Aktiviti Dakwah

Mesyuarat EXCO PERKIM Perkukuh Struktur Tadbir Urus, Pacu Agenda Dakwah dan Pembangunan Ummah

ᵒˡᵉʰ: ᴹᵁᴴᴬᴹᴹᴬᴰ ᶠᴬᴿᴴᴬᴺ ᵀᴱᴱ ᴬᴮᴰᵁᴸᴸᴬᴴ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟏𝟒 𝐅𝐄𝐁𝐑𝐔𝐀𝐑𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟔 – Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kebangsaan (EXCO) Bil.1/2026 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) yang berlangsung di Bilik Mesyuarat PERKIM Kebangsaan, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah pada pagi Sabtu hari ini menjadi medan penting memperkukuh tadbir urus organisasi serta merangka hala tuju strategik dakwah, pendidikan dan kebajikan bagi tahun semasa.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 10.35 pagi itu telah dipengerusikan oleh 𝐏𝐫𝐞𝐦𝐢𝐞𝐫 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤 𝐬𝐞𝐥𝐚𝐤𝐮 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐀𝐁 𝐓𝐚𝐧 𝐒𝐫𝐢 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐏𝐚𝐭𝐢𝐧𝐠𝐠𝐢 (𝐃𝐫) 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐙𝐨𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐓𝐮𝐧 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐎𝐩𝐞𝐧𝐠.

Sebelum itu, Ustaz Zamri Mohamad, Pegawai Tadbir (Komunikasi) di Jabatan Premier Sarawak memimpin bacaan doa bagi memohon keberkatan serta berjalan dengan lancar.

Dalam ucapan pembukaan, Tan Sri Abang Johari merakamkan penghargaan atas komitmen dan kehadiran semua ahli mesyuarat, termasuk 𝗡𝗮𝗶𝗯-𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 iaitu 𝗬𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗗𝗿 𝗦𝗵𝗮𝗵𝗶𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗮𝘀𝘀𝗶𝗺, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗿 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗥𝗶𝗱𝗵𝘂𝗮𝗻 𝗧𝗲𝗲 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗶𝘁𝗿𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 dan 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗡𝗮𝗸𝗵𝗮𝗶𝗲 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱.

Tan Sri Abang Johari menasihati agar segala usaha dan perancangan PERKIM diteruskan secara kolektif melalui sesi perbincangan yang berfokus dan berstrategi demi memastikan organisasi itu terus relevan serta berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan lawatan terbaharunya ke Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kota Bharu (IDIP-KB) di Kota Bharu, Kelantan.

Melalui Biro Pendidikan Islam Sarawak, beliau telah menyumbang sebanyak RM1 juta bagi tujuan pembangunan asrama lelaki dan surau di institusi berkenaan.

Sehubungan itu, beliau memohon Setiausaha Agung Kehormat dan Bendahari Kehormat mengambil tindakan lanjut bagi memastikan perancangan pembangunan tersebut dapat dilaksanakan secara teratur dan mematuhi spesifikasi ditetapkan.

𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 membentangkan minit Mesyuarat EXCO terdahulu yang diadakan pada 29 September 2025 di Menara Affin TRX.

Sementara itu, 𝗕𝗲𝗻𝗱𝗮𝗵𝗮𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝘂 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗲𝗿𝘀𝗮𝗹 𝗔𝗯𝗮𝗻𝗴 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶 memaklumkan Penyata serta Laporan Kewangan Semasa bagi tempoh 2026 untuk perhatian dan penelitian ahli mesyuarat.

Datu Mersal turut memaklumkan bahawa lima Jawatankuasa Kecil sedia ada akan dikekalkan namun perlu mempunyai terma rujukan (TOR) yang jelas dan tersusun.

Jawatankuasa Pentadbiran dan Kewangan dipengerusikan oleh Shahidan Kassim; Jawatankuasa Dakwah, Pendidikan dan Kebajikan oleh Mohd Nakhaie Ahmad; Jawatankuasa Hubungan Serantau dan Antarabangsa oleh Mohd Ridhuan Tee Abdullah; Jawatankuasa Pendanaan dan Pengurusan Aset oleh Muhammad Fitri Abdullah manakala Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Belia dipengerusikan oleh YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajjah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Mesyuarat bersetuju agar setiap jawatankuasa merangka TOR masing-masing sebelum diserahkan kepada pentadbiran atasan untuk diperhalusi.

Yang Dipertua PERKIM turut menegaskan kepentingan dokumentasi bagi setiap perkara dan keputusan yang dibuat agar ia dapat dirujuk serta difahami dengan lebih sistematik pada masa hadapan.

Dalam perkembangan berkaitan pembangunan IDIP-KB, Datu Mersal memaklumkan beliau telah menghubungi arkitek bagi menyediakan pelan baharu selaras dengan peruntukan RM1 juta yang diluluskan. Penyelarasan lanjut akan diteruskan selepas bulan Ramadan.

Dato’ Seri Dr Shahidan pula menekankan kepentingan penggunaan media sosial secara strategik bagi meningkatkan imej dan penjenamaan PERKIM.

Menurut beliau, penglibatan wakil rakyat dalam program serta aktiviti PERKIM, khususnya melalui kehadiran Premier Sarawak, mampu memberi impak positif dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan pertubuhan itu.

Mesyuarat dimaklumkan bahawa sebarang kertas cadangan yang akan dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan perlu diperhalusi berdasarkan polisi sedia ada demi menjaga integriti serta kelangsungan organisasi.

Dato’ Seri Dr Shahidan turut memaklumkan bahawa pihak Malaysia-Libya telah menghubungi beliau bagi menjalin kerjasama dalam bidang pendidikan melibatkan pusat latihan dan pembangunan. Mesyuarat bersetuju agar satu kertas kerja komprehensif disediakan bagi meneliti potensi kerjasama tersebut.

Ustaz Fitri pula menjelaskan bahawa pihak Malaysia-Libya mempunyai dana khusus untuk pembangunan dakwah dan berhasrat mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak bagi membincangkan perkara berkenaan, yang kemudiannya diperakukan dalam mesyuarat.

Dalam pada itu, Yang Dipertua PERKIM menyatakan hasrat untuk menghubungi pihak Istana Perak berhubung pelaksanaan Konvensyen Wakaf Antarabangsa.

Konvensyen tersebut antara lain bertujuan memperkasa teknologi dan inovasi bagi membantu pembangunan ummah secara lebih cekap dan mampan, dengan kos penganjuran akan digerakkan melalui usaha dan inisiatif beliau sendiri.

Menjelang tengah hari, Premier Sarawak merakamkan penghargaan atas komitmen semua ahli sebelum mesyuarat ditangguhkan, disusuli sesi bergambar dan jamuan makan tengah hari.

Turut hadir Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Eksekutif Pentadbiran, Ahmad Hasaidi Said serta Eksekutif Kewangan, Mohd Aizat Rosli.

Mesyuarat ini mencerminkan iltizam berterusan PERKIM dalam memperkukuh struktur organisasi, memperkasakan agenda dakwah dan kebajikan serta memperluas jaringan kerjasama strategik di peringkat nasional dan antarabangsa demi kemaslahatan mualaf dan umat Islam di negara ini.

 


Ketibaan kenderaan Premier Sarawak diiringi kenderaan pengiring masuk ke perkarangan Bangunan PERKIM.

 


Dato’ Seri Shahidan Kassim bersama Kepimpinan Tertinggi PERKIM bersalaman sambil menyambut ketibaan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari.

 


Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua PERKIM bersama Kepimpinan PERKIM menghadiri Mesyuarat EXCO PERKIM buat kali pertama.

 


Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Dato’ Dr Marzuki mengiringi dan membawa Tan Sri Abang Johari ke bilik mesyuarat.

 


Barisan Kepimpinan Tertinggi PERKIM bersama urus setia menghadiri Mesyuarat EXCO PERKIM Bil.1/2026.

 


Ustaz Zamri Mohamad, Pegawai Tadbir (Komunikasi) di Jabatan Premier Sarawak memimpin bacaan doa

 


Ahli mesyuarat menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibacakan.

 


Yang Dipertua PERKIM, YAB Tan Sri Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Kebangsaan kali pertama bagi tahun 2026.

 


Mesyuarat diadakan bagi memperkukuh struktur organisasi, memperkasakan agenda dakwah dan kebajikan serta memperluas jaringan kerjasama strategik demi kemaslahatan mualaf dan umat Islam.

 


Seusai dua jam mesyuarat ditangguhkan, barisan Kepimpinan Tertinggi PERKIM dibawa menuju ke ruang legar untuk jamuan makan tengah hari.

 


Premier Sarawak bersama Kepimpinan Tertinggi PERKIM menikmati juadah makan tengah hari yang disediakan.

 


Urus setia PERKIM berdiri hormat sambil melambaikan tangan ke arah Premier Sarawak bersama Kepimpinan Tertinggi PERKIM.

 


Kepimpinan Tertinggi PERKIM (dari kiri) YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar, YBhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim, YAB Tan Sri (Dr) Datuk Patinggi Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg, YBhg Dr Haji Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah dan YBhg Datu Haji Mersal Abang Rosli bergambar di hadapan Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan selepas mesyuarat.

 


Kepimpinan Tertinggi PERKIM mengiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari ketika keberangkatan pulang.

 


Antara barisan urus setia yang bersama-sama bertungkus-lumus menjayakan persiapan dari awal hingga akhir Mesyuarat EXCO PERKIM Bil.1/2026.

Related Articles

Back to top button