Cyberview Sdn. Bhd. Serah Zakat Kepada Mualaf
Oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin dan amil-amil yang mengurusnya dan orang-orang mualaf yang dijinakkan hatinya dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 60)
Baru-baru ini, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan mengadakan suatu majlis sederhana penyerahan zakat daripada syarikat Cyberview Sdn. Bhd. kepada golongan mualaf yang berlangsung di Bangunan Perkim, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pada 22 Mei 2014 lalu.
Majlis itu telah menghimpunkan seramai 40 Saudara Muslim yang terdiri daripada kaum Cina, India, Murut dan Siam yang menetap di sekitar Lembah Klang.
Pengarah Unit Dakwah dan Inovasi Perkim, Datuk Hj. Zainal Abidin Ab. Kadir mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan pihak Cyberview menjaga kebajikan, sekali gus melembutkan hati golongan itu.
“Kita mendoakan agar pihak terbabit mendapat keberkatan Allah bukan sahaja dalam membantu Saudara Muslim malah selepas ini syarikat tersebut akan membantu ibu tunggal, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang memerlukan,” ujar Zainal.
Perkim sentiasa membuaka ruang serta peluang kepada syarikat korporat untuk menyumbang tidak kira dalam apa jua bentuk sama ada wang, makanan, pakaian atau barangan kepada mualaf kerana mereka ini adalah termasuk dalam golongan asnaf zakat.
Zainal berharap syarikat korporat perlu mempergiatkan aktiviti-aktiviti kebajikan untuk disampaikan kepada golongan asnaf sebagai salah satu tanggungjawab sosial dan sebagai seorang Muslim.
Jelasnya lagi, rezeki yang datang daripada Allah Yang Maha Kaya itu bukan hanya diberikan untuk diri individu tetapi Allah SWT memberikan pinjaman rezeki untuk dinikmati dan dikongsikan bersama serta diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.
Allah berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 268 yang bermaksud: “Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.”
Majlis diserikan lagi dengan penyampaian wang zakat oleh Pengerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi Komuniti Cyberjaya (KKRKC), Cyberview Sdn. Bhd, Mohd. Najib Ibrahim kepada 40 Saudara Muslim.
Najib dalam ucapannya berkata, sumbangan kecil itu merupakan tanggungjawab dan keprihatinan pihak syarikat kepada golongan Saudara Muslim.
Kelab itu berperanan menjaga kebajikan kakitangan syarikat Cyberview dan juga mengambil inisiatif mengasingkan sebahagian daripada wang zakat yang dibayar kepada pusat zakat untuk diagihkan sendiri dan diberikan terus kepada golongan asnaf.
Jelas Najib, Cyberview merupakan anak syarikat kerajaan Malaysia yang menguruskan pengurusan hartanah dan perbandaran di Cyberjaya.
Katanya, daripada sedikit keuntungan syarikat, kita seharusnya kongsikan ia dengan masyarakat Muslim terutamanya mereka yang berjinak-jinak dengan Islam.
“Natijahnya, rezeki itu bukanlah pemberian daripada pihak kami, tetapi Allah SWT telah memberikannya dan kami cuma saluran yang menyampaikan,” ujar Najib.
Jelasnya, walaupun sumbangan tersebut kecil nilainya, tetapi ianya diharap akan membawa keberkatan serta ianya akan merapatkan lagi ukhwah sesama Islam serta mengukuhkan lagi tali persaudaraan.
Pihak kami akan memperkembangkan lagi kepada asnaf-asnaf lain sekiranya memperoleh lebihan keuntungan dan kemajuan syarikat.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim; Datuk Hj. Hasbullah L. Isa, Setiausaha KKRKC, Zaidi Yahaya, Pegawai Dakwah Perkim, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan dan Amran Abdullah.
APA KATA MUALAF
Amalan seperti ini amat baik untuk dijadikan contoh dan mendidik Muslim terutama bergelar mualaf walaupun kecil nilainya, tetapi amat bermakna bagi mereka yang memerlukan kerana bersedekah merupakan salah satu cara untuk menunjukkan kesyukuran kita sebagai hamba yang bersyukur.
NASIHIN MURUGAYA ABDULLAH, 44
Saya berasa bersyukur dan gembira kerana menerima sumbangan dari syarikat tersebut di mana saya akan manfaatkan sumbangan yang diberikan dengan membeli buku agama, menuntut ilmu dan memberikan sedikit sumbangan kepada adik-beradik yang masih belum Islam.
SITI SARAH PHANG ABDULLAH, 23
Sumbangan yang diterima akan saya hulurkan kepada mereka yang sangat memerlukan dan saya berterima kasih kepada Cyberview kerana prihatin kepada golongan Saudara Muslim untuk menerima sumbangan itu serta di harap ia akan dijadikan sebagai aktiviti tahunan.
NUR FATIHAH HUMAIRAH TALIMOH, 19
Datuk Zainal (lima dari kiri) mengalu-alukan kehadiran kepada warga Cyberview Sdn Bhd.
Antara penerima sumbangan yang hadir di majlis tersebut.
Asnaf mualaf mendengar ucapan yang disampaikan.
Penerima sumbangan yang terdiri daripada Saudara Muslim.
Saudara Muslim yang hadir di majlis tersebut.
Mualaf yang terdiri daripada pelbagai kaum memeriahkan majlis tersebut.
Gembira…Saudara Muslim menerima sumbangan yang diberikan.
Nasihin (kiri) Saudara Muslim kategori OKU turut diberi sumbangan oleh Najib (kanan).
Najib (kanan) menyampaikan sumbangan kepada Saudara Muslim.
Saudara Muslim menerima sumbangan wang zakat daripada Najib (kanan) selaku Pengerusi Kelab Kebajikan dan Rekreasi Komuniti Cyberjaya (KKRKC).
Najib (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada asnaf mualaf.
Siti Sarah (kanan) menerima sumbangan daripada warga Cyberview Sdn. Bhd.
Datuk Hasbullah (kanan) menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada Najib (kiri).
Tetamu kehormat Perkim bergambar kenang-kenangan bersama ahli KKRKC di akhir majlis.