Selamat Memperingati Peristiwa Israk Mikraj

Selamat Memperingati Peristiwa Israk Mikraj
Saya mewakili seluruh Warga dan Kepimpinan Tertinggi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) merakamkan ucapan Selamat Memperingati Peristiwa Israk Mikraj kepada seluruh umat Islam khususnya di Malaysia.
Peristiwa agung Israk Mikraj merupakan mukjizat yang besar dalam sejarah Islam, memperlihatkan kebesaran dan kekuasaan Allah SWT serta mengangkat kedudukan Rasulullah SAW sebagai utusan pilihan-Nya.
Bersandarkan firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 1 yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Peristiwa ini bukan sekadar perjalanan luar biasa Rasulullah SAW, bahkan mengandungi pengajaran yang amat mendalam, khususnya kewajipan mendirikan solat sebagai tiang agama dan manifestasi hubungan langsung hamba dengan Penciptanya.
Sehubungan itu, saya menyeru seluruh umat Islam agar menjadikan peringatan Israk Mikraj sebagai wadah untuk memperkukuh akidah, memperbaiki kualiti ibadah solat serta menghayati nilai kesabaran, kecekalan dan keimanan dalam menghadapi cabaran kehidupan semasa.
Solat yang didirikan dengan penuh penghayatan akan menjadi benteng moral, pembentuk sahsiah serta asas kekuatan ummah.
PERKIM sentiasa komited untuk terus memainkan peranan dalam usaha dakwah, kebajikan dan pembangunan umat Islam serta mualaf, selaras dengan semangat dan pengajaran yang terkandung dalam peristiwa Israk Mikraj.
Semoga peringatan ini menjadi titik tolak kepada pengukuhan ukhuwah, peningkatan amal ibadah dan pembentukan masyarakat Islam yang berilmu, berakhlak mulia serta dirahmati Allah SWT.
YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM



