Aktiviti Pendidikan

Pelajar IDIP-KB Perkukuh Kefahaman Dakwah Menerusi Lawatan Ilmiah Ke PERKIM Kebangsaan

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟗 𝐉𝐀𝐍𝐔𝐀𝐑𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 – Seramai 40 pelajar saudara baharu dari Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kota Bharu (IDIP-KB) hari ini mengadakan lawatan ilmiah dan pendedahan organisasi ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan bertempat di Aras 1, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini, pada pagi tadi.

Rombongan IDIP-KB yang diketuai 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟𝐧𝐲𝐚, 𝐍𝐨𝐨𝐫𝐬𝐚𝐚𝐝𝐚𝐡 𝐌𝐝. 𝐇𝐚𝐧𝐚𝐟𝐢 @ 𝐌𝐝. 𝐙𝐚𝐢𝐧, disambut mesra oleh 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐏𝐞𝐧𝐭𝐚𝐝𝐛𝐢𝐫𝐚𝐧 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐫. 𝐒𝐮𝐚𝐫𝐢𝐳𝐚 @ 𝐇𝐢𝐝𝐚𝐲𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 bersama barisan eksekutif dan kakitangan PERKIM Kebangsaan.

Lawatan tersebut menjadi sebahagian daripada usaha berterusan PERKIM dalam memperkukuh jaringan silaturahim serta memantapkan pembangunan sahsiah dan kefahaman dakwah dalam kalangan pelajar saudara baharu.

Fatin Akmal Aksah membuka tirai selaku pengacara majlis diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Abu Bakar Abdullah, sekali gus memohon keberkatan agar program yang dianjurkan memberi manfaat berpanjangan kepada semua yang terlibat.


Dr. Suariza dalam ucapan amanatnya menegaskan peranan PERKIM sebagai sebuah organisasi dakwah yang menyampaikan syiar Islam melalui pendekatan menyeluruh merangkumi pendidikan, kebajikan dan pendidikan.

Katanya, usaha ini digerakkan melalui pelbagai institusi di bawah PERKIM termasuk IDIP-KB dan Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL).

Beliau turut menjelaskan fungsi IDIP-KL yang berperanan melatih para da’i, selain berkongsi pengalaman peribadi sebagai bekas Pengarah IDIP-KL yang menjadikan institusi tersebut dekat di hati beliau.

Katanya, pendedahan seperti ini penting agar pelajar memahami kesinambungan peranan institusi dakwah PERKIM dari peringkat akar umbi hingga ke peringkat nasional dan antarabangsa.

Dr. Suariza seterusnya menzahirkan keperluan merapatkan hubungan dan kefahaman antara pelajar institusi dakwah dengan PERKIM Kebangsaan supaya mereka lebih mengenali struktur, fungsi dan peranan sebenar organisasi induk.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan atas kerjasama menjayakan program bersama para pelajar yang berlangsung pada petang ini, sekali gus mengukuhkan jaringan silaturahim antara PERKIM Kebangsaan, PERKIM Wilayah, IDIP-KB dan IDIP-KL sebagai satu keluarga besar dakwah.

Jelas Dr Suariza lagi, semua entiti di bawah PERKIM mempunyai matlamat yang sama iaitu memperkasa usaha dakwah Islamiah, meskipun sebelum ini wujud kekangan dari segi pengenalan antara satu sama lain.

Sehubungan itu, pertemuan ini dianggap sebagai langkah awal membina hubungan yang lebih erat, di samping memberi ruang kepada para eksekutif memperkenalkan tugas dan fungsi masing-masing kepada para pelajar.

Beliau juga memberi motivasi kepada para pelajar agar terus melanjutkan pengajian dan meningkatkan tahap keilmuan, menjadikan peringkat pengajian sedia ada sebagai batu loncatan ke peringkat yang lebih tinggi.

Para pelajar disifatkan sebagai aset, pelapis dan masa depan PERKIM yang bakal meneruskan serta mengembangkan dakwah Islam pada masa hadapan.

Ucapan beliau diakhiri dengan harapan agar pertemuan ini bukan yang terakhir, sebaliknya menjadi permulaan kepada kerjasama berterusan yang membawa manfaat dan keberkatan daripada Allah SWT.

Sebelum itu, Noorsaadah dalam ucapan aluannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada PERKIM Kebangsaan atas jemputan serta penganjuran program yang disifatkan amat bermakna kepada para pelajar IDIP-KB.

Menurut beliau, lawatan ini menjadi wadah penting untuk perkongsian ilmu, pengalaman serta pengukuhan hubungan silaturahim antara warga IDIP-KB dengan pengurusan tertinggi PERKIM Kebangsaan.

Katanya, secara tidak langsung, ia memperkukuh kefahaman kepada pelajar IDIP-KB terhadap peranan, fungsi serta ekosistem dakwah PERKIM di peringkat nasional.

Beliau menegaskan harapan agar kerjasama strategik dan hubungan baik antara PERKIM Kebangsaan dan IDIP-KB dapat diteruskan pada masa hadapan, khususnya dalam memperkasakan usaha dakwah serta pembangunan sahsiah pelajar, golongan asnaf dan mualaf di seluruh negara.

Ucapan tersebut turut disandarkan dengan hadis Rasulullah SAW yang menegaskan bahawa sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling bermanfaat kepada manusia lain, selari dengan matlamat program yang menjadi medium saling membantu, membimbing dan menyokong antara satu sama lain.

Program ini juga diharap dapat mengukuhkan iman dan jati diri para pelajar, selain menjadi lanjutan kepada pembinaan ukhuwah selepas Minggu Ta’aruf dan Ukhwah yang telah dilalui di IDIP-KB.

Para pelajar turut diseru agar memanfaatkan sepenuhnya ilmu dan pengalaman yang diperoleh sebagai ibrah serta panduan dalam kehidupan masa kini dan masa hadapan.

Noorsaadah mengakhiri ucapannya dengan mendoakan agar segala usaha bersama diberkati Allah SWT dan memberi manfaat berpanjangan.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan pengenalan latar belakang serta sejarah penubuhan PERKIM Kebangsaan yang disampaikan oleh 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗲𝗻𝘁𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱 𝗛𝗮𝘀𝗮𝗶𝗱𝗶 𝗦𝗮𝗶𝗱.

Hasaidi menghuraikan perjalanan penubuhan PERKIM sebagai sebuah pertubuhan dakwah yang berakar daripada keprihatinan terhadap kebajikan saudara baharu, serta peranannya yang berkembang sejajar dengan keperluan masyarakat Islam di Malaysia.

Beliau memberi gambaran jelas kepada para pelajar tentang evolusi PERKIM sebagai institusi dakwah yang berwibawa dan berpengalaman.

Sesi diteruskan dengan pembentangan slaid oleh 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗪𝗮𝗻𝗶𝘁𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗛𝗮𝗺𝗶𝘇𝗮𝗵 𝗜𝘀𝗺𝗮𝗶𝗹.

Fatin Hamizah memperkenalkan Wanita PERKIM Kebangsaan sebagai sayap penting dalam memperkukuh agenda dakwah, kebajikan dan pembangunan wanita.

Pembentangan turut mengupas sejarah penubuhan Wanita PERKIM pada tahun 1974 atas inisiatif Allahyarhamah Datuk Amar Puan Sri Dr. Hajjah Laila Taib dengan nasihat YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, khusus bagi membela nasib saudara baharu wanita.

Beliau menjelaskan visi dan misi PERKIM sebagai NGO dakwah bertaraf nasional dan antarabangsa, selain peranan Wanita PERKIM sebagai nadi pemerkasaan wanita dan pelindung kebajikan saudara baharu wanita yang berdepan pelbagai cabaran sosial dan emosi.

Turut dikongsikan ialah pelbagai program dan inisiatif utama termasuk Program SEKATA, kerjasama dengan institusi korporat melalui platform dana sosial, penerbitan pelan pembangunan wanita mualaf serta program santuni warga emas.

𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗵𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 turut membentangkan aspek kebajikan mualaf sebagai teras pendekatan dakwah PERKIM menerusi pembentangan slaidnya.

Beliau menghuraikan pelaksanaan program ziarah, bantuan kewangan, kaunseling, bantuan bencana alam serta peranan sukarelawan sebagai tulang belakang kebajikan mualaf.

Turut diperkenalkan ialah inisiatif institusi kebajikan PERKIM seperti Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE), Asrama Darul Falah (ASDAF) dan Taman Asuhan Kanak-kanak Putra PERKIM (TASPUTRA).

Pelajar kemudiannya turut diberi penerangan mengenai peranan Bahagian Dakwah oleh 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟭 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.

Ustaz Jais Mariappan memberi penekanan terhadap kepentingan pengukuhan akidah dan kefahaman agama saudara baharu bagi mencegah kecelaruan akidah.

Beliau yang juga merupakan bekas pelajar IDIP-KB turut berkongsi pengalaman dakwah lapangan melalui pendekatan ziarah dan khidmat kepada masyarakat bukan Islam yang terbukti berkesan menarik minat serta membuka hati masyarakat terhadap Islam.

Sementara itu, 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟯 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗡𝘂𝗿 𝗦𝘆𝗮𝗵𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗠𝘂𝘀𝗮 menghuraikan proses pengislaman secara bertertib merangkumi fasa sebelum, semasa dan selepas memeluk Islam, termasuk aspek pendaftaran, bimbingan berterusan serta pemantapan akidah sebagai asas kehidupan Muslim.

𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗦𝗶𝘁𝗶 𝗠𝘂𝗻𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗦𝗮𝘆𝗲𝗱 𝗠𝗼𝗵𝗱. 𝗛𝗮𝗺𝗱𝗮𝗻 merupakan pembentang terakhir yang menyentuh peranan Bahagian Pendidikan dan Dakwah PERKIM.

Katanya, beliau merupakan eksekutif bertanggungjawab menyediakan pendidikan Islam berstruktur dan inklusif melalui kelas pengajian harian, program ziarah serta kursus intensif bagi memastikan mualaf tidak terputus daripada ilmu dan bimbingan.

Program diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif sebelum majlis ditutup dengan sesi fotografi kenangan dan jamuan makan tengah hari, sekali gus menandakan kejayaan lawatan yang memberi pendedahan menyeluruh kepada para pelajar IDIP-KB mengenai pendekatan dakwah PERKIM yang holistik, berteraskan ilmu, kebajikan dan sokongan komuniti.

 


Barisan Eksekutif PERKIM bersama pelajar IDIP-KB menadah tangan ketika doa dibacakan.


Noorsaadah dalam ucapannya berkata, lawatan ini menjadi wadah penting untuk mengukuhkan hubungan silaturahim antara warga IDIP-KB dengan pengurusan PERKIM Kebangsaan.

 

 


Antara pelajar IDIP-KB yang menyertai lawatan ke PERKIM Kebangsaan.

 

 


Dr Suariza mengalu-alukan kehadiran pelajar IDIP-KB dan menyifatkan pelajar sebagai aset, pelapis dan masa depan PERKIM yang bakal meneruskan serta mengembangkan dakwah Islam pada masa hadapan.

 

 


Eksekutif Pentadbiran PERKIM Kebangsaan memberikan penerangan dan pengenalan latar belakang dan sejarah penubuhan PERKIM Kebangsaan.

 

 


Ustaz Farhan Tee membentangkan aspek kebajikan mualaf sebagai teras pendekatan dakwah PERKIM.

 

 


Ustaz Jais Mariappan memberi penekanan terhadap kepentingan pengukuhan akidah dan kefahaman agama saudara baharu bagi mencegah kecelaruan akidah kepada pelajar.

 

 


Ustazah Nur Syahirah menghuraikan proses pengislaman secara bertertib merangkumi fasa sebelum, semasa dan selepas memeluk Islam.

 

 


Ustazah Siti Munirah bertanggungjawab menyediakan pendidikan Islam berstruktur dan inklusif melalui kelas pengajian harian, program ziarah serta kursus intensif.

 

 


Salah seorang pelajar mengajukan beberapa soalan dalam sesi soal jawab.

 


Barisan eksekutif dan kakitangan PERKIM bergambar kenangan bersama pelajar IDIP-KB di akhir lawatan mereka.

Related Articles

Back to top button