Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Tekankan Amanah Dakwah Kepada Warganya
ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟐𝟓 𝐎𝐆𝐎𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟓 – “Tanggungjawab dakwah adalah amanah besar daripada Allah SWT yang menuntut keikhlasan, kesungguhan dan kebijaksanaan dalam pelaksanaan.
Demikian penegasan yang disampaikan oleh Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar, ketika menyampaikan ucapan amanat dalam Perjumpaan Bersama Pegawai dan Kakitangan PERKIM Kebangsaan serta PERKIM Bahagian Negeri-negeri bertempat di Dewan Seminar Aras 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Isnin.
Majlis yang dihadiri seramai lebih 60 orang itu terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri seluruh Malaysia, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kota Bharu (IDIP-KB), Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) PERKIM.
Majlis tersebut membuka tirai acaranya oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan serta bacaan doa dipimpin oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.

Dato’ Dr Marzuki dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur atas kesempatan yang diberikan oleh Allah SWT untuk berkumpul serta merakamkan penghargaan kepada semua warganya yang menjayakan pertemuan itu.
“Dakwah adalah amanah yang perlu kita pikul dengan penuh keikhlasan. Kita bukan sahaja membawa mesej Islam kepada masyarakat, tetapi kita juga dilihat sebagai contoh oleh negara-negara jiran.
“Malaysia kini dianggap sebagai ‘abang besar’ dalam dunia dakwah serantau,” tegas beliau.
Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika menghadiri program di Sabah anjuran Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP) yang menghimpunkan ribuan peserta termasuk wakil daripada 13 negara menzahirkan keyakinan bahawa PERKIM mampu memperkukuh jaringan dakwah global melalui IDIP-KL.
Dato’ Dr Marzuki yang juga Setiausaha Agung Kehormat RISEAP berkata, inilah masanya kita menyemai nilai-nilai Islam kepada masyarakat di peringkat antarabangsa termasuk negara seperti Vietnam, Kemboja, Korea, Jepun, dan banyak lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan masyarakat majmuk, mengambil contoh Sarawak yang walaupun hanya mempunyai sekitar 30 peratus penduduk Muslim, ia mampu mengekalkan keharmonian dan kepimpinan yang dihormati semua.
“Kekuatan kita adalah pada keikhlasan, ketulusan dan keupayaan memimpin. Jika ini kekal, orang akan hormat,” ujarnya.
Mengakhiri ucapan, beliau menyeru warga PERKIM agar terus berperanan sebagai organisasi dakwah yang dihormati dan relevan.
“Kita mesti bersatu, bekerja secara profesional dan istiqamah dalam menyampaikan mesej Islam. Semoga usaha ini diberkati Allah,” kata beliau mengakhiri amanatnya.
Pegawai dan kakitangan PERKIM Bahagian Negeri-negeri turut merakamkan ucapan tahniah dan selamat datang kepada Dato’ Dr Marzuki di atas pelantikan sebagai Setiausaha Agung Kehormat yang baharu serta mengundang beliau untuk mengunjungi PERKIM Bahagian Negeri-negeri dalam sesi taaruf dan suai kenal.
Majlis di akhiri dengan jamuan makan tengah hari dan sesi fotografi.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Pengarah IDIP-KB, YBhg Dr Ramle Abdullah; Pengarah IDIP-KL, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik dan Setiausaha Kerja PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.

Ketibaan Dato’ Dr Marzuki diiringi kepimpinan PERKIM ke Dewan Seminar.

Kepimpinan PERKIM bersama pegawai dan kakitangan PERKIM berdiri tegak bagi menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.

Kakitangan PERKIM menyanyikan lagu PERKIM Pacu Kemajuan.

Muhammad Farhan Tee selaku pengacara majlis menyampaikan kata-kata aluan.

Abdul Qawi Navine memimpin doa pembuka majlis dalam empat versi bahasa iaitu Bahasa Arab, Melayu, Cina dan Tamil.

Kepimpinan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.

Kakitangan PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.

Dato’ Dr Marzuki menyampaikan ucapan amanatnya kepada pegawai dan kakitangannya.

“Dakwah adalah amanah yang perlu kita pikul dengan penuh keikhlasan,” tegas Dato’ Dr Marzuki kepada warganya.

Beliau menegaskan bahawa kita bukan sahaja membawa mesej Islam kepada masyarakat, tetapi kita juga dilihat sebagai contoh oleh negara-negara jiran.

Pegawai dan kakitangan mendengar amanat yang disampaikan.

Beliau menyeru warga PERKIM agar terus berperanan sebagai organisasi dakwah yang dihormati dan relevan.

Tekun…pegawai dan kakitangan mendengar amanat yang disampaikan oleh Dato’ Dr Marzuki.

Datuk Nordin turut menyatakan pendapat dan pandangannya kepada warga PERKIM.

Muhammad Ariff Abdul Aziz dari PERKIM Perak memperkenalkan diri dalam sesi taaruf.

Mohd Jogi Panjaitan Maruli dari PERKIM Wilayah Persekutuan turut memperkenalkan diri.

Pegawai Dakwah PERKIM Pulau Pinang, Siti Nasyrah Rosli memperkenalkan dirinya dalam sesi suai kenal.

Rosnaliza Ahmadiah dari PERKIM Terengganu memperkenalkan diri ketika sesi suai kenal.

Pegawai Tadbir PERKIM Kelantan, Nordin Abdullah turut memperkenalkan diri dan mempelawa Dato’ Dr Marzuki mengunjungi Negeri Kelantan.

Dr Ramle Abdullah selaku Pengarah IDIP-KB memberi pengenalan mengenai Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kota Bharu.

Setiausaha Kerja PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin berucap mewakili kakitangan PERKIM Kebangsaan.



