Aktiviti DakwahPerkampungan Orang Asli

Dialog Harmoni PERKIM Kukuhkan Perpaduan Masyarakat Orang Asli Sungai Pergam

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐄𝐌𝐀𝐌𝐀𝐍, 𝟏𝟑 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – 𝑃𝘳𝑜𝘨𝑟𝘢𝑚 𝐷𝘪𝑎𝘭𝑜𝘨 𝘏𝑎𝘳𝑚𝘰𝑛𝘪 𝘉𝑒𝘳𝑠𝘢𝑚𝘢 𝘔𝑎𝘴𝑦𝘢𝑟𝘢𝑘𝘢𝑡 𝑀𝘢𝑗𝘮𝑢𝘬 𝘖𝑟𝘢𝑛𝘨 𝘈𝑠𝘭𝑖 𝐾𝘢𝑚𝘱𝑢𝘯𝑔 𝑆𝘶𝑛𝘨𝑎𝘪 𝘗𝑒𝘳𝑔𝘢𝑚 anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berlangsung meriah dengan penyertaan lebih 200 penduduk dari suku kaum Semaq Beri dan Jakun bertempat di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Pergam, Jabor dekat sini pada pagi Khamis.

Program yang bermula jam 10 pagi itu turut mendapat kerjasama erat daripada PERKIM Bahagian Negeri Terengganu, PERKIM Cawangan Air Putih, Majlis Belia PERKIM Terengganu, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Sekolah Kebangsaan dan Tadika Sungai Pergam.

Acara bermula dengan ceramah motivasi dan interaktif yang disampaikan oleh 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, yang menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan bersama masyarakat kampung.

Ustaz Jais Mariappan dalam ucapan motivasinya menekankan bahawa perbezaan agama, bangsa dan budaya bukan penghalang untuk hidup saling memahami, bahkan menjadi rahmat jika diurus dengan kasih sayang dan hormat-menghormati.

Menurutnya, ada antara masyarakat yang lahir dalam Islam namun masih mencari pegangan yang kukuh, justeru beliau mengingatkan agar tidak berasa rendah diri, sebaliknya terus berusaha mendekatkan diri kepada Allah.

“Islam bukan agama paksaan, tetapi agama kasih sayang. PERKIM datang bukan sekadar menziarahi, tetapi untuk menjadi sahabat dan saudara seagama,” katanya.

Sesi diteruskan dengan 𝘿𝒊𝙖𝒍𝙤𝒈 𝑯𝙖𝒓𝙢𝒐𝙣𝒊 yang disampaikan oleh 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗿. 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗔𝘀𝗺𝗮𝘄𝗶 𝗜𝗯𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺 𝘀𝗲𝗹𝗮𝗸𝘂 𝗣𝗲𝗻𝘀𝘆𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗙𝗮𝗸𝘂𝗹𝘁𝗶 𝗦𝗮𝗶𝗻𝘀 𝗦𝗼𝘀𝗶𝗮𝗹 𝗚𝘂𝗻𝗮𝗮𝗻 𝗨𝗻𝗶𝘃𝗲𝗿𝘀𝗶𝘁𝗶 𝗦𝘂𝗹𝘁𝗮𝗻 𝗭𝗮𝗶𝗻𝗮𝗹 𝗔𝗯𝗶𝗱𝗶𝗻 (𝗨𝗻𝗶𝗦𝗭𝗔).

Dr Asmawi menekankan bahawa setiap manusia secara fitrah mempercayai kewujudan kuasa yang lebih besar mengatur kehidupan di dunia ini.

Menurutnya, Islam hadir sebagai panduan menyempurnakan fitrah manusia agar mengenal Tuhan sebenar Allah SWT yang menjadi sumber kebenaran dan kesejahteraan hidup.

Dr. Asmawi yang juga Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Terengganu itu menjelaskan bahawa keperluan manusia terhadap Tuhan bukan sekadar tuntutan spiritual, tetapi juga keperluan semula jadi.

Katanya, nikmat seperti udara yang dihirup setiap hari adalah tanda kasih sayang Allah kepada makhluk-Nya.

Beliau turut menyatakan bahawa segala ciptaan alam seperti pokok, sungai dan gunung menjadi bukti kebesaran Tuhan yang menyediakan rezeki untuk manusia.

Beliau menegaskan bahawa iman tidak memerlukan bukti fizikal, sebaliknya diyakini melalui akal dan hati.

Seperti tenaga elektrik yang tidak kelihatan tetapi dapat dirasai melalui kesannya, begitu juga kewujudan Allah yang dapat difahami melalui tanda-tanda ciptaan-Nya.

Beliau turut menekankan bahawa kehidupan manusia tidak berakhir di dunia, sebaliknya setiap amal akan dihisab di akhirat kelak.

Dr. Asmawi turut menegaskan bahawa Islam tidak menolak adat tradisi Orang Asli selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak. Sebaliknya, Islam memperbetulkan dan menyucikan amalan agar selari dengan ajaran agama.

Beliau menegaskan pentingnya solat sebagai tiang agama asas utama hubungan manusia dengan Tuhan dan mengaitkan peningkatan masalah sosial masa kini dengan kelalaian dalam menunaikan solat.

Katanya, agama adalah sumber ketenangan dan rahmat, bukan beban. Kehidupan berasaskan iman menjadikan manusia lebih tabah dan berakhlak.

Beliau turut menyentuh realiti masyarakat yang berdepan tekanan hidup dan masalah rumah tangga akibat jauh daripada amalan agama.

“Kekuatan iman dan hubungan dengan Allah adalah kunci kebahagiaan keluarga dan keharmonian masyarakat,” ujarnya.

Mengakhiri ucapannya, Dr. Asmawi menyeru masyarakat Orang Asli memperkukuh keimanan dan memperbaiki amalan keagamaan sebagai asas kehidupan sejahtera.

Beliau menegaskan bahawa Islam membawa keseimbangan antara keperluan rohani dan jasmani, serta menghargai kepelbagaian budaya manusia selagi tidak bertentangan dengan prinsip tauhid.

Penolong Eksekutif PERKIM Terengganu, Aishah Abdul Wahab mengacarakan majlis penutupan program manakala Penggerak Masyarakat JAKIM, Ustaz Adnan Ariffin memimpin bacaan doa.

Majlis turut diserikan dengan ucapan 𝐓𝐨𝐤 𝐁𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐊𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐠 𝐒𝐮𝐧𝐠𝐚𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐠𝐚𝐦, 𝐑𝐨𝐬𝐥𝐚𝐧 𝐈𝐬𝐦𝐚𝐢𝐥 yang mewakili penduduk kampung mengalu-alukan kedatangan rombongan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Terengganu dan JAKIM ke sini.

Beliau menzahirkan kesyukuran atas kesudian mereka turun padang bertemu masyarakat Orang Asli, sambil mengenang jasa Prof. Dr. Ramle Abdullah yang telah lama berkhidmat dengan komuniti tersebut sejak tahun 1986.

Tok Batin Roslan turut menyampaikan ucapan dalam bahasa Semaq Beri, menandakan identiti budaya tempatan yang masih dipelihara, serta mengucapkan terima kasih kepada JAKOA, JAKIM dan PERKIM atas komitmen dalam menjayakan program berteraskan keharmonian dan perpaduan itu.

Ustaz Jais Mariappan dalam ucapannya pula turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh penduduk kampung dan kepimpinan setempat atas sambutan mesra serta kerjasama padu sepanjang program berlangsung.

Menurut beliau, masyarakat kampung menunjukkan semangat muafakat dan gotong-royong yang tinggi, antaranya melalui aktiviti membersihkan surau bersama Eksekutif PERKIM Negeri Terengganu pimpinan Tuan Haji Mohd Subri Jaafar yang turut menziarahi rumah penduduk.

Beliau turut merakam penghargaan kepada guru-guru sekolah yang membawa pelajar menyertai sukaneka, mencerminkan hubungan erat antara masyarakat, sekolah dan agensi Islam.

Jelasnya, tujuan utama program bukan sekadar lawatan sosial, tetapi usaha dakwah berterusan untuk memperkukuh kefahaman agama dan silaturahim.

Katanya, hasil sesi dialog mendapati sebahagian masyarakat masih memerlukan bimbingan dalam memahami Islam secara mendalam dan PERKIM komited untuk membantu melalui siri bimbingan dan program susulan.

Beliau berharap inisiatif seperti ini dapat diteruskan setiap tahun sebagai wadah dakwah serta platform memperkukuh hubungan antara PERKIM, JAKIM dan masyarakat Orang Asli.

Program diteruskan dengan ucapan perasmian oleh 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐓𝐞𝐫𝐞𝐧𝐠𝐠𝐚𝐧𝐮, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐏𝐫𝐨𝐟. 𝐃𝐫. 𝐑𝐚𝐦𝐥𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 yang menzahirkan rasa syukur atas kejayaan program dan kerjasama padu semua pihak.

Beliau yang mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Mohamad Marzuki Mohamad Omar menegaskan bahawa pemilihan Kampung Sungai Pergam buat kali kedua dalam tempoh singkat menunjukkan keprihatinan PERKIM terhadap masyarakat setempat dan pengiktirafan terhadap sambutan baik penduduk kampung.

Dr. Ramle turut merakam penghargaan kepada kepimpinan kampung, Tok Batin dan Jawatankuasa Pembangunan serta Keselamatan Kampung (JPKK) atas komitmen menjayakan program.

Beliau berkongsi kenangan sejak mula berkhidmat dengan komuniti Orang Asli pada 1986 dan menyaksikan kemajuan besar dari aspek pendidikan, sosioekonomi serta pendidikan rohani.

Katanya, jika dahulu sukar melihat anak Orang Asli ke universiti, kini sudah ada yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi bukti kemajuan kampung tersebut.

Beliau juga bangga dengan pencapaian Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam yang baru-baru ini mendapat tempat kelima terbaik Zon Timur dalam kejohanan bola sepak.

“Teruskan usaha untuk memajukan diri dalam semua aspek agama, pendidikan dan ekonomi. Saya yakin Kampung Sungai Pergam mampu dikenali sebagai komuniti Orang Asli yang maju dan harmoni,” katanya sebelum menutup ucapannya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.

Dr. Ramle turut menyampaikan hadiah kepada pemenang sukaneka seperti pertandingan kerusi muzik, tiup belon, pijak belon dan pancing getah menggunakan straw.

Penolong Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Amran Anbarasu Abdullah menyerahkan plak cenderamata PERKIM kepada Penceramah Dialog Harmoni, Dr.Asmawi; Pegawai JAKOA, Hafizi Ramli dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam, Mohd Shafii A. Bakar.

Turut hadir ialah Penyelaras Kampung Orang Asli Terengganu, Ustaz Wan Baihaqui Wan Ibrahim, Pegawai JPKK Kampung Orang Asli Sungai Pergam, Yu Kidam dan Pengerusi PERKIM Cawangan Air Putih, Arabee Bakar.

Program ini turut dijayakan oleh barisan urus setia PERKIM yang diketuai oleh 𝐅𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐇𝐚𝐦𝐢𝐳𝐚𝐡 𝐈𝐬𝐦𝐚𝐢𝐥, 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐑𝐨𝐬𝐧𝐚𝐥𝐢𝐳𝐚 𝐀𝐡𝐦𝐚𝐝𝐢𝐚𝐡, 𝐀𝐳𝐮𝐫𝐚 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧, 𝐍𝐮𝐫𝐟𝐚𝐝𝐡𝐢𝐥𝐚𝐡 𝐀𝐥𝐢𝐚𝐬, 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐝𝐥𝐲 𝐉𝐨𝐡𝐚𝐧, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐀𝐦𝐢𝐫𝐮𝐥 𝐇𝐚𝐟𝐢𝐳 𝐊𝐚𝐦𝐚𝐫𝐮𝐝𝐝𝐢𝐧, 𝐃𝐡𝐚𝐛𝐢𝐭𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐧𝐚𝐧𝐢 𝐙𝐚𝐤𝐚𝐫𝐢𝐚 𝐝𝐚𝐧 𝐌𝐮𝐬𝐚 𝐎𝐫𝐛.

Program yang sarat dengan pengisian ilmiah, kerohanian dan kemasyarakatan itu menjadi manifestasi nyata semangat perpaduan dan dakwah berterusan PERKIM dalam menyantuni masyarakat Orang Asli serta memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.

Majlis berakhir dengan sesi fotografi dan jamuan makan tengah hari.

 


Program Dialog Harmoni Bersama Masyarakat Majmuk Orang Asli diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Pergam.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan ceramah motivasi kepada masyarakat Orang Asli Sungai Pergam.

 


Orang Asli suku kaum Semaq Beri dan Jakun hadir mendengar motivasi yang disampaikan.

 


Kaum ibu juga tidak melepaskan peluang untuk hadir bersama dalam program Dialog Harmoni.

 


Ustaz Jais Mariappan menjawab soalan penduduk kampung bahawa PERKIM datang bukan sekadar menziarahi, tetapi untuk menjadi sahabat dan saudara seagama.

 

 


Dr Asmawi menyampaikan ceramah Dialog Harmoni kepada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Pergam.

 


Dr Asmawi menjelaskan bahawa keperluan manusia terhadap Tuhan bukan sekadar tuntutan spiritual, tetapi juga keperluan semula jadi.

 


Tetamu kehormat yang hadir dalam program Dialog Harmoni di dalam dewan orang ramai.

 


Dr Asmawi dalam ceramahnya menegaskan bahawa Islam tidak menolak adat tradisi Orang Asli selagi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

 

 


Dr Asmawi turut menyentuh realiti masyarakat yang berdepan tekanan hidup dan masalah rumah tangga akibat jauh daripada amalan agama.

 

 


Aishah Abdul Wahab mempengerusikan majlis perasmian penutup.

 


Penduduk kampung menadah tangan ketika bacaan doa.

 


Tok Batin Roslan mengucapkan terima kasih kepada PERKIM, JAKOA, JAKIM atas komitmen dalam menjayakan program berteraskan keharmonian dan perpaduan itu.

 


Menurut Ustaz Jais Mariappan, tujuan utama program bukan sekadar lawatan sosial, tetapi usaha dakwah berterusan untuk memperkukuh kefahaman agama dan silaturahim.

 


Menurut Prof Dr Ramle, program kali kedua dalam tempoh singkat menunjukkan keprihatinan PERKIM terhadap masyarakat setempat dan pengiktirafan terhadap sambutan baik penduduk kampung.

 


“Saya yakin Kampung Sungai Pergam mampu dikenali sebagai komuniti Orang Asli yang maju dan harmoni,” kata Dr Ramle sambil merasmikan program penutup.

 


Dr Ramle menyampaikan hadiah sukaneka kepada kanak-kanak kampung.

 


Kanak-kanak kampung menerima hadiah sukaneka daripada Dr Ramle.

 


Pemenang aktiviti sukaneka menerima hadiah daripada Dr Ramle.

 


Pelajar sekolah menerima hadiah pertandingan mewarna.

 


Ustaz Amran menyampaikan sumbangan bungkusan makanan kepada penduduk kampung.

 


Penduduk kampung menerima sumbangan makanan daripada Ustaz Amran.

 


Ustaz Amran menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Ustaz Adnan Ariffin selaku Penggerak Masyarakat JAKIM.

 


Dr Ramle menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Mohd Shafii A. Bakar selaku Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam.

 


Ustaz Amran menyampaikan sebuah hamper kepada Tok Batin Roslan Ismail.

 


Tetamu kehormat bersama penduduk kampung bergambar kenang-kenangan pada sesi fotografi di akhir program.

Related Articles

Back to top button