PERKIM Perkukuh Kefahaman Islam Saudara Baharu Melalui Kursus Intensif Fardu Ain Bahasa Inggeris
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
KUALA LUMPUR, 26 OKTOBER 2025 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan saudara baharu pelbagai bangsa menerusi Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu (Bahasa Inggeris) yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Hotel Grand Continental, Jalan Raja Laut dekat sini.
Lebih 20 peserta terdiri daripada mualaf berbangsa Cina, India serta warga dari negara Filipina, Thailand dan Sudan menyertai program berstruktur ini yang memberi penekanan kepada aspek akidah, ibadah dan akhlak menggunakan pendekatan teori serta amali sepenuhnya dalam Bahasa Inggeris bagi memastikan kefahaman yang lebih mudah dicapai oleh mereka yang bukan penutur jati Bahasa Melayu.

Menurut Penyelaras Program, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah, kursus ini diadakan sebagai usaha berterusan memperkukuh asas keagamaan saudara baharu agar mereka memahami Islam bukan hanya secara teori, tetapi sebagai cara hidup yang lengkap dan menyeluruh.
“Islam bukan sekadar ritual, tetapi sistem kehidupan yang menyeimbangkan akidah, ibadah dan akhlak. Dengan kefahaman ini, mereka akan dapat beramal dengan keyakinan serta merasai ketenangan yang dijanjikan oleh Allah SWT,” ujar beliau yang juga Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan.
Tambahnya, kursus ini disusun dengan tiga matlamat utama dengan memperkenalkan asas fardu ain seperti taharah, Rukun Iman dan Rukun Islam yang secara tidak langsung memberi panduan ibadah yang betul serta membina keyakinan diri untuk beramal dengan ilmu yang dipelajari.
Sebelum ini, PERKIM dan MAIWP telah melaksanakan kursus intensif dalam Bahasa Mandarin kepada mualaf Cina manakala Bahasa Tamil kepada mualaf India dan pada kali ini, Bahasa Inggeris dipilih sebagai medium utama agar setiap peserta mualaf dapat memahami ajaran Islam dengan jelas tanpa batasan bahasa.
Hari pertama dimulakan dengan sesi pengenalan serta Sesi Motivasi dan Interaktif bersama Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg. Dr. Haji Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.
Dr Ridhuan Tee Abdullah menyampaikan sesi tersebut dalam pendekatan santai namun berisi nasihat mendalam. Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi memeluk Islam lebih empat dekad lalu ketika penerimaan masyarakat masih mencabar.
“Dahulu saya memeluk Islam tanpa sokongan keluarga. Namun, saya yakin inilah jalan yang benar. Setiap ujian menjadikan saya lebih kuat dan mengenal Allah,” ujar beliau sebak.
Dr. Ridhuan Tee mengingatkan para peserta agar bersabar menghadapi reaksi keluarga bukan Islam dan tidak membalas kemarahan dengan kemarahan. “Jika mereka api, jadilah air yang menyejukkan. Islam mengajar kita berbuat baik kepada ibu bapa walaupun berlainan agama,” pesannya.
Beliau turut menyeru agar peserta tidak merasa rendah diri kerana status mualaf. “Islam bukan milik mana-mana bangsa. Mualaf yang ikhlas dan beramal lebih tinggi nilainya di sisi Allah daripada Muslim yang lalai,” katanya sambil menasihatkan agar solat lima waktu dijaga kerana ia tiang agama dan sumber kekuatan hidup.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan seorang Muslim diukur pada hubungan dengan Allah dan manusia, bukannya harta atau pangkat.
“PERKIM akan terus membimbing dan membela saudara baharu agar kekal istiqamah di bawah cahaya hidayah Islam,” jelas Dr Ridhuan Tee.
Ia disusuli dengan ceramah bertajuk “Rukun Iman” disampaikan oleh Ustaz Abdul Qawi Navine, Timbalan Eksekutif Institut Dakwah Antarabangsa Kuala Lumpur (IDIP-KL).
Beliau dalam ceramahnya menegaskan bahawa enam Rukun Iman ialah tunjang kehidupan seorang Muslim, bukan sekadar pengakuan di lidah tetapi gabungan keyakinan hati dan amal perbuatan.
Tambah beliau, keimanan kepada Allah, Malaikat, Kitab, Rasul, Hari Kiamat serta Qada’ dan Qadar perlu diyakini setiap manusia yang mengikrarkan kalimah tayyibah.
“Iman yang sejati menjadikan seseorang kuat dan tenang menghadapi ujian hidup. Untuk memilikinya, seseorang perlu memahami tentang Allah, diri sendiri, dunia dan akhirat,” jelas beliau sambil menegaskan pentingnya amalan berterusan seperti solat, membaca al-Quran, berzikir, berpuasa dan berakhlak mulia bagi memelihara kekuatan iman.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya menjauhi dosa seperti syirik, mengumpat dan takbur, yang boleh mengeraskan hati serta menjauhkan diri daripada rahmat Allah.
Pada hari kedua, peserta memulakan aktiviti dengan solat Subuh berjemaah diikuti sarapan pagi dalam suasana mesra dan penuh ukhuwah.
Ceramah bertajuk “Bersuci (Taharah)” oleh Tenaga Pengajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), Ustaz Nik Syariman Nik Mat menjadi antara pengisian utama hari tersebut.
Dalam ceramah tersebut, beliau menekankan bahawa taharah bermaksud keadaan bersih dan suci daripada kekotoran zahir seperti najis serta bebas daripada hadas kecil dan besar.
Katanya, Islam meletakkan kebersihan sebagai sebahagian daripada iman, selaras dengan sabda Rasulullah SAW: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman” (Riwayat Muslim).
Ustaz Nik Syariman menjelaskan bahawa bersuci merupakan asas kepada kesempurnaan ibadah. Tiada solat, tawaf atau pembacaan al-Quran yang sah tanpa memastikan diri dalam keadaan suci.
Beliau turut menerangkan bahawa bersuci terbahagi kepada dua kategori utama iaitu daripada najis dan daripada hadas. Najis dibersihkan dengan air suci, manakala hadas dihilangkan melalui wuduk, mandi wajib atau tayammum sekiranya tiada air.
Beliau menegaskan bahawa air yang bersih ibarat hati yang suci, lambang keikhlasan dan ketenangan seorang Muslim. Islam, katanya, mengajar keseimbangan dalam kebersihan tanpa bersikap melampau atau berlebih-lebihan.
Seterusnya, ceramah bertajuk “Rukun Islam” disampaikan oleh Ustaz Mohd. Saiful Hafiz Vijia Abdullah, Penolong Pengurus Kanan Bahagian Agihan Zakat MAIWP.
Ustaz Saiful Hafiz dalam ceramahnya menegaskan bahawa syahadah adalah pintu masuk ke dalam Islam, namun kesempurnaan iman hanya dicapai apabila rukun-rukun lain turut diamalkan.
“Solat menegakkan struktur keimanan, zakat mendidik jiwa, puasa menyucikan hati dan haji menyatukan umat,” katanya. Beliau turut menasihati peserta agar tetap menghormati keluarga bukan Islam, selagi tidak bercanggah dengan syariat, kerana Islam menuntut kasih sayang dan akhlak mulia kepada semua.
Dalam perbincangan mengenai rukun kelima, beliau menegaskan bahawa ibadah haji merupakan kemuncak penyatuan iman dan amal. Walaupun ada jemaah terpaksa menunggu lama sebelum dapat menunaikannya, niat yang ikhlas dan persediaan awal melalui Tabung Haji tetap diberi ganjaran oleh Allah SWT.
Ustaz Saiful Hafiz turut mengingatkan bahawa memeluk Islam tidak bermaksud memutuskan hubungan kekeluargaan dengan bukan Islam, sebaliknya Islam mengajar untuk terus menghormati ibu bapa dan keluarga, selagi tidak bercanggah dengan syariat.
Pada sebelah petang, peserta menjalani latihan praktikal solat di bawah bimbingan fasilitator berpengalaman iaitu Fatin Hamizah Ismail, Charles Abdullah, Mohd. Firdaus Pompeyos Santos dan Bainah Abdullah.
Sesi dua hala ini memberi peluang kepada peserta mempraktikkan bacaan, gerakan dan tertib solat secara bimbingan langsung.
Peserta kemudiannya dibawa ke kolam renang hotel bagi menjalani latihan praktikal wuduk dan mandi wajib.
Charles menjelaskan bahawa latihan tersebut bertujuan memberi kefahaman praktikal kepada saudara baharu berkenaan cara menyucikan diri dengan betul, termasuk menyentuh aspek niat, tertib serta penggunaan air.
Sesi tersebut berlangsung dengan penuh semangat apabila peserta turut berpeluang berenang dan mandi selepas melengkapkan amali tersebut, sekali gus memperkukuh kefahaman mereka terhadap hukum bersuci dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Aktiviti diteruskan dengan kuiz interaktif selepas solat Maghrib dan Isyak berjemaah bagi menguji kefahaman peserta tentang akidah, ibadah dan adab.
Suasana harmoni dan ceria menyerlah apabila peserta berlumba-lumba menjawab soalan dengan penuh keyakinan.
Hari ketiga pula membuka tirai dengan pengisian bertajuk “Solat Menyelesaikan 1001 Masalah” yang dikendalikan oleh Ustaz Jais Mariappan sendiri.
Beliau menegaskan bahawa solat bukan hanya kewajipan tetapi anugerah Allah SWT yang menjadi sumber ketenangan dan kekuatan rohani.
“Manusia sering mencari ketenangan di tempat yang salah, sedangkan ketenangan hakiki hanya hadir apabila hubungan kita dengan Allah kukuh melalui solat,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, solat mendidik disiplin bermula daripada kebersihan, ketepatan waktu dan kekemasan diri hingga kepada kekhusyukan hati.
“Kalau kita boleh patuh kepada waktu solat, kita juga boleh patuh pada masa kerja. Kalau mampu tunduk dalam sujud kita juga mampu tunduk kepada kebenaran dalam hidup,” katanya yang disambut anggukan peserta.
Peserta turut mempelajari solat-solat sunat seperti dhuha, taubat dan hajat, diiringi bimbingan praktikal. Ramai mualaf mengakui kini memahami solat bukan sekadar tuntutan agama, tetapi latihan membentuk keperibadian sabar, tenang dan bersyukur.
Menjelang penutupan, 𝐃𝐫 𝐑𝐢𝐝𝐡𝐮𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 sekali lagi hadir memberikan amanat dan kata semangat kepada para peserta.
“Kejayaan seorang Muslim bukan diukur dengan pangkat atau harta, tetapi sejauh mana dia menjaga hubungannya dengan Allah dan manusia,” ujar beliau.
Dr. Ridhuan Tee turut menyeru para mualaf supaya tidak gentar menghadapi cabaran dalam memperkukuh keimanan.
“Jadikan solat sebagai senjata dan sumber kekuatan dalam apa jua keadaan,” pesannya penuh makna.
Dr. Ridhuan Tee turut menyampaikan sijil penyertaan, saguhati dan hadiah kepada peserta terbaik.
Suasana penuh kegembiraan menyerlah ketika para peserta menerima hadiah dan bergambar kenangan bersama kepimpinan PERKIM.
Turut hadir membantu menjayakan kursus ialah Azura Abdul Rahman dan Fatin Akmal Aksah selaku urus setia PERKIM Kebangsaan.
Kursus tersebut menjadi bukti komitmen berterusan PERKIM dan MAIWP dalam memperkasa dakwah serta memastikan saudara baharu terus melangkah teguh di bawah naungan hidayah Ilahi.

Peserta hadir dan membuat pendaftaran dengan urus setia Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu.

Usai pendaftaran, peserta kursus menunaikan solat berjemaah dipimpin oleh Ustaz Jais Mariappan.

Dr Ridhuan Tee memulakan dengan ta’aruf serta Sesi Motivasi dan Interaktif.

Dr Ridhuan Tee berkongsi pengalaman peribadi memeluk Islam lebih empat dekad lalu kepada peserta.

Beliau menyeru peserta agar tidak merasa rendah diri kerana status mualaf kerana katanya, Islam bukan milik mana-mana bangsa.

Menurut Dr Ridhuan Tee, PERKIM akan terus membimbing dan membela saudara baharu agar kekal istiqamah di bawah cahaya hidayah Islam.

Ustaz Abdul Qawi dalam ceramahnya menegaskan bahawa enam Rukun Iman ialah tunjang kehidupan seorang Muslim.

Ustaz Abdul Qawi mengingatkan peserta supaya menjauhi dosa seperti syirik, mengumpat dan takbur.

Peserta mendengar dan mencatat ilmu yang disampaikan.

Ustaz Abdul Qawi bergambar bersama peserta selepas menyampaikan ceramah bertajuk Rukun Iman.

Charles Abdullah (tengah) selaku fasilitator bersama tiga lagi rakan fasilitatornya iaitu Firdaus Pompeyos, Fatin Hamizah dan Bainah.

Ustaz Nik Syahriman menyampaikan ceramah bertajuk Bersuci (taharah).

“Najis dibersihkan dengan air suci, manakala hadas dihilangkan melalui wuduk, mandi wajib,” jelas Ustaz Nik Syahirman.

Ustaz Saiful Hafiz menyampaikan ceramah bertajuk Rukun Islam.

Ustaz Saiful Hafiz turut mengingatkan bahawa memeluk Islam tidak bermaksud memutuskan hubungan kekeluargaan dengan bukan Islam.

Fatin Hamizah (kanan) menunjukkan kepada peserta posisi rukuk ketika latihan praktikal solat.

Bainah mengajarkan bacaan dalam solat kepada peserta.

Charles menunjukkan contoh posisi rukuk yang betul kepada peserta.

Firdaus Pompeyos membetulkan bacaan dalam solat peserta ketika membaca surah Al-Fatihah.

Peserta menunjukkan cara berwuduk dengan air yang sedikit.

Ustaz Jais Mariappan menunjukkan kepada peserta cara membasuh telinga yang betul ketika berwuduk.

Ustaz Jais Mariappan membantu peserta membasuh kaki ketika menjalani praktikal wuduk.

Peserta menjalani latihan praktikal wuduk di perkarangan kolam renang hotel.

Peserta membasuh muka ketika menjalani latihan praktikal wuduk.

Peserta membasuh muka disertai dengan niat wuduk ketika latihan praktikal.

Peserta meratakan air ke seluruh tubuh badan ketika menjalani latihan praktikal mandi wajib.

Peserta melihat salah seorang peserta melakukan latihan praktikal mandi wajib.

Sebahagian peserta lelaki berkesempatan mandi di kolam renang selepas menjalani praktikal wuduk dan mandi wajib.

Peserta menjawab soalan kuiz yang diambil secara rambang oleh beliau.

Peserta memilih secara rawak soalan kuiz di dalam plastik yang disediakan urus setia.

Peserta menjawab soalan kuiz interaktif dengan tenang dan yakin.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan ceramah bertajuk Solat Menyelesaikan 1001 Masalah.

“Solat bukan hanya kewajipan tetapi anugerah Allah SWT yang menjadi sumber ketenangan dan kekuatan rohani,” tegas Ustaz Jais.

Ustaz Jais menjawab soalan dan kemusykilan yang diajukan oleh peserta.

Ustaz Jais menunjukkan waktu solat pada masa-masa tertentu.

Dr Ridhuan Tee turut menjawab soalan berkenaan solat jamak dan qasar yang diajukan oleh peserta.

Dr Ridhuan Tee menyeru para mualaf supaya tidak gentar menghadapi cabaran dalam memperkukuh keimanan.

Dr Ridhuan Tee berpesan kepada peserta supaya menjadikan solat sebagai senjata dan sumber kekuatan dalam apa jua keadaan.

Naib Yang Dipertua PERKIM menyampaikan sijil penghargaan dan saguhati kepada peserta.

Peserta menerima sijil penghargaan dan saguhati daripada Dr Ridhuan Tee.

Dr Ridhuan Tee menyampaikan hamper kepada juara peserta kumpulan.

Peserta pemenang tempat kedua menerima hadiah hamper daripada Dr Ridhuan Tee.

Pemenang kumpulan tempat ketiga menerima hamper daripada Dr Ridhuan Tee.

Dr Ridhuan Tee menyampaikan hamper kepada pemenang tempat keempat.

Peserta Kursus Intensif Fardu Ain Saudara Baharu Bahasa Inggeris bergambar kenang-kenangan bersama Dr Ridhuan Tee setelah tamatnya kursus.



