menyampaikan bantuan makanan. Kami juga berpeluang mengadakan aktiviti sukaneka bersama penduduk.” ujar Ustaz Farhan Tee.

Tambahnya lagi “Program seperti ini akan diadakan lagi pada masa akan datang. Ia tidak mungkin direalisasikan tanpa tajaan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang disalurkan kepada PERKIM Kebangsaan,”.

Sebagai tanda penghargaan kepada penyertaan penduduk, penyampaian hadiah khas kepada pemenang pertandingan tarik tali dari Kampung Sigar 1 dan 2 telah dilakukan oleh Tok Batin Rada kepada wakil-wakil pemenang.

Majlis turut menyaksikan penyampaian plak cenderamata PERKIM disampaikan oleh Eksekutif Pentadbiran PERKIM, Ahmad Hasaidi Said kepada Tok Batin Rada dan Ustaz Muhammad Tarmizi sebagai simbol penghargaan atas sumbangan mereka dalam menjayakan program tersebut.

Program dua hari itu berakhir dengan sesi bergambar beramai-ramai sebagai memori bersama sebelum para tetamu menikmati jamuan makan tengah hari yang disediakan.

Program Dialog Harmoni Masyarakat Majmuk Orang Asli Kelantan bukan sahaja menjadi wadah penyatuan komuniti malah memperkukuhkan hubungan antara masyarakat setempat dan pihak luar.

 


Ustaz Muhammad Arif Md. Daud menyampaikan sesi perkongsian berkenaan agama Islam kepada penduduk kampung.


Tok Batin Rada menyampaikan ucapan mewakili Kampung Sigar.


Ustazah Wan Zubaidah menyampaikan ucapan mewakili PERKIM Bahagian Negeri Kelantan.


Farhan Tee menyampaikan ucapan mewakili PERKIM Kebangsaan.


Tok Batin Rada menyampaikan hadiah kepada wakil Kampung Sigar 1 yang menjuarai pertandingan tarik tali.


Hasaidi (kiri) menyampaikan plak PERKIM Kebangsaan kepada Ustaz Muhammad Tarmizi.


Sesi bergambar secara beramai-ramai bersama penduduk kampung untuk kenang-kenangan.


Sebahagian penduduk kampung beratur untuk mengambil jamuan tengah hari yang disediakan.

 

Related Articles

Back to top button