PERKIM Terus Gamit Harmoni Antara Kaum Melalui Gotong-Royong Di Tadika Inovasi Cerdik
: ᶠᴬᵀᴵᴺ ᴬᴷᴹᴬᴸ ᴬᴷˢᴬᴴ
𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐒𝐈𝐏𝐔𝐓, 𝟏𝟕 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Sempena perayaan Deepavali yang diraikan masyarakat India di seluruh negara, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan mengambil langkah proaktif menganjurkan program khidmat masyarakat berbentuk gotong-royong di Kampung Karudda, Sungai Siput, Perak, hari ini.
Program yang berteraskan semangat kebersamaan dan perpaduan ini dilaksanakan di Pusat Tadika Inovasi Cerdik, Ladang Sungai Karudda, dengan penglibatan sukarelawan dari PERKIM Kebangsaan serta wakil pertubuhan Islam negeri Perak.
Menurut 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, penganjuran aktiviti tersebut bertujuan memupuk nilai perpaduan, menyantuni komuniti pelbagai latar belakang serta berkongsi kegembiraan perayaan dengan masyarakat setempat.
Menurut Ustaz Jais, perayaan Deepavali yang disambut tidak lama lagi bukan sekadar pesta cahaya bagi masyarakat India, tetapi simbolik kepada sinar harapan dan kebaikan.
“Melalui pendekatan gotong-royong, ziarah rumah ke rumah dan pengagihan sumbangan, kami ingin menyampaikan mesej bahawa Islam menyanjung nilai kasih sayang dan kebersamaan tanpa mengira latar belakang,” jelasnya.
Beliau menambah, aktiviti sebegini bukan sahaja menyemarakkan semangat sukarelawan dalam kalangan ahli PERKIM, tetapi turut menjadi jambatan perpaduan antara masyarakat berbilang agama dan bangsa di kawasan luar bandar.
Semalam, rombongan PERKIM Kebangsaan bertolak ke Sungai Siput untuk mengadakan sesi perbincangan awal bersama Mubaligh Islam Daerah Kuala Kangsar serta 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐭𝐮𝐛𝐮𝐡𝐚𝐧 𝐈𝐧𝐟𝐨𝐫𝐦𝐚𝐬𝐢 𝐈𝐬𝐥𝐚𝐦 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤 (𝐏𝐈𝐈𝐍 𝐏𝐞𝐫𝐚𝐤), 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐍𝐨𝐨𝐫 𝐏𝐊 𝐎𝐬𝐦𝐚𝐧.
Perbincangan tersebut bertujuan menyelaras aktiviti utama yang dirancang, termasuk jadual gotong-royong, agihan sumbangan serta penetapan lokasi tumpuan program di Tadika Inovasi Cerdik.
Pada pagi Jumaat, peserta berkumpul di PIIN Perak untuk bersarapan dan mendengar taklimat ringkas sebelum berangkat ke Kampung Karudda pada jam 10.30 pagi.
Ketibaan rombongan di lokasi sekitar jam 11.00 pagi disambut mesra oleh Ketua Komuniti Kampung Krudda, Pandian Krishnan, yang turut memberi taklimat ringkas mengenai latar belakang penduduk setempat serta keperluan semasa komuniti.
Aktiviti gotong-royong bermula dengan kerja-kerja pembersihan dan penyusunan semula ruang tadika. Antara tugasan utama termasuk mengemas bilik darjah, menyapu dan mengemop lantai, mencuci cermin dan tingkap serta menyusun ruang pembelajaran agar lebih kondusif untuk anak-anak kecil kampung tersebut.
PERKIM Kebangsaan turut menyerahkan beberapa keperluan asas bagi kemudahan operasi tadika, antaranya kerusi plastik pelajar, rak pinggan mangkuk, peralatan pembersihan, baldi serta keperluan asas bilik air.
𝐆𝐮𝐫𝐮 𝐁𝐞𝐬𝐚𝐫 𝐏𝐮𝐬𝐚𝐭 𝐓𝐚𝐝𝐢𝐤𝐚 𝐈𝐧𝐨𝐯𝐚𝐬𝐢 𝐂𝐞𝐫𝐝𝐢𝐤, 𝐂𝐢𝐤𝐠𝐮 𝐓𝐡𝐚𝐧𝐚𝐥𝐚𝐭𝐜𝐡𝐮𝐦𝐢 𝐒𝐮𝐩𝐩𝐚𝐲𝐚𝐡 yang turut bersama-sama sepanjang program berlangsung, menzahirkan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan PERKIM.
“Kami amat menghargai sumbangan dan tenaga yang dicurahkan oleh PERKIM. Bantuan ini sangat bermakna kerana ia memberi keselesaan kepada murid-murid kami untuk belajar dalam suasana yang lebih bersih dan selamat,” ujarnya dengan penuh rasa terharu.
Program ini turut mendapat sokongan kuat daripada barisan sukarelawan PERKIM negeri Perak yang turun padang bersama pasukan kebangsaan. Antara yang hadir ialah Mohd Hani Waran Abdullah, Pembantu Tadbir PERKIM Perak; Ustaz Mohd Firdaus Shahrudin, Pengerusi PERKIM Cawangan Batu Gajah; Tun Muhammad Aqil Amiruddin, Naib 2 Majlis Belia PERKIM Cawangan Batu Gajah; Nor Farhana Ramlan, Setiausaha Kehormat Belia PERKIM Batu Gajah Perak serta Muhammad Adam, Pengerusi Belia Kampung Polah, Ipoh.
Turut hadir memeriahkan program ialah urus setia PERKIM Kebangsaan iaitu Rohaiza Mohamed Tan, Azura Abdul Rahman, Fatin Akmal Aksah dan Mohamad Fardly Johan yang membantu menyelaraskan perjalanan aktiviti.
Para peserta berganding bahu melaksanakan kerja-kerja pembersihan sambil berinteraksi mesra dengan masyarakat setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar sosioekonomi.
Program gotong-royong tersebut menjadi platform berkesan untuk memperkukuh semangat muhibah antara kaum serta memperlihatkan komitmen PERKIM terhadap usaha memperkasa hubungan baik antara penganut Islam dengan masyarakat bukan Islam.
Menurut Ustaz Muhammad Jais, inisiatif itu sejajar dengan aspirasi PERKIM untuk mendekati masyarakat melalui pendekatan “Dakwah Bil Hal” dakwah melalui tindakan dan amalan kebaikan.
“Kami mahu masyarakat melihat Islam sebagai agama yang menggalakkan kebersihan, kasih sayang dan tanggungjawab sosial. Inilah semangat yang cuba kami sampaikan melalui setiap program yang dilaksanakan,” katanya lagi.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program tersebut termasuk komuniti tempatan, guru tadika serta para sukarelawan.
“Tanpa kerjasama erat dan semangat tolong-menolong, usaha seperti ini tidak mungkin berjaya. Mudah-mudahan hubungan yang terjalin hari ini akan terus berpanjangan demi kebaikan bersama,” tambahnya.
Program yang berlangsung hingga tengah hari itu berakhir dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderamata kepada pihak tadika sebagai tanda penghargaan atas kerjasama baik yang diberikan.
Dengan semangat perpaduan dan kebajikan yang dizahirkan melalui gotong-royong ini, PERKIM sekali lagi membuktikan bahawa keprihatinan terhadap masyarakat tidak mengenal sempadan bangsa mahupun agama.

Urus setia PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Perak mengadakan gotong-royong di Tadika Inovasi Cerdik, Kampung Krudda.

Hani Waran dan Rohaiza membersihkan tingkap dan kawasan kelas tadika.

𝐂𝐢𝐤𝐠𝐮 𝐓𝐡𝐚𝐧𝐚𝐥𝐚𝐭𝐜𝐡𝐮𝐦𝐢 𝐒𝐮𝐩𝐩𝐚𝐲𝐚𝐡 mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Jais dan pasukan di atas sumbangan tenaga, masa dan jasa yang diberikan.

Fardly dan Azura menyusun semula rak kasut selepas membersihkan kawasan luar kelas.

Ustaz Jais dan sukarelawan mencuci cermin tadika yang kotor dan berhabuk.

Fardly dan Fatin Akmal membuang barang yang rosak dan sampah di tong sampah yang disediakan.



