200 Mualaf PERKIM Terima Zakat Wakalah IBFIM
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 6 APRIL 2023 – “Bersempena bulan Ramadan yang penuh barakah, Institut Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (IBFIM) ingin berkongsi sedikit sumbangan kepada asnaf yang memerlukan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif IBIFM, Yusri Yusoff.
Yusri berkata demikian ketika menyampaikan ucapannya di Majlis Penyampaian Sumbangan Zakat Wakalah IBFIM kepada Asnaf Mualaf bertempat di Surau Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), Jalan Sultan Azlan Shah, petang Khamis.
Seramai 200 orang hadir terdiri daripada asnaf mualaf pelbagai bangsa, negara serta latar belakang dan mereka juga merupakan golongan ibu tunggal, warga emas, orang kelainan upaya (OKU), ramai tanggungan dan fakir miskin.
Yusri berkesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada hadirin.
Beliau berharap sumbangan yang diberikan sedikit sebanyak dapat membantu dan meringankan lagi beban yang mereka hadapi sekali gus menceriakan Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya berkata, di dalam dunia ini terdapat dua golongan iaitu orang susah dan orang senang, begitu juga mereka yang telah melafazkan dua kalimah syahadah terdapat dua golongan juga iaitu ada golongan selepas memeluk Islam menjalani kehidupan dengan mudah dan ada golongan selepas memeluk Islam diuji menjadi susah.
Beliau turut mengingatkan saudara baru supaya bersyukur kepada Allah SWT kerana telah memilih IBFIM untuk berkongsi zakat wakalahnya kepada mualaf PERKIM dan mereka yang kurang bernasib baik.
Katanya, pada hari ini kita adalah seorang penerima, tetapi mungkin esok kita pula yang akan menjadi penyumbang kepada mereka yang memerlukan.
Menurut beliau, apabila ramai orang telah menerima Islam, pada masa yang sama terdapat juga mereka yang tidak senang dengan perkembangan Islam.
Jelas Dr Yusof Noor, mereka yang telah memeluk agama Islam di PERKIM kerana telah diberi petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT kerana tidak ada paksaan untuk terima Islam seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 256 bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”
“Orang Islam Palestin ditembak, dibedil, diikat dan dipukul oleh polis Israel sewaktu beribadah di dalam Masjidil Aqsa kerana menganggap orang Islam jahat serta tidak senang dengan ibadah orang Islam,” kata beliau dengan nada simpati.
“Apakah perbuatan yang orang Islam lakukan sehinggakan orang Yahudi bertindak zalim dan kejam kepada orang Islam?” soalnya.
“Mereka sewenang-wenangnya menembak orang Islam sedang menunaikan solat di masjid di New Zealand dan Palestin,” tambah beliau.
Beliau berharap orang Islam terus bersabar dan berdoa sekali gus mengharapkan Allah SWT melindungi orang Islam.
Dr Yusof Noor berharap agar mualaf bersyukur dan berterima kasih dengan segala pemberian walaupun ia sekecil-kecil nilai sumbangan yang diberikan kepada kita.
Dr Yusof Noor dan Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun mengiringi Yusri mengagihkan wang zakat wakalah IBFIM sebanyak RM200 kepada setiap 200 saudara baru.
Majlis berakhir dengan takzirah Ramadan disampaikan oleh Pengerusi Pertubuhan Inspirasi Mualaf, Muhammad Roger James Alnord dan jamuan berbuka puasa.
Tetamu kehormat menadah tangan ketika doa pembuka majlis dibacakan.
Penerima zakat golongan asnaf hadir di majlis tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusri Yusoff menyampaikan ucapannya.
Dr Yusof Noor mengingatkan mualaf supaya bersyukur dan berterima kasih kepada pemberi meskipun kecil nilainya.
“Hari ini kita penerima, esok mungkin kita seorang pemberi,” ungkapan kata Dr Yusof Noor kepada mualaf.
Yusri menyampaikan sumbangan zakat wakalah IBFIM kepada saudara baru.
Amin Fong Abdullah (berbatik biru) menerima zakat wakalah IBFIM daripada Yusri.
Saudara baru menerima sumbangan zakat wakalah sebanyak RM200 daripada Yusri.
Dr Yusof Noor berkesempatan mengagihkan zakat wakalah IBFIM kepada mualaf berbangsa Cina sambil diperhatikan oleh Yusri.
Mualaf gembira menerima zakat wakalah IBFIM yang disampaikan oleh Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.
Dr Yusof Noor menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Yusri.
Saudara Roger Alnord menyampaikan tazkirah Ramadan di akhir majlis.