Selamat Menyambut Hari PERKIM Ke-66

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dengan penuh rasa syukur merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari PERKIM Ke-66 kepada seluruh warga kerja, kepimpinan tertinggi, ahli-ahli PERKIM Bahagian Negeri-Negeri dan cawangan di seluruh negara.
Penubuhan PERKIM merupakan hasil cetusan kepimpinan Pengasas PERKIM, YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, yang menjadi tonggak penting dalam usaha dakwah, kebajikan dan perpaduan ummah di Malaysia.
Sepanjang 66 tahun penubuhannya, PERKIM terus konsisten memainkan peranan memperkukuh akidah, menyantuni mualaf serta melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan demi kesejahteraan ummah.
Tanggal 8 Februari 1903 merupakan hari bersejarah buat PERKIM apabila tarikh tersebut diabadikan sempena kelahiran YTM Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan telah diterima secara rasmi oleh Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM sebagai Hari PERKIM, walaupun 19 Ogos 1960 merupakan tarikh sebenar penubuhan PERKIM.
Sambutan Hari PERKIM Ke-66 yang diraikan pada 8 Februari 2026 bersamaan 20 Sya‘ban 1447H menjadi wadah untuk seluruh warga PERKIM bermuhasabah, mengenang jasa pengasas serta memperkukuh iltizam meneruskan perjuangan dakwah dan kebajikan berteraskan nilai Islam yang syumul dan inklusif.
PERKIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh kepimpinan, ahli, sukarelawan serta para penyokong yang sentiasa komited mendukung misi dan aspirasi pertubuhan ini.
Semoga PERKIM terus dipelihara dan diberkati oleh Allah SWT serta kekal relevan sebagai wadah dakwah dan kebajikan ummah di Malaysia.
Selamat Menyambut Hari PERKIM Ke-66.



