SKOP Ke-25 – “Dari Hidayah Ke Dakwah : Membentuk Da’i Mualaf Berdaya Saing
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐎𝐓𝐀 𝐁𝐇𝐀𝐑𝐔, 𝟑 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Hidayah yang dianugerahkan oleh Allah SWT bukan sekadar membawa seseorang kepada keimanan, tetapi menjadi titik tolak kepada perjuangan dakwah yang berterusan.
Inilah intipati utama yang digariskan dalam Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) Ke-25 bertemakan “Dari Hidayah ke Dakwah: Membentuk Da’i Mualaf Berdaya Saing” yang diadakan di Dewan Institut Dakwah Islamiah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kota Bharu (IDIPKB), Pengkalan Chepa, dekat sini pada pagi Isnin.
Majlis ilmu berprestij itu dianjurkan bersama PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam WIlayah Persekutuan (MAIWP) itu menghimpunkan seramai 150 peserta terdiri daripada saudara baharu dan pelajar IDIPKB pelbagai latar bangsa seperti India, Cina, Orang Asli serta warga asing dari Thailand, Kemboja, Vietnam dan Filipina.
SKOP kali ini turut mendapat kerjasama erat daripada PERKIM Bahagian Negeri Kelantan dan IDIPKB, menjadikan ia platform penting untuk memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan mualaf.
Majlis bermula dengan ucapan aluan oleh Pensyarah IDIPKB, Nik Muhammad Affendy Nik Hassan yang turut memimpin bacaan doa pembuka.

𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧 dalam ucapan perasmiannya melahirkan rasa syukur kerana dapat berhimpun dalam majlis ilmu yang penuh barakah dan bermakna ini.
Beliau yang berucap mewakili 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 menjelaskan bahawa tema kuliah kali ini amat signifikan dengan peranan peserta, khususnya saudara baharu yang baru melangkah ke dunia dakwah.
“Hidayah adalah anugerah Allah SWT yang tidak ternilai. Setelah kita menerimanya, tanggungjawab kita bukan sekadar mempertahankan iman, tetapi menyebarkan kebenaran kepada orang lain,” ujar beliau.
Dato’ Razali turut merakamkan setinggi penghargaan kepada kepimpinan PERKIM Negeri Kelantan di bawah YAB Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud, selaku Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kelantan atas komitmen menganjurkan program dakwah itu bersama IDIPKB.
Beliau menjelaskan bahawa penubuhan IDIPKB bukan sekadar untuk melahirkan penerima hidayah, tetapi bagi membentuk mereka menjadi pendakwah berilmu, berakhlak dan berjiwa penyayang.
“Ramai alumni IDIP kini menjadi tokoh masyarakat dan pendakwah terkemuka seperti Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), YBhg Prof. Dato’ Dr. Mohd Farid Ravi Abdullah dan Allahyarhamah Dr. Nur Athiroh Masyaa’il Tan Ai Pao dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang gigih berdakwah di Sabah dan Sarawak. Ini bukti bahawa saudara baharu mampu menjadi agen perubahan ummah,” katanya.
Dato’ Razali turut menyeru pelajar supaya menanam cita-cita tinggi untuk menjadi insan yang memberi manfaat kepada agama dan masyarakat.
“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Siri Kuliah Dakwah Perdana Ke-25,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Sebelum itu, 𝐏𝐞𝐧𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐧𝐭𝐚𝐧, 𝐓𝐮𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐍𝐚𝐬𝐢𝐫 𝐂𝐡𝐞 𝐀𝐥𝐢 menzahirkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan, MAIWP dan IDIPKB atas kejayaan menganjurkan siri kuliah ini.
Katanya, program tersebut kini menjadi salah satu program rasmi yang menerima peruntukan penuh dan akan diperluas ke negeri-negeri zon timur.
“Di Kelantan, PERKIM dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sentiasa mengadakan kelas bimbingan untuk saudara baharu termasuk peserta dari Thailand dan negara jiran.
“Ramai antara mereka berhijrah ke Malaysia demi menuntut ilmu Islam walaupun terpaksa berkorban keluarga dan harta,” kata Haji Nasir.
SKOP ke-25 dipengerusikan oleh 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 itu digandingkan bersama dua ahli panel tempatan iaitu 𝐃𝐫. 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐌𝐮𝐡𝐢𝐝𝐞𝐧 𝐀𝐛𝐝 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧, 𝐦𝐚𝐧𝐭𝐚𝐧 𝐏𝐞𝐧𝐬𝐲𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐀𝐤𝐚𝐝𝐞𝐦𝐢 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐣𝐢𝐚𝐧 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐔𝐧𝐢𝐯𝐞𝐫𝐬𝐢𝐭𝐢 𝐌𝐚𝐥𝐚𝐲𝐚 dan 𝐓𝐮𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐍𝐢𝐤 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐍𝐢𝐤 𝐋𝐢𝐛, 𝐏𝐚𝐤𝐚𝐫 𝐌𝐨𝐭𝐢𝐯𝐚𝐬𝐢 𝐏𝐞𝐣𝐚𝐛𝐚𝐭 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐢𝐝𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐓𝐚𝐧𝐚𝐡 𝐌𝐞𝐫𝐚𝐡.
Dr. Muhiden dalam bicaranya menjelaskan bahawa hidayah berasal daripada perkataan Arab hadā yahdī hidayatan, bermaksud petunjuk, panduan dan bimbingan ke arah kebenaran.
Katanya, hidayah adalah milik mutlak Allah SWT, bahkan Rasulullah SAW sendiri tidak mampu memberinya kepada sesiapa yang disayangi tanpa izin Allah.
Beliau menegaskan bahawa penerimaan hidayah bukan noktah, tetapi permulaan kepada tanggungjawab dakwah.
“Manusia sentiasa dalam kerugian kecuali mereka yang beriman, beramal soleh dan menyeru kepada kebenaran serta kesabaran. Itulah dakwah sebenar,” tegasnya.
Dr. Muhiden turut mengingatkan bahawa hidayah dan ilmu jauh lebih bernilai daripada makanan dan minuman, kerana tanpa hidayah hati menjadi gelap dan tersesat.
Beliau menasihatkan agar umat Islam memperkukuh iman dengan ilmu dan amal, kerana itulah benteng menghadapi cabaran zaman moden.
Panel kedua, Haji Nik Muhamad pula membuka bicara dengan menzahirkan kesyukuran atas nikmat hidayah, kesihatan dan kehidupan. Beliau mengingatkan bahawa setiap nikmat wajib disyukuri serta disertai doa agar tidak ditarik balik oleh Allah SWT.
“Nabi SAW mengajar kita berdoa agar tidak ditimpa perubahan kesihatan, tidak disiksa secara tiba-tiba dan tidak dimurkai Allah. Doa ini perlu diamalkan setiap hari agar hidayah sentiasa terpelihara,” katanya sambil mengajarkan doa tersebut kepada para peserta.
Beliau menjelaskan bahawa hidayah ialah petunjuk, manakala taufik ialah kekuatan untuk melaksanakan petunjuk tersebut.
“Hidayah seperti peta, taufik ialah kenderaan menuju destinasi. Tanpa taufik, manusia tahu kebenaran tetapi gagal mengamalkannya,” jelasnya.
Pada pusingan kedua, Dr Muhiden pula menekankan agar usaha dakwah tidak ditangguhkan, sebaliknya dilakukan segera sebagaimana perintah Allah dalam Surah al-Muddassir ayat 2: “Bangunlah dan berilah peringatan.”
Katanya, dakwah bermula dengan memperbetul diri sendiri sebelum menyebarkan kepada keluarga dan masyarakat.
“Dakwah tidak menuntut pangkat atau gelaran. Lihatlah Habib al-Najjar dalam Surah Yasin di mana ia mencetitakan lelaki biasa yang gugur syahid mempertahankan kebenaran. Itulah contoh keikhlasan dalam dakwah,” katanya.
Haji Nik Muhamad turut menegaskan bahawa Rasulullah SAW mendidik sahabat selama 10 tahun di Mekah dengan tiga asas kukuh iaitu tauhid, kerasulan dan kesedaran akhirat. Tiga teras inilah yang menjadikan para sahabat berani berkorban untuk Islam.
“Untuk istiqamah dalam dakwah, kita perlu menjadi orang rajin. Saya simpulkan RAJIN sebagai: R – rasa rugi kalau tidak berbuat; A – ada agenda; J – jangka masa; I – ingin berubah; N – nampak kejayaan,” katanya disambut senyuman para peserta.
Beliau turut menegur punca kemalasan yang melemahkan semangat dakwah: matlamat kabur, sikap acuh tak acuh, leka dengan teknologi, terlalu banyak alasan dan hidup terlalu selesa.
Menurutnya, masyarakat kini berdepan cabaran sosial serius seperti tekanan mental, jenayah dan gejala dadah yang menuntut pendakwah tampil memberi solusi.
Bagi membina keupayaan diri, beliau mencadangkan tiga langkah:
- Pembinaan perspektif akidah yang benar — memahami nilai hidayah dan ganjaran besar bagi mereka yang menyebarkan petunjuk Allah.
- Tindakan praktikal dalam ibadah dan dakwah — lakukan sekecil-kecil usaha kerana Allah menilai usaha, bukan kesempurnaan.
- Sokongan sosial dan persekitaran beragama — sertai kumpulan usrah, jemaah dan aktiviti masjid seperti Kempen 79 (Maghrib-Isyak berjemaah dan pengajian selepas Isyak).
Haji Nik Muhamad juga menyeru pendakwah agar menggunakan pendekatan moden dalam menyampaikan ilmu, termasuk penggunaan slaid, isu semasa dan bahasa yang dekat dengan masyarakat muda.
“Dakwah mesti sistematik dan segar. Kadang orang tidak hadir kuliah bukan kerana malas, tetapi kerana menu yang dihidang tidak kena dengan selera masyarakat,” katanya.
Haji Nik Muhamad menutup bicaranya dengan menegaskan bahawa yang penting bukanlah permulaan tetapi usaha berterusan dan pengakhiran yang baik.
“Mualaf atau lama Islam bukan ukuran, tetap yang utama ialah istiqamah dan keikhlasan dalam berjuang membawa hidayah kepada orang lain,” ujarnya penuh semangat.
Ustaz Jais Mariappan menutup SKOP dengan menyatakan bahawa hidayah jika disyukuri dan diterjemah dalam bentuk amal, mampu mencetus perubahan besar terhadap diri, keluarga dan masyarakat sekali gus menjadikan Islam terus subur dan dihormati di bumi Malaysia.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata.
Dato’ Haji Razali menyerahkan plak penghargaan PERKIM kepada barisan ahli panel manakala 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐊𝐞𝐥𝐚𝐧𝐭𝐚𝐧, 𝐓𝐮𝐚𝐧 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐍𝐚𝐳𝐢𝐫 𝐂𝐡𝐞 𝐈𝐛𝐫𝐚𝐡𝐢𝐦 menyampaikan cenderamata daripada Pengerusi PERKIM Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud kepada Dato’ Razali.
Turut hadir 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐈𝐃𝐈𝐏𝐊𝐁, 𝐏𝐫𝐨𝐟. 𝐃𝐫. 𝐑𝐚𝐦𝐥𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡; 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐚𝐟𝐭𝐚𝐫 𝐈𝐃𝐈𝐏𝐊𝐁, 𝐌𝐚𝐭 𝐒𝐚𝐥𝐥𝐞𝐡 𝐇𝐚𝐬𝐬𝐚𝐧; 𝐓𝐢𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐇𝐚𝐥 𝐄𝐡𝐰𝐚𝐥 𝐀𝐤𝐚𝐝𝐞𝐦𝐢𝐤 𝐈𝐃𝐈𝐏𝐊𝐁, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳𝐚𝐡 𝐍𝐨𝐨𝐫𝐬𝐚𝐚𝐝𝐚𝐡 𝐌𝐝 𝐇𝐚𝐧𝐚𝐟𝐢 @ 𝐌𝐝 𝐙𝐚𝐢𝐧; 𝐏𝐞𝐦𝐚𝐧𝐠𝐤𝐮 𝐓𝐢𝐦𝐛𝐚𝐥𝐚𝐧 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐇𝐚𝐥 𝐄𝐡𝐰𝐚𝐥 𝐏𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐈𝐃𝐈𝐏𝐊𝐁, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐙𝐚𝐦𝐳𝐮𝐫𝐢 𝐌𝐚𝐭 𝐋𝐚𝐳𝐢𝐦 serta 𝐮𝐫𝐮𝐬 𝐬𝐞𝐭𝐢𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐀𝐳𝐫𝐨𝐥 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐀𝐳𝐦𝐢, 𝐔𝐦𝐢 𝐌𝐮𝐬𝐟𝐢𝐫𝐚𝐡 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐆𝐡𝐚𝐧𝐢 dan 𝐄𝐬𝐚 𝐎𝐭𝐡𝐦𝐚𝐧.
SKOP ke-25 bukan sekadar wadah perkongsian ilmu, tetapi medan menyemai semangat dakwah dalam kalangan saudara baharu agar mereka menjadi da’i berdaya saing, berpaksikan ilmu, hikmah dan kasih sayang.

SKOP ke-25 bertajuk “Dari Hidayah Ke Dakwah” diadakan di IDIPKB, Pengkalan Chepa, Kota Bharu Kelantan.

Nik Muhammad Affendy selaku pengacara majlis turut memimpin doa pembuka majlis.

Tetamu kehormat PERKIM, (dari kiri:) Haji Nasir, Dato’ Razali dan Dr Ramle menadah tangan ketika doa dibacakan.

Barisan panelis hadir bersama pelajar IDIPKB dan saudara baharu.

Haji Nasir Che Ali menyampaikan ucapan aluan dan merakamkan penghargaan terima kasih kepada peserta yang hadir.

Dato’ Razali mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM merasmikan SKOP ke-25.

Ustaz Jais (kiri) selaku moderator bersama panelis Dr Muhiden (tengah) dan Haji Nik Muhamad menjayakan SKOP bertajuk “Dari Hidayah ke Dakwah: Membentuk Da’i Mualaf Berdaya Saing”.

Pelajar IDIPKB hadir mendengar Siri Kuliah Dakwah Perdana anjuran PERKIM Kebangsaan dan MAIWP.

Ustaz Jais Mariappan berkata, dalam solat sehari semalam, kita meminta sebanyak 35 kali hidayah dan petunjuk kepada Allah SWT.

Saudara baharu pelbagai kaum mendengar ilmu yang disampaikan oleh panelis.

Dr Muhedin menegaskan bahawa penerimaan hidayah bukan noktah, tetapi permulaan kepada tanggungjawab dakwah.

Dr Muhedin menasihatkan agar umat Islam memperkukuh iman dengan ilmu dan amal kerana itulah benteng menghadapi cabaran zaman moden.

Haji Nik Muhamad menyeru pendakwah agar menggunakan pendekatan moden dalam menyampaikan ilmu.

Salah seorang pelajar IDIPKB mengajukan soalan dalam sesi soal jawab.

Dato’ Razali menyampaikan plak cenderamata dan saguhati kepada Haji Nik Muhamad.

Dr Muhedin menerima plak cenderamata dan saguhati daripada Dato’ Razali.

Haji Nazir Che Ibrahim menyampaikan cenderamata daripada Menteri Besar Kelantan YAB Dato’ Panglima Perang kepada Dato’ Razali.

Barisan tetamu kehormat bergambar kenang-kenangan bersama peserta di akhir SKOP ke-25.

Pelajar IDIPKB dan saudara baharu menerima saguhati daripada urus setia.



