120 Saudara Baharu Diraikan Dalam Majlis Berbuka Puasa ‘Road To Fitrah 2026’ Tabung Haji
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟭𝟮 𝗠𝗔𝗖 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Seramai 120 saudara baharu diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa ‘Road To Fitrah 2026’ Bersama Saudara Baharu anjuran Lembaga Tabung Haji melalui Surau Tabung Haji yang berlangsung di Dewan Besar TH, Tabung Haji Jalan Tun Razak dekat sini, petang Khamis.
Program yang menghimpunkan saudara baharu pelbagai kaum daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan itu turut mendapat kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Kelab Sukan Tabung Haji (KSTH) sebagai usaha memperkukuhkan ukhuwah serta menyantuni golongan mualaf khususnya pada penghujung bulan Ramadan.
Majlis yang penuh bermakna itu bukan sahaja memberi peluang kepada saudara baharu untuk merasai kemesraan berbuka puasa bersama komuniti Islam, malah turut menjadi platform memperkukuhkan hubungan antara agensi-agensi Islam dalam usaha membimbing dan memperkasa golongan mualaf di negara ini.
Majlis membuka tirai dengan ucapan pengerusi majlis disampaikan oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Nur Syahirah Musa disusuli dengan bacaan doa dipimpin oleh Mohd Firdaus Pompeyos Abdullah.
Diikuti dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran Al-Karim Surah al-Hujurat ayat 12-13 yang disampaikan oleh saudara baharu berketurunan Kadazan Dusun, Muhammad Abu Bakar Abdullah.

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗿 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 dalam ucapannya berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tabung Haji atas jemputan dan kerjasama menganjurkan majlis tersebut.
Beliau yang berucap mewakili 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿. 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 berkata, kehadiran saudara baharu dalam majlis berkenaan amat bermakna walaupun hanya sebahagian daripada mereka dapat hadir pada petang tersebut.
“Dalam suasana penghujung Ramadan ini, marilah kita sama-sama memperbanyakkan doa agar diberikan peluang untuk menunaikan ibadah haji dan umrah pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Menurut Dr. Suariza, PERKIM memainkan peranan penting dalam membimbing saudara baharu selepas mereka memeluk Islam, termasuk menyediakan ruang untuk mereka mempelajari ilmu agama, berkongsi pengalaman serta mendapatkan sokongan moral.
Katanya, tidak sedikit dalam kalangan mualaf yang terpaksa menghadapi cabaran seperti penolakan keluarga atau kehilangan tempat bergantung selepas memeluk Islam.
“Dalam keadaan tertentu, PERKIM bukan sahaja menjadi tempat mereka menimba ilmu, malah menjadi seperti rumah kedua kepada saudara baharu yang memerlukan sokongan dan bimbingan,” jelasnya.
Tambah Dr. Suariza, terdapat juga situasi di mana PERKIM membantu menguruskan hal kebajikan mualaf termasuk pengurusan jenazah serta urusan berkaitan harta peninggalan mereka.
Beliau berkata, usaha tersebut merupakan kesinambungan kepada gagasan pengasas PERKIM, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menubuhkan organisasi tersebut bagi menyatukan serta membantu saudara baharu yang memeluk agama Islam.
Menurutnya, sepanjang Ramadan setiap tahun, PERKIM turut menyediakan program berbuka puasa harian khusus untuk mualaf selain membuat persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan mereka tidak berasa terpinggir.
“Walaupun sederhana, program ini memberi makna besar kepada mereka kerana ada dalam kalangan saudara baharu yang tidak mempunyai keluarga untuk menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama,” katanya.

Dalam pada itu, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗨𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗞𝘂𝗺𝗽𝘂𝗹𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗟𝗲𝗺𝗯𝗮𝗴𝗮 𝗧𝗮𝗯𝘂𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗷𝗶, 𝗬𝗕𝗿𝘀. 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝘂𝘀𝘁𝗮𝗸𝗶𝗺 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 dalam ucapan perasmiannya berkata, penganjuran program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat Tabung Haji yang bertujuan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Menurut beliau, sejak penubuhannya pada tahun 1963, Tabung Haji sentiasa komited memainkan peranan aktif dalam membantu golongan yang memerlukan termasuk saudara baharu yang sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang Muslim.
“Majlis berbuka puasa bersama saudara baharu ini merupakan program tahunan yang bertujuan menyantuni golongan mualaf selain memberi ruang kepada mereka merasai kemesraan sebagai sebahagian daripada keluarga besar umat Islam,” kata Tuan Haji Mustakim.
Beliau menambah, Islam amat menitikberatkan nilai kasih sayang, keprihatinan serta semangat tolong-menolong dalam melakukan kebajikan.
“Saudara baharu wajar diberikan sokongan moral, bimbingan serta layanan yang baik agar mereka dapat mendalami ajaran Islam dengan lebih yakin dan harmoni,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Tuan Haji Mustakim turut menggalakkan para hadirin khususnya saudara baharu supaya mula merancang untuk menunaikan ibadah haji dengan membuat persediaan awal termasuk menyimpan secara konsisten di Tabung Haji.
Katanya, ibadah haji memerlukan kemampuan atau istito’ah dari segi kewangan, kesihatan serta keselamatan, lebih-lebih lagi kos menunaikan ibadah tersebut yang semakin meningkat dari tahun ke tahun.
“Amalan menabung secara berterusan serta pengurusan kewangan yang baik amat penting bagi membantu umat Islam mencapai kemampuan untuk menunaikan rukun Islam kelima apabila tiba giliran kelak,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan penjagaan kesihatan sebagai persediaan jangka panjang kerana ibadah haji menuntut kekuatan fizikal dan ketahanan emosi untuk menghadapi pelbagai cabaran seperti cuaca panas serta kesesakan jemaah.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan upacara pengislaman seorang wanita berbangsa India, Parvati Devi yang melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan para hadirin.
Beliau melafazkan syahadah dalam Bahasa Arab sebelum diikuti terjemahannya dalam Bahasa Melayu dipimpin oleh Ketua Seksyen Pemelarasan Sahsiah dan Psikologi, Jabatan Modal Insan Kumpulan TH, Ustaz Shahrul Azam Noor Zeli, sekali gus menandakan permulaan kehidupan baharu sebagai seorang Muslimah.
Seusai majlis tersebut, Tuan Haji Mustakim menyampaikan senaskhah al-Quran serta cenderamata Tabung Haji kepada beliau sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada perjalanan baharunya sebagai saudara Islam.
Program tersebut turut menampilkan sesi Bicara Santai “Road To Fitrah 2026” yang dimoderatorkan oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Sesi itu menampilkan dua panelis iaitu tenaga pengajar Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ustaz Umar Watson Tading serta penceramah saudara baharu, Nur Darwisyah Yap Abdullah yang berkongsi pengalaman perjalanan hidayah masing-masing.
Dalam perkongsiannya, beliau menceritakan bagaimana beliau pernah mempunyai persepsi negatif terhadap Islam sebelum akhirnya berubah selepas bergaul dengan rakan-rakan Muslim yang menunjukkan akhlak baik serta sikap membantu tanpa mengira latar belakang.
Ustaz Umar Watson yang mengenakan pakaian tradisi kaum Dayak berkata, pengalaman tersebut membuka pintu hatinya untuk mengenali Islam dengan lebih mendalam sebelum mengambil keputusan memeluk agama itu.
Namun selepas memeluk Islam, beliau turut berhadapan pelbagai cabaran termasuk meninggalkan pekerjaan lama yang tidak selari dengan ajaran agama serta memulakan kehidupan baharu dengan pekerjaan yang lebih sederhana.
Walaupun berhadapan kesukaran dari segi kewangan dan penyesuaian ibadah pada peringkat awal, beliau menegaskan bahawa keyakinan kepada Allah serta usaha mendekatkan diri dengan masjid dan komuniti Muslim membantunya menghadapi cabaran tersebut dengan tabah.
Sementara itu, Nur Darwisyah berkongsi pengalaman menghadapi tentangan keluarga selepas memeluk Islam terutama daripada bapanya yang sukar menerima keputusan tersebut.
Beliau mengambil masa beberapa tahun untuk memujuk serta memulihkan hubungan dengan keluarganya melalui doa, kesabaran serta pendekatan penuh hormat.
Menurutnya, cabaran awal yang dihadapi termasuk mempelajari bacaan al-Quran dan sebutan huruf Arab, namun dengan bimbingan guru serta sokongan kelas pengajian PERKIM, beliau akhirnya dapat menyesuaikan diri dan terus mendalami ilmu agama.
Secara keseluruhannya, sesi bicara santai tersebut menekankan bahawa perjalanan seorang mualaf sering disertai pelbagai ujian termasuk penolakan keluarga, perubahan gaya hidup serta cabaran emosi dan ekonomi.
Namun begitu, dengan keikhlasan, kesabaran serta usaha menuntut ilmu agama, setiap cabaran dapat dihadapi dengan tabah.
Selepas azan Maghrib berkumandang, para hadirin berbuka dengan hidangan ringan seperti kurma dan kuih-muih sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah di Surau Tabung Haji.
Majlis kemudian diteruskan dengan jamuan berbuka puasa yang menyediakan pelbagai hidangan termasuk nasi hujan panas, ayam masak merah, daging masak kicap dan lain-lain.
Dalam majlis tersebut, Tuan Haji Mustakim turut menyampaikan cenderamata Tabung Haji kepada barisan panelis serta moderator sesi bicara santai sebagai tanda penghargaan.
Dr. Suariza pula menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Tuan Haji Mustakim sebagai simbol penghargaan atas kerjasama erat antara kedua-dua organisasi.
Di akhir majlis, Tuan Haji Mustakim berkesempatan menyampaikan duit raya serta Kotak Infak Ramadan kepada 120 saudara baharu PERKIM sebelum majlis diakhiri dengan solat Isyak dan solat sunat tarawih secara berjemaah.
Turut hadir ialah 𝗞𝗲𝘁𝘂𝗮 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗻𝗴𝘂𝗿𝘂𝘀𝗮𝗻 𝗠𝗼𝗱𝗮𝗹 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗧𝗮𝗯𝘂𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗷𝗶 merangkap 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗦𝘂𝗿𝗮𝘂 𝗧𝗮𝗯𝘂𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗷𝗶, 𝗬𝗕𝗿𝘀 𝗧𝘂𝗮𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝗼𝗿𝗯𝗲𝗿 𝗞𝗮𝘀𝘀𝗶𝗺; 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗧𝗮𝗯𝘂𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗷𝗶, 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗛𝗶𝘀𝗵𝗮𝗺 𝗛𝗮𝗿𝘂𝗻; 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 𝗛𝗮𝘀𝗮𝗶𝗱𝗶 𝗦𝗮𝗶𝗱 serta 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗔𝗶𝘇𝗮𝘁 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶.

Saudara baharu membuat carian nama ketika sesi pendaftaran Majlis Berbuka Puasa ‘Road To Fitrah 2026’ Bersama Saudara Baru di Tabung Haji.

Nur Syahirah membuka tirai selaku pengacara majlis di Dewan Besar TH Kuala Lumpur.

Mualaf berbangsa Filipina, Firdaus Pompeyos memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Tetamu kehormat Tabung Haji dan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.

Saudara baharu berbangsa Kadazan Dusun, Muhammad Abu Bakar memperdengarkan bacaan Surah Al-Hujurat, ayat 12 dan 13.

Dr Suariza menyampaikan ucapan aluan mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar di majlis tersebut.

“PERKIM bukan sahaja menjadi tempat mereka menimba ilmu, malah menjadi seperti rumah kedua kepada saudara baharu yang memerlukan sokongan dan bimbingan,” jelas Dr Suariza.

Tuan Haji Mustakim selaku Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji menyampaikan ucapan perasmian.

Tuan Haji Mustakim menggalakkan saudara baharu supaya mula merancang untuk menunaikan ibadah haji dengan membuat persediaan awal termasuk menyimpan secara konsisten di Tabung Haji.

Majlis diserikan dengan upacara pengislaman seorang wanita berbangsa India, Parvati Devi (bertudung hitam) melafazkan dua kalimah syahadah dipimpin oleh Ustaz Shahrul Azam (dua dari kiri) dan disaksikan tetamu kehormat serta para hadirin.

Tuan Haji Mustakim menyampaikan senaskah al-Quran dan barangan cenderahati Tabung Haji kepada Parvati Devi.

Ustaz Jais Mariappan (tengah) mempengerusikan sesi Bicara Santai “Road To Fitrah 2026” bersama Ustaz Umar Watson Tading (kanan) serta Nur Darwisyah Yap Abdullah (kiri) yang berkongsi pengalaman perjalanan hidayah masing-masing.

Saudara baharu mendengar perkongsian bicara santai daripada barisan panelis.

Saudara baharu menikmati hidangan jamuan berbuka puasa setelah azan dikumandangkan.

Mualaf pelbagai bangsa dan keturunan menikmati juadah makanan berbuka puasa nasi hujan panas, ayam masak merah, daaging masak kicap dan lain-lain.

Tuan Haji Mustakim menyampaikan sumbangan Kotak Infak Ramadan kepada saudara baharu berbangsa Cina.

Mualaf berbangsa India menerima Kotak Infak Ramadan daripada Tuan Haji Mustakim.

Dr Suariza menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Tuan Haji Mustakim sebagai simbol penghargaan atas kerjasama erat antara kedua-dua organisasi.

Tuan Haji Mustakim berkesempatan menyampaikan duit raya kepada saudara baharu.

Lebih 120 saudara baharu diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Road To Fitrah 2026 di Tabung Haji Kuala Lumpur.



