Aktiviti Kebajikan

PERKIM Santuni Warga Emas Sungai Siput Sempena Deepavali

📷: 𝙁𝘼𝙏𝙄𝙉 𝘼𝙆𝙈𝘼𝙇 𝘼𝙆𝙎𝘼𝙃

𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐒𝐈𝐏𝐔𝐓, 𝟏𝟖 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Dalam semangat kasih sayang dan perpaduan menjelang sambutan perayaan Deepavali, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Lawatan Ziarah Kebajikan ke Persatuan Kebajikan Warga Emas Sungai Siput (Utara) di Lorong Tun Sambanthan 12, Taman Tun Sambanthan dekat sini, pada petang Sabtu.

Program yang turut mendapat kerjasama daripada Pertubuhan Informasi Islam Negeri Perak (PIIN) ini diadakan sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan warga emas, tanpa mengira bangsa dan agama di samping memperkukuh hubungan muhibah antara masyarakat Islam dan bukan Islam di daerah tersebut.


Menurut 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡, lawatan ini bertujuan mendekati warga emas yang memerlukan perhatian serta kasih sayang daripada masyarakat sekeliling.

“Inisiatif sebegini adalah usaha murni PERKIM bagi menzahirkan nilai kasih, prihatin dan tanggungjawab sosial terhadap semua insan, sesuai dengan ajaran Islam yang menekankan konsep rahmatan lil ‘alamin,” ujar beliau.

Ustaz Jais Mariappan yang juga Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, hadir mewakili 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫. 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak pengurusan pusat atas sambutan mesra yang diberikan.

“Sumbangan yang kami bawa mungkin tidak besar dari segi nilai material, tetapi makna sebenar lawatan ini ialah menyampaikan kasih sayang dan menghulurkan perhatian kepada mereka yang telah banyak berjasa dalam kehidupan,” kata beliau.

Ketibaan rombongan PERKIM disambut penuh mesra oleh 𝐒𝐢𝐯𝐚𝐫𝐚𝐣𝐚 𝐒𝐮𝐩𝐩𝐚𝐢𝐚𝐡, 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐬𝐚𝐭𝐮𝐚𝐧 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐣𝐢𝐤𝐚𝐧 𝐖𝐚𝐫𝐠𝐚 𝐄𝐦𝐚𝐬 𝐒𝐮𝐧𝐠𝐚𝐢 𝐒𝐢𝐩𝐮𝐭 (𝐔𝐭𝐚𝐫𝐚) bersama 𝐏𝐞𝐧𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚, 𝐉𝐞𝐲𝐚𝐫𝐚𝐣𝐚 𝐒𝐮𝐩𝐩𝐚𝐢𝐚𝐡.

Dalam taklimat ringkasnya, Jeyaraja berkongsi latar belakang dan cabaran pusat kebajikan itu yang kini menampung lebih 30 penghuni tetap terdiri daripada warga emas berbilang kaum.

Katanya, pusat tersebut telah berdaftar secara rasmi di bawah Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) sejak tahun 2007 dan merupakan salah satu pusat komuniti kebajikan yang aktif menjaga kebajikan warga emas berbilang kaum dan agama.

Tambah Jeyaraja, pusat itu telah diasaskan atas keprihatinan sekumpulan sukarelawan tempatan yang memberi tumpuan kepada penjagaan kebajikan, sokongan emosi serta kasih sayang kepada warga emas yang hidup bersendirian, tiada waris dan memerlukan perhatian masyarakat.

Selain menyediakan perlindungan asas, ia turut menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan seperti ziarah kasih, bantuan makanan kepada warga emas tidak berupaya, pemeriksaan kesihatan berkala serta program keagamaan dan kebudayaan sempena perayaan utama seperti Deepavali dan lain-lain.

Ujarnya, pusat itu turut menonjol sebagai contoh keharmonian dengan mengamalkan pendekatan terbuka dan inklusif melalui kerjasama bersama NGO.

Pendekatan tersebut menggambarkan semangat toleransi dan saling menghormati yang wujud dalam masyarakat majmuk di Sungai Siput.

Menurut beliau, antara cabaran utama ialah kos operasi dan penyelenggaraan harian, termasuk penyediaan makanan, perubatan dan penjagaan kebersihan.

“Kami sangat menghargai kehadiran PERKIM. Ia memberi kami semangat bahawa masih ramai di luar sana prihatin terhadap warga emas, tanpa mengira latar belakang agama,” kata Jeyaraja penuh terharu.

Sepanjang lawatan, rombongan PERKIM beramah mesra dengan penghuni pusat, mendengar kisah kehidupan mereka serta memberikan kata-kata semangat agar kekal positif dan tabah menjalani kehidupan di hari tua.

Sebagai tanda prihatin, rombongan PERKIM menyampaikan sumbangan berupa barangan makanan kering dan keperluan asas, dengan sumbangan utama disalurkan oleh MAIWP.

Turut diserahkan plak penghargaan kepada pihak pengurusan pusat sebagai simbol persahabatan dan penghargaan terhadap usaha kebajikan mereka.

Ustaz Jais Mariappan berkata, PERKIM amat menghargai peranan pusat ini yang menjadi tempat perlindungan dan kasih bagi insan-insan istimewa ini serta kerjasama seperti ini penting dalam membina keharmonian sejagat.

Sesi bergambar kenangan bersama para penghuni dan pengurusan pusat menjadi penutup lawatan, diikuti dengan penyampaian sumbangan kepada beberapa warga emas secara individu.

Senyuman dan air mata kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka, menandakan bahawa kasih sayang yang tulus mampu menyentuh hati lebih dalam daripada nilai material.

Menurut Ustaz Jais Mariappan lagi, program sebegini bukan sekadar penyampaian bantuan semata-mata, tetapi mencerminkan misi dakwah PERKIM yang membawa mesej Islam sebagai agama kasih sayang dan kemanusiaan sejagat.

Melalui pendekatan bersemuka, PERKIM berjaya mendekati masyarakat bukan Islam dengan penuh hikmah dan berhemah, menonjolkan Islam sebagai agama yang mendidik umatnya supaya menghormati serta membantu semua manusia.

Lawatan kebajikan ini turut dihadiri oleh urus setia PERKIM Kebangsaan, iaitu 𝐑𝐨𝐡𝐚𝐢𝐳𝐚 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐞𝐝 𝐓𝐚𝐧, 𝐀𝐳𝐮𝐫𝐚 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧, 𝐅𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐀𝐤𝐦𝐚𝐥 𝐀𝐤𝐬𝐚𝐡 dan 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐝𝐥𝐲 𝐉𝐨𝐡𝐚𝐧 yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perjalanan program.

Ustaz Jais Mariappan turut menegaskan bahawa PERKIM akan terus memperluas usaha sebegini ke seluruh negara bersama MAIWP dan rakan-rakan NGO serta masyarakat pelbagai kaum.

“Selagi masih ada insan yang memerlukan kasih dan perhatian, selagi itulah PERKIM akan terus melangkah dengan misi kemanusiaan ini,” katanya.

Program lawatan ziarah kebajikan ini telah berjaya mencapai objektifnya bukan sahaja membantu meringankan beban penghuni pusat, tetapi turut menyemai semangat perpaduan dan kasih sayang dalam masyarakat. Ia menjadi bukti bahawa nilai ihsan dan kemanusiaan tidak mengenal batas agama dan bangsa.

Dengan kehadiran PERKIM di pusat itu, terserlah bahawa dakwah yang paling berkesan ialah melalui tindakan kasih yang mampu menghidupkan harapan dan membawa cahaya kebahagiaan dalam kehidupan mereka yang memerlukan.

 


Azura menyerahkan borang pendaftaran kepada petugas warga emas untuk dilengkapkan butir-butir pengenalan.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan sumbangan barangan makanan dan keperluan asas sumbangan utama disalurkan oleh MAIWP.

 


Inisiatif sebegini adalah usaha murni PERKIM bagi menzahirkan nilai kasih, prihatin dan tanggungjawab sosial terhadap semua insan.

 


Tujuan utama ziarah ini ialah menyampaikan kasih sayang dan menghulurkan perhatian kepada penghuni warga emas.

 


Ustaz Jais Mariappan menyampaikan plak cenderamata PERKIM kepada Sivaraja di akhir program.

 


Ustaz Jais bersama sukarelawan PERKIM berkesempatan bergambar kenang-kenangan bersama sebahagian penghuni Persatuan Kebajikan Warga Emas Sungai Siput (Utara).

Related Articles

Back to top button