Surau PERKIM

Surau PERKIM merupakan tempat beribadat yang khusus bagi kemudahan untuk umat Islam yang menunaikan kewajipan rukun Islam kedua iaitu sembahyang lima waktu sehari semalam apabila tiba waktunya.

Surau tersebut terletak di aras G, Bangunan PERKIM Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh), Kuala Lumpur di mana ianya menjadi pusat bagi umat Islam yang berkunjung ke pejabat, gerai makan, pameran di PWTC, klinik serta bank di sekitar Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Rahmat dan Jalan Sentul.

Antara kemudahan surau tersebut ialah mempunyai pendingin hawa, tempat berwuduk, kipas, Al-Quran, kitab-kitab dan sebagainya.

Surau PERKIM kini telah diberi kebenaran oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bagi mendirikan solat fardu Jumaat berkuatkuasa pada 13 September 2024 di mana boleh memuatkan lebih daripada 300 jemaah di dalam surau dan di Dataran Dakwah Bangunan PERKIM.

Ketika negara dilanda wabak COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan, Surau PERKIM telah diberi kebenaran khas buat pertama kali bagi mendirikan Solat Jumaat dari tahun 2020 hingga 2022, tetapi ia telah ditamatkan tempoh kebenarannya pada 21 Oktober 2022 selepas endamik.

Pelbagai program dan aktiviti anjuran PERKIM, termasuk agensi kerajaan, swasta, organisasi atau perseorangan bagi mengimarahkan lagi Surau PERKIM iaitu Tadarus Al-Quran, solat sunat Hari Raya Aidilfitri, solat sunat Hari Raya Aidiladha, solat sunat tarawih, solat sunat hajat, forum perdana, bacaan Yasin, tahlil dan sebagainya.

Selain itu, surau itu turut menjadi tempat latihan praktikal solat dengan cara yang betul dan fardu ain kepada para mualaf yang baru memeluk Islam.

Kini, pengurusan Surau PERKIM dibawah kelolaan Jawatankuasa Surau PERKIM yang dipengerusikan oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim.

Ustaz Ahmad Muhammad merupakan imam yang ditugaskan untuk mengetuai ibadah solat, ceramah agama dan hal ehwal berkaitan dengan surau manakala Saudara Muhammad Abu Bakar Abdullah selaku muazzin dan siak Surau PERKIM.

 

Back to top button