HIKMAH

Harakah Islamiah (HIKMAH) yang dirasmikan pada 2 Rabiul Akhir 1414H/18 September 1993 dalam Mesyuarat Perhimpunan Perwakilan BINA yang ke-11 yang diadakan di Ibu Pejabat BINA Petra Jaya Kuching merupakan wadah baru yang meneruskan perjuangan dakwah BINA iaitu satu Pertubuhan Islam bukan kerajan yang bergerak cergas di bidang dakwah Islamiah bagi melaksanakan risalah “Amar Ma`ruf Nahi Mungkar” mengajak manusia kepada kebaikan, mencegah mereka daripada usaha dan perbuatan yang mungkar.

HIKMAH yang merupakan kesinambungan perjuangan BINA mula dikenali masyarakat Islam bukan sahaja di Sarawak malah di seluruh dunia. Aktiviti dakwah HIKMAH adalah mengfokuskan dakwah kepada masyarakat saudara kita di pedalaman Sarawak. Pelbagai aktiviti serta program dakwah diadakan bagi menyantuni golongan saudara kita ini.

Selain daripada aktiviti dakwah ini, HIKMAH juga merupakan wadah perjuangan yang telah mengumpulkan ramai sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk menyemai bakti bersama HIKMAH untuk memperjuangkan Islam. HIKMAH juga telah melaksanakan pelbagai aktiviti yang bercorakkan Islam seperti menyediakan sarana pendidikan, seminar, ceramah, diskusi serta pelbagai aktiviti lain dalam rangka menyebar luaskan Islam di kalangan masyarakat setempat.

Sejarah

Penjajah Barat telah berjaya meracuni pemikiran pelajar Islam melalui pendidikan di sekolah-sekolah muballigh Kristian di Negeri Sarawak. Segelintir daripada pelajar Islam tingkatan lima dan enam telah mula berani mempersoalkan tentang kewujudan Allah, fungsi agama dalam kehidupan serta melemparkan tuduhan bahawa agama Islam adalah kolot, beku dan lapuk. Memandangkan kepada senario yang sangat menakutkan ini, Persatuan Kebajikan Islam (PKIS) telah menganjurkan satu Kongres yang dikenali sebagai Kongres Islam Malaysia Timur yang diadakan pada 3 hingga 5 Mei 1968 di Dewan Masyarakat Kuching. Kongres ini telah berjaya mengumpulkan ramai para intelek Islam Sarawak dan Sabah untuk memikirkan masa depan umat Islam di kedua-dua buah negeri tersebut.

Bersempena dengan kongres ini juga, PKIS mengadakan Kursus Agama Belia Islam khusus untuk pelajar-pelajar Islam tingkatan lima dan enam pada 24 April hingga 2 Mei 1968.Hasil daripada cadangan para peserta Kursus Agama Belia Islam khusus untuk pelajar-pelajar tingkatan lima dan enam pada 24 April hingga 2 Mei 1968, maka lahirlah sebuah Pertubuhan Dakwah Islamiah Bukan Kerajaan (NGO)yang dinamakan sebagai Angkatan Nahddatul Islam Bersatu atau ringkasnya BINA pada 3 Mei 1968 M.

Ia telah diasaskan oleh beberapa tokoh penting seperti Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman Yakub, Tan Sri (DR) Haji Abdul Taib Mahmud, Datuk Sri Haji Anis bin Haji Abot dan Datuk Haji Mohd.Mortadza bin Haji Daud.

http://www.hikmah.org.my

Back to top button