PERKIM, TLDM Rancang Kerjasama Perkukuh Dakwah dan Pendidikan Saudara Baharu
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟑𝟎 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Agama Markas Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Aras 6, Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi tadi bagi membincangkan potensi kerjasama memperkukuh bimbingan dan pembangunan ilmu Islam dalam kalangan saudara baharu warga TLDM.
Rombongan berkenaan diketuai oleh 𝐊𝐨𝐥𝐨𝐧𝐞𝐥 𝐀𝐡𝐦𝐚𝐝 𝐊𝐚𝐦𝐢𝐥 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐀𝐠𝐚𝐦𝐚 𝐌𝐚𝐫𝐤𝐚𝐬 𝐓𝐞𝐧𝐭𝐞𝐫𝐚 𝐋𝐚𝐮𝐭 dan disertai oleh 𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐒𝐭𝐚𝐟 𝟐 𝐀𝐠𝐚𝐦𝐚, 𝐊𝐚𝐩𝐭𝐞𝐧 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐢𝐝 𝐇𝐚𝐝𝐚𝐦; 𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐒𝐭𝐚𝐟 𝟑 𝐀𝐠𝐚𝐦𝐚, 𝐊𝐚𝐩𝐭𝐞𝐧 𝐑𝐮𝐬𝐲𝐝𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐢 dan 𝐁𝐢𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐀𝐠𝐚𝐦𝐚, 𝐒𝐚𝐫𝐣𝐚𝐧 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐙𝐮𝐡𝐚𝐢𝐫𝐢 𝐙𝐚𝐦𝐫𝐢.
Ketibaan mereka disambut mesra oleh 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐫. 𝐒𝐮𝐚𝐫𝐢𝐳𝐚 @ 𝐇𝐢𝐝𝐚𝐲𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 bersama 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧 serta eksekutif PERKIM.
Pertemuan yang berlangsung itu bertujuan memperkukuh hubungan strategik antara PERKIM dan Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) TLDM khususnya dalam memperkasa aspek pendidikan Islam, bimbingan rohani dan pembangunan jati diri saudara baharu di bawah TLDM.
Dalam sesi perbincangan, Kolonel Ahmad Kamil menjelaskan bahawa pihak Bahagian Agama TLDM kini menumpukan perhatian kepada kira-kira 70 warga TLDM berstatus saudara baharu yang terdiri daripada anggota dan keluarga mereka.
Golongan ini, katanya, mempunyai latar belakang dan tahap kefahaman Islam yang berbeza kerana ada di antara mereka yang baru memeluk Islam beberapa hari dan ada juga yang sudah lama beragama Islam tetapi masih memerlukan bimbingan berterusan.
“Fokus kami bukan sekadar untuk melahirkan pendakwah, tetapi untuk membina kefahaman Islam yang kukuh dan melahirkan anggota yang memahami akidah serta mampu mengamalkan Islam secara menyeluruh dalam kehidupan dan kerjaya,” ujar beliau.
Bagi mencapai matlamat itu, TLDM telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program dalam talian ‘As-Salam’, sesi perkongsian ilmu serta kerjasama dengan Unity Network Global melalui aplikasi DAWANITY untuk memperkukuh jati diri warga Saudara Muslim.
Selain itu, pihak TLDM turut merancang untuk mewujudkan modul pembelajaran bertahap iaitu asas, pertengahan dan lanjutan bagi menyesuaikan kursus serta latihan dengan kemampuan peserta.
Modul itu akan menekankan pengukuhan akidah, kefahaman asas ibadah, pembacaan al-Quran serta nilai-nilai Islam dalam konteks kehidupan anggota tentera laut.

Dalam perbincangan itu, Dr. Suariza menyatakan kesediaan PERKIM untuk bekerjasama rapat dengan pihak TLDM dalam pembangunan modul pendidikan Islam bagi warga saudara baharu.
“Kami di PERKIM sudah lama menjalankan kursus asas fardu ain dan bimbingan akidah kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk saudara baharu.
“Kami boleh membantu menstrukturkan modul bimbingan berasaskan penilaian tahap kefahaman peserta agar penyampaian lebih berkesan,” katanya.
Menurut beliau, PERKIM juga memiliki tenaga pengajar berpengalaman termasuk tenaga pengajar yang mahir dalam pelbagai bahasa yang boleh membantu pendekatan dakwah kepada saudara baharu pelbagai bangsa.
“Pendekatan pelbagai bahasa amat penting kerana ia memberi keselesaan kepada peserta dan meningkatkan kefahaman terhadap ajaran Islam.
“Kami juga bersedia menyediakan kelas bimbingan al-Quran dan ibadah secara dalam talian mahupun bersemuka mengikut keperluan peserta TLDM,” tambah beliau.
Dr Suariza juga turut mencadangkan supaya penilaian awal tahap kefahaman Islam (rubrik) dilaksanakan bagi menentukan tahap peserta sebelum kursus bermula. Katanya, hasil penilaian itu boleh digunakan untuk menyusun pelan latihan berperingkat serta mengenal pasti peserta yang berpotensi menjadi mentor atau ikon saudara baharu dalam kalangan anggota TLDM.
Pertemuan ini turut menyentuh tentang kemungkinan mewujudkan kerjasama rasmi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara PERKIM dan TLDM.
Antara cadangan yang dikemukakan termasuk penganjuran bersama kursus asas fardu ain, akidah dan keluarga bahagia; kelas al-Quran dan Tadabbur al-Quran secara dalam talian; latihan jurulatih serta lain-lain.
Kolonel Ahmad Kamil turut mengakui bahawa modul lama yang pernah digunakan di peringkat TLDM dan Angkatan Tentera Brunei (ABDB) suatu ketika dahulu wajar dikaji semula serta diberi nafas baharu melalui penjenamaan semula bersama PERKIM.
“Kita pernah ada modul yang baik, tetapi tidak diteruskan kerana kekangan kesinambungan pelatih. Sekiranya PERKIM dapat bantu dalam aspek ini, kita boleh hidupkan semula modul tersebut untuk dilaksanakan secara sistematik,” ujarnya.
Dalam sesi itu juga, pihak TLDM turut memaklumkan cabaran yang dihadapi oleh anggota mereka yang bertugas di laut, khususnya dalam mendapatkan akses kepada bimbingan agama. Oleh itu, inisiatif bersama ini dilihat mampu menjadi solusi praktikal kepada cabaran logistik dan masa.
Keseluruhan perbincangan pagi tadi berakhir dengan persetujuan untuk membentuk jawatankuasa kerja bersama bagi merangka pelan tindakan serta menentukan jadual pelaksanaan program bermula tahun 2026.
Dr. Suariza menegaskan bahawa usaha ini bukan sahaja akan memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan warga TLDM, tetapi juga memperluas jaringan dakwah profesional antara institusi agama dan pertahanan negara.
“PERKIM sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan termasuk TLDM dalam memperkasa dakwah Islamiah di pelbagai lapisan masyarakat. Kami melihat inisiatif ini sebagai langkah strategik membina kekuatan rohani dan moral dalam kalangan anggota pertahanan yang menjadi benteng keselamatan negara,” katanya.
Kolonel Ahmad Kamil pula menyifatkan kunjungan itu sebagai permulaan kepada hubungan dua hala yang lebih produktif dan berimpak tinggi.
“Kami percaya kolaborasi dengan PERKIM akan memberi nilai tambah kepada pengukuhan iman, semangat dan kefahaman Islam dalam kalangan warga TLDM. Ia bukan sahaja bermanfaat kepada saudara baharu, tetapi kepada seluruh warga tentera laut yang ingin memperdalamkan ilmu agama,” jelas beliau.
Majlis perbincangan tersebut berakhir dengan sesi penyampaian plak cenderamata dan sesi bergambar disusuli dengan jamuan tengah hari.
Suasana penuh ukhuwah terjalin sepanjang kunjungan tersebut menandakan permulaan kerjasama strategik antara dua institusi penting negara dalam memperkasa dakwah dan pendidikan Islam ke arah pembentukan anggota berakhlak mulia dan berjati diri Islam sejati.
Turut hadir ialah Eksekutif Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Hasaidi Ahmad Said; Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan dan Sulaiman Ding Yu Zhong serta Eksekutif 1 IDIPKL, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin.

Kepimpinan PERKIM mengalu-alukan ketibaan Pengarah Agama Markas Tentera Laut, Kolonel Ahmad Kamil Haji Abdullah bersama pegawai-pegawainya ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.

Dr. Suariza (kiri) menyatakan kesediaan PERKIM untuk bekerjasama rapat dengan pihak TLDM.

Dr Suariza juga turut mencadangkan supaya penilaian awal tahap kefahaman Islam (rubrik) dilaksanakan.

Kol. Ahmad Kamil menjelaskan bahawa pihak Bahagian Agama TLDM kini menumpukan perhatian kepada kira-kira 70 warga TLDM berstatus saudara baharu.

Menurut Kol. Ahmad Kamil, fokus kami bukan sekadar untuk melahirkan pendakwah, tetapi untuk membina kefahaman Islam yang kukuh.

Dato’ Razali turut menyatakan cadangan dan pandangan beliau kepada anggota TLDM.

Warga PERKIM berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama anggota KAGAT TLDM.

Dr Suariza menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Kol. Ahmad Kamil.

Kol. Ahmad Kamil menghadiahkan sebuah buku Modul Pengukuhan Kerohanian Ibnu Battuta Edisi Pelayaran kepada Dr Suariza.



