Aktiviti Kebajikan

PERKIM Perkasakan Keluarga Bahagia Mualaf Siri 2

𝙤𝙡𝙚𝙝: 𝙈𝙊𝙃𝘿. 𝙎𝙔𝘼𝙃𝙍𝙄𝙇 𝙍𝙊𝙎𝘿𝙄 𝘼𝙃𝙈𝘼𝘿 𝙕𝘼𝙃𝙐𝘿𝙄

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟭𝟲 𝗢𝗚𝗢𝗦 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Seramai 56 saudara baharu terdiri daripada pasangan pelbagai latar belakang kaum dan negara menyertai Bengkel Memperkasakan Keluarga Bahagia Mualaf Siri 2 anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Hotel Steg Kuala Lumpur, Jalan Tiong Nam dekat sini, pada pagi Ahad.

Program yang bermula seawal pukul 8 pagi itu menghimpunkan peserta berketurunan Cina, India, Punjabi, Iban, Kadazan, Murut serta saudara baharu dari Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja dan beberapa negara lain yang menetap di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Bengkel tersebut menjadi platform memperkukuh institusi keluarga dalam kalangan saudara baharu menerusi pengisian ilmu, bimbingan kekeluargaan dan perkongsian pengalaman bagi melahirkan keluarga mualaf yang lebih harmoni, berdaya tahan serta berteraskan nilai Islam.


𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗽𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗦𝗶𝘁𝗶 𝗠𝘂𝗻𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗦𝗮𝘆𝗲𝗱 𝗠𝗼𝗵𝗱. 𝗛𝗮𝗺𝗱𝗮𝗻 berkata, bengkel siri kedua itu bukan sekadar medan penyampaian ilmu, sebaliknya menjadi ruang membina jaringan sokongan yang amat diperlukan oleh saudara baharu dalam mengharungi kehidupan berkeluarga.

Menurut Ustazah Munirah, peserta terdiri daripada pasangan suami isteri yang salah seorang daripadanya merupakan saudara baharu, selain para mualaf yang masih belum berkahwin namun sedang membuat persediaan membina rumah tangga berlandaskan syariat Islam.

“Peserta datang daripada pelbagai latar belakang bangsa dan budaya seperti Cina, India, masyarakat Sabah dan Sarawak serta warga Filipina dan Indonesia yang menetap di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Walaupun berbeza asal-usul, mereka disatukan oleh akidah yang sama serta hasrat untuk membina keluarga Muslim yang kukuh.

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa membantu PERKIM dalam memberikan sokongan, bimbingan dan kerjasama menjayakan bengkel seperti ini sejak tahun lalu.

“Komitmen yang diberikan amat kami hargai dan menjadi pemangkin kepada kesinambungan program pembangunan keluarga mualaf.

“Saya berharap setiap peserta mengikuti semua sesi dengan hati yang terbuka, mengambil sebanyak mungkin ilmu, berkongsi pengalaman dan memperkukuhkan keyakinan dalam melayari kehidupan berkeluarga.

“Semoga segala ilmu yang diperoleh menjadi bekalan untuk membina keluarga yang sakinah, mawaddah dan rahmah serta menjadi asbab lahirnya keluarga mualaf yang kukuh, bahagia dan diberkati Allah SWT,” kata Ustazah Munirah.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh pengacara majlis, 𝗦𝗶𝘁𝗶 𝗠𝗮𝘀𝗹𝗶𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗼𝗵𝗱. 𝗔𝗿𝗶𝗳𝗳𝗶𝗻 sebelum diteruskan dengan bacaan doa yang dipimpin oleh saudara baharu, 𝗠𝗼𝗵𝗱. 𝗙𝗶𝗿𝗱𝗮𝘂𝘀 𝗣𝗼𝗺𝗽𝗲𝘆𝗼𝘀 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵.

Program kemudiannya diteruskan dengan slot ceramah bertajuk “𝘔𝘦𝘮𝘣𝘶𝘨𝘢𝘳 𝘊𝘪𝘯𝘵𝘢 𝘒𝘢𝘴𝘪𝘩 𝘚𝘢𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘚𝘶𝘢𝘮𝘪 𝘐𝘴𝘵𝘦𝘳𝘪” yang disampaikan oleh 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝘀𝗮𝘀 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗨𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗛𝘂𝘀𝗵𝗶𝗺 𝗠𝗼𝘁𝗶𝘃𝗮𝘁𝗶𝗼𝗻𝗮𝗹 & 𝗖𝗼𝘂𝗻𝘀𝗲𝗹𝗹𝗶𝗻𝗴 𝗖𝗼𝗻𝘀𝘂𝗹𝘁𝗮𝗻𝗰𝘆 (𝗛𝗠𝗖𝗖), 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗛𝘂𝘀𝗵𝗶𝗺 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗦𝗮𝗹𝗹𝗲𝗵.


Haji Hushim dalam ceramahnya, beliau mengupas firman Allah SWT menerusi Surah Ar-Rum ayat 21 yang menjelaskan bahawa Allah SWT menciptakan pasangan hidup sebagai tempat memperoleh ketenangan serta mengurniakan perasaan kasih sayang dan belas kasihan antara suami isteri.

Beliau yang juga merupakan dan Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM menegaskan bahawa perkahwinan bukan sekadar ikatan yang menyatukan dua insan, bahkan merupakan institusi yang dibina atas tiga asas utama iaitu sakinah (ketenangan), mawaddah (kasih sayang) dan rahmah (belas kasihan).

“Allah bukan sekadar menciptakan pasangan, tetapi menyatukan dua hati dengan sakinah, mawaddah dan rahmah. Perkahwinan sepatutnya menjadi tempat berteduh ketika menghadapi cabaran kehidupan, bukannya medan pertelingkahan,” katanya.

Haji Hushim yang juga Pengerusi PERKIM Cawangan Klang berkata, antara faktor utama hubungan suami isteri menjadi hambar selepas berkahwin ialah rutin kehidupan yang menyebabkan hubungan kehilangan kemesraan, komunikasi yang semakin berkurangan, kegagalan menghargai pasangan, kurang memberikan pujian serta pengaruh media sosial yang semakin menggantikan komunikasi secara bersemuka.

Sehubungan itu, beliau memperkenalkan formula TIPS HUSHIM sebagai panduan membina semula kehangatan rumah tangga.

Formula tersebut merangkumi Tabah menghadapi ujian, Ingat-mengingati perkara penting dalam kehidupan pasangan, Pandai mengambil hati, Sungguh-sungguh memelihara hubungan, Hayati perkahwinan sebagai nikmat Allah, Ucapan sayang dan terima kasih, Senda dan gurau, Hargai pasangan, Intimkan hubungan serta Melakukan aktiviti bersama secara konsisten.

Beliau turut mengingatkan para suami supaya menjadi pelindung kepada isteri, bukan bertindak sebagai pengarah dalam rumah tangga, selain tidak membandingkan isteri dengan wanita lain serta sentiasa membimbing pasangan dengan penuh hikmah.

“Bimbinglah isteri dengan kasih sayang kerana wanita yang dihargai akan menyayangi suaminya dengan sepenuh hati,” katanya.

Kepada golongan isteri pula, beliau menyeru supaya sentiasa mentaati suami dalam perkara yang diredai syarak, memelihara maruah diri dan harta keluarga, memenuhi hak pasangan serta membina kehidupan rumah tangga berasaskan saling menghormati dan saling melengkapi.

Beliau juga menekankan kepentingan komunikasi yang tulus antara suami isteri dengan menggalakkan pasangan saling melafazkan penghargaan, kasih sayang dan memupuk budaya memuji pasangan, selain menghidupkan semula detik-detik romantik yang sering dilupakan selepas bertahun-tahun mendirikan rumah tangga.

Menurutnya, pasangan juga perlu memahami kesan pengalaman silam atau childhood trauma yang boleh mempengaruhi emosi seseorang dalam perkahwinan, justeru sikap empati, belas kasihan dan kesediaan mendengar merupakan kunci penting dalam menyembuhkan luka emosi serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan.

Antara pesanan beliau kepada suami ialah supaya menjadi pelindung dan bukan pengarah, tidak membandingkan isteri dengan orang lain serta tidak menghukum kelemahan pasangan yang masih boleh dibimbing.

Bagi isteri pula, beliau mengingatkan supaya mentaati suami dalam perkara kebaikan, menjaga kehormatan diri dan harta suami serta memelihara hubungan rumah tangga dengan sebaiknya.


Sementara itu, 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗶𝘁𝗿𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 ketika menyempurnakan perasmian bengkel menekankan kepentingan kefahaman antara pasangan, terutama apabila perkahwinan melibatkan pasangan yang berlainan budaya dan latar kehidupan.

Menurut beliau, jodoh merupakan ketentuan Allah SWT, namun kelangsungan sesebuah rumah tangga memerlukan usaha untuk memahami pasangan, lebih-lebih lagi apabila terdapat perbezaan budaya, pengalaman, cara hidup dan latar keluarga.

Ustaz Fitri yang juga merupakan Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor turut menggalakkan pasangan yang memeluk Islam supaya membawa pasangan mereka yang beragama Islam sejak lahir untuk bersama-sama mengikuti program berkaitan agar kedua-duanya mempunyai kefahaman yang lebih baik mengenai cabaran kehidupan keluarga mualaf.

“Bila memeluk agama Islam, kadang-kadang bagaimana kita hendak hidup bersama bukan mudah,” katanya, sambil menegaskan bahawa banyak konflik dalam perkahwinan campur berpunca daripada kegagalan memahami antara satu sama lain.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi dalam membina rumah tangga bersama pasangan berlatarbelakangkan keluarga bukan Islam, termasuk bagaimana hubungan yang baik dengan keluarga pasangan dapat dibina melalui kasih sayang, hormat dan kebijaksanaan.

Menurutnya, pasangan perlu belajar untuk saling melengkapi, bukannya menuntut kesempurnaan dalam tempoh yang singkat.

“Beri masa sedikit. Yang paling penting ialah persefahaman,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa peranan suami sebagai ketua keluarga tidak bermaksud menjadi “bos”, sebaliknya pembimbing yang membantu pasangan menuju kebaikan bersama.

Dalam konteks keluarga mualaf, katanya, ilmu mengenai psikologi pasangan, perubahan emosi dan keadaan fizikal juga perlu difahami kerana kegagalan memahami perkara kecil dalam kehidupan berumah tangga boleh berkembang menjadi konflik yang lebih besar.

Antara mesej paling menyentuh dalam perkongsian Ustaz Haji Fitri ialah kepentingan melihat kebaikan pasangan berbanding terus menghitung kekurangannya.

Katanya, kehidupan berumah tangga perlu dibina atas dasar syukur, kasih sayang dan doa yang berterusan.

Beliau berkongsi bahawa antara amalan yang boleh dilakukan pasangan ialah mendoakan pasangan secara ikhlas tanpa semestinya diketahui oleh pasangan tersebut.

“Jangan lihat pada kekurangan, tetapi tengok apa kelebihan yang ada pada mereka, apa kebaikan,” katanya sambil mendoakan agar perkahwinan yang dibina dapat dipanjangkan hingga ke Jannah.

Beliau turut mengingatkan pasangan mualaf supaya menggunakan hikmah ketika berkomunikasi dengan keluarga yang masih belum memeluk Islam, khususnya apabila menyampaikan perkara berkaitan agama.

Katanya, pendekatan yang keras atau menghukum hanya boleh menjarakkan hubungan, sedangkan Islam mengajar umatnya menyampaikan mesej dengan kebijaksanaan serta tetap menjaga hati keluarga.

Bengkel kemudian diteruskan dengan slot terakhir “𝘗𝘦𝘳𝘬𝘰𝘯𝘨𝘴𝘪𝘢𝘯 𝘛𝘦𝘳𝘢𝘱𝘪 𝘓𝘶𝘬𝘪𝘴𝘢𝘯” yang dikendalikan oleh 𝗞𝗮𝘂𝗻𝘀𝗲𝗹𝗼𝗿 𝗕𝗲𝗿𝗱𝗮𝗳𝘁𝗮𝗿 𝗛𝗠𝗖𝗖, 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗵 𝗥𝗮𝘀𝗵𝗶𝗱𝗮𝗵 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱.


Menurut Hajah Rashidah, terapi seni merupakan satu pendekatan dalam proses membantu, menolong, merawat dan memulihkan individu melalui hubungan profesional antara klien dan kaunselor.

Sesi itu memberi penekanan terhadap kepentingan penjagaan diri (self-care), kesejahteraan mental serta pengurusan emosi dalam kehidupan seharian.

Peserta turut dibimbing melakukan teknik relaksasi melalui kawalan pernafasan bagi membantu mereka berada dalam keadaan lebih tenang, relaks dan segar.

Selain itu, peserta diberikan tugasan melukis dan mewarna beberapa objek seperti rumah, pokok, sungai, manusia, gunung-ganang dan pemandangan, sebelum berkongsi hasil serta pengalaman masing-masing bersama peserta lain.

Hajah Rashidah yang juga merupakan bekas Pengurus Kaunseling Tabung Haji, turut menggalakkan peserta mendapatkan sokongan sosial daripada keluarga, rakan dan individu yang dipercayai, mendapatkan khidmat nasihat kaunselor apabila diperlukan serta membina emosi positif dalam kehidupan seharian.

Beliau menegaskan bahawa perkongsian melalui terapi perlu dilaksanakan dalam kerangka profesional dan tidak seharusnya digunakan untuk melabel atau membuat diagnosis secara sewenang-wenangnya.

Bengkel yang berlangsung sehari itu memperlihatkan pendekatan menyeluruh dalam membina keluarga mualaf, bukan sahaja dari aspek ilmu agama dan hubungan suami isteri, malah turut memberi perhatian terhadap aspek emosi, komunikasi dan kesejahteraan psikologi.

Penganjuran program sebegini dilihat memberi ruang kepada peserta untuk memahami bahawa kehidupan berkeluarga memerlukan proses pembelajaran yang berterusan, khususnya bagi pasangan yang melalui pengalaman peralihan agama dan berdepan perbezaan latar budaya.

Pada akhir program, Ustaz Fitri diiringi Haji Hushim menyampaikan sagu hati serta sumbangan barangan makanan kepada pasangan peserta mualaf.

Ustaz Fitri turut menyampaikan plak cenderamata PERKIM dan hadiah kepada kedua-dua penceramah, sebelum program diakhiri dengan sesi fotografi kenang-kenangan dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir ialah 𝗨𝗿𝘂𝘀 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻, 𝗡𝗼𝗿𝗹𝗮𝗶𝗹𝗶𝗮𝗹𝗽𝗶𝗻 𝗦𝘂𝗿𝗮𝘁𝗺𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗠𝘂’𝗮𝗹𝗶𝘀𝗵 𝗦𝗵𝗮𝗵 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗻𝘂𝗮𝗿.

 


Siti Masliana menyampaikan kata alu-aluan selaku pengacara majlis.

 


Haji Hushim menegaskan bahawa perkahwinan bukan sekadar ikatan yang menyatukan dua insan, bahkan merupakan institusi yang dibina atas tiga asas utama iaitu sakinah, mawaddah dan rahmah.

 


Haji Hushim turut mengingatkan para suami supaya menjadi pelindung kepada isteri, bukan bertindak sebagai pengarah dalam rumah tangga.

 


Haji Hushim juga menekankan kepentingan komunikasi yang tulus antara suami isteri dengan menggalakkan pasangan saling melafazkan penghargaan, kasih sayang dan memupuk budaya memuji pasangan.

 


Antara gelagat pasangan suami isteri ketika diminta untuk melafazkan kata-kata kemesraan antara pasangan.

 


Haji Hushim menemubual salah seorang peserta.

 


Siti Munirah menyampaikan ucapan aluan selaku penyelaras program.

 


Siti Munirah berharap setiap peserta mengikuti semua sesi dengan hati yang terbuka, mengambil sebanyak mungkin ilmu dan memperkukuhkan keyakinan dalam melayari kehidupan berkeluarga.

 


Ustaz Fitri menyampaikan ucapan perasmian selaku Naib Yang Dipertua PERKIM.

 


Ustaz Fitri turut berkongsi pengalaman peribadi dalam membina rumah tangga bersama pasangan berlatarbelakangkan keluarga bukan Islam.

 


56 peserta mendengar dan mengambil ilmu yang dikongsikan.

 


Menurut Ustaz Fitri, kehidupan berumah tangga perlu dibina atas dasar syukur, kasih sayang dan doa yang berterusan.

 


Haji Hushim menyampaikan sagu hati dan sumbangan barangan makanan asas kepada pasangan keluarga.

 


Peserta suami dan isteri saudara baharu menerima sagu hati dan sumbangan barangan makanan asas daripada Ustaz Fitri.

 


Ustaz Fitri menyampaikan cenderamata kepada Haji Hushim.

 


Ustaz Fitri menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Hajah Rashidah.

 


Siti Munirah menyampaikan cenderamata kepada Ustaz Fitri sebagai perasmi.

 


Hajah Rashidah menyampaikan slotnya ‘Perkongsian Terapi Lukisan’.

 


Hajah Rashidah memberi penekanan terhadap kepentingan penjagaan diri (self-care), kesejahteraan mental serta pengurusan emosi dalam kehidupan seharian.

 


Peserta diberikan tugasan melukis dan mewarna beberapa objek seperti rumah, pokok, sungai, manusia, gunung-ganang dan pemandangan.

 


Peserta membuat pembentangan mengenai hasil terapi lukisannya.

 


Peserta menunjukkan hasil lukisannya dan berkongsi mengikut pendapatnya.

 


Mualish Shah menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada pasangan mualaf.

 


Pasangan saudara baharu menerima beg yang mengandungi barangan makanan asas daripada urus setia.

 


Urus setia bersama peserta Keluarga Bahagia Mualaf Siri 2 bergambar kenang-kenangan di akhir bengkel.

 

Related Articles

Back to top button